PRESIDEN Korporat dan Ketua Pegawai Eksekutif Acer Inc Jason Chen (kanan) ketika melancarkan produk baru Acer di New York, hujung bulan lalu.
Rozimi Hashim
rozimi@hmetro.com.my


Sama ada gaya, penampilan, pengetahuan dan kuasa, Acer menyediakannya melalui siri produk baru komputer riba, komputer meja dan paparan yang diperkenalkannya kepada media seluruh dunia di New York hujung bulan lalu.

Bermula daripada komputer riba dan paparan untuk permainan komputer yang memerlukan spesifikasi tinggi, untuk kegunaan biasa, pembelajaran, gaya, mudah dibawa dan bateri tahan lama, Acer ada semuanya.

Permainan komputer

Acer memperkenalkan Predator 21 X, tahun lalu, komputer riba untuk permainan komputer yang dianggap ‘raksasa’, sama ada penampilan luarannya atau kuasa dimilikinya namun tidak semua mampu memilikinya dan kini, Acer memperkenalkan ciptaan terbarunya, komputer riba Predator Triton 700.

Saiznya yang nipis, hanya setebal 18.9mm, tidak bermaka Acer mengetepikan kemampuan bagi peminat permainan komputer sepenuh masa kerana ia menggunakan pemproses Intel generasi ketujuh, kad grafik Nvida GeForce GTX Siri 10 yang menurut Acer belum ada di pasaran.

Seberat 2.6 kilogram (kg) dengan badan logam sepenuhnya, ia dilengkapi paparan 15.6 inci HD IPS sepenuhnya dengan RAM DDR4 32GB.

Antara ciri menarik model ini ialah papan kekunci mekanikal dengan cahaya belakang - memudahkan digunakan dalam gelap atau cahaya samar-samar.

Terletak di atas papan kekunci ialah ‘pad sentuh’ Triton 700 yang dibuat daripada kaca Corning Gorilla lut sinar, membolehkan kita melihat kipas AeroBlade 3D sistem penyejuk mesin itu.

Harganya untuk pasaran Amerika Syarikat yang dijangka mulai Jun ini, bermula AS$2,999 (RM13,950).

Nitro 5

Acer juga memperkenalkan Nitro 5, komputer riba untuk mereka yang bermain permainan komputer bila ada masa lapang atau ‘casual gamer’. Spesifikasinya tidak sehebat Predator Triton 700 namun beberapa cirinya tetap menarik.

Ramai tidak bermain permainan komputer sepanjang masa dan untuk mereka, tidak perlu berbelanja besar membeli mesin dibina khas untuk pemain sepenuh masa, lalu Acer menampilkan Nitro 5, dilengkapi semua aspek yang perlu.

Menggunakan teknologi sistem penyejuk CoolBoost Acer membolehkan pengguna mengawal kelajuan kipas yang akan mempengaruhi prestasi GPU dan CPU bergantung kepada kelajuan kipas.

Penampilannya dalam warna hitam dengan kemasan merah menjadikan komputer riba ini kelihatan bergaya.

Bagaimanapun, Acer belum mengumumkan spesifikasi penuh komputer riba ini yang dijangka menggunakan pemproses Intel dengan kad grafik Nvidia GTV Siri 10.

Predator Helios 300

Spesifikasi Predator Helios 300 hampir sama dengan Triton 700, kecuali ia mempunyai pilihan paparan 17.3 inci, menggunakan kad grafik Nvidia GeForce GTX 1060 atau GTX 1050 Ti.

Ia juga dilengkapi kipas logam generasi kedua AeroBlade 3D Acer untuk sistem penyejuknya, menjanjikan peningkatan 35 peratus aliran udara.

Komputer riba ini didatangkan dalam dua saiz, paparan 15 inci atau 17 inci, menggunakan Intel Core i5 atau i7, RAM DDR4 16GB (boleh dipertingkat kepada 32GB), SATA SSD dan 1TB HDD. Harga untuk pasaran Amerika bermula AS$1,299 (RM5,715) bagi model 15 inci dan 17 inci, AS$1,399 (RM6,095).

Switch: Komputer riba dan tablet

Acer juga memperkenal dua model baru siri Switch - komputer ‘tablet’ yang boleh dipisahkan papan kekuncinya - Switch 3 dan Switch 5, menggunakan teknologi penyejuk cecair LiquidLoop.

Switch 3 didatangkan dengan paparan 12 inci, pemproses Intel Pentium atau Celeron, bateri sehingga lapan jam dengan harga pasaran di Amerika bermula AS$399 (RM1,755).

Switch 5 yang lebih berkuasa, dilengkapi pengimbas cap jari yang pertama kali digunakan Acer, Acer Active Pen, paparan 12.2 inci, pemproses Intel Core dengan bateri juga sehingga lapan jam.

Harga untuk pasaran Amerika bermula AS$799 (RM3,515)

Swift: Komputer riba ternipis dunia

Dua model Swift ditampilkan Acer di New York, iaitu Swift 1 setebal 15 mm dengan pemproses Intel Pentium atau Celeron, paparan 13.3 inci dan bateri sehingga 10 jam.

Harga untuk pasaran Amerika bermula AS$329 (RM1,447).

Model Swift 3 pula setebal 17.95 mm, pemproses Intel Core dengan kad grafik Nvida GeForce, paparan 14 atau 15.6 inci dengan bateri sehingga 10 jam.

Harga untuk pasaran Amerika bermula AS$599 (RM2,635).

Aspire

Bagi siri Aspire, Acer menampil beberapa model, termasuk komputer riba bajet Aspire 1 hingga ke mesin berkuasa tinggi, Aspire 7.

Acer 1 untuk tugasan ringan didatangkan dengan paparan 14 inci, hanya mempunyai simpanan 32 GB atau 64 GB eMMC dengan pilihan pemproses sama ada Intel Celeron atau Pentium bersama RAM 4GB dan grafik Intel HD namun baterinya tahan sehingga sembilan jam.

Aspire 3 mempunyai pilihan pemproses Intel Core i5 atau i3 atau AMD Siri A selain Celeron dan Pentium dengan memori sehingga 12 GB.

Ia mempunyai tiga pilihan paparan iaitu 14 inci, 15.6 inci, atau 15.6 inci.

Aspire 5 mungkin menjadi pilihan ramai, dilengkapi pemproses Intel Core sama ada i7, i5 atau i3 serta pilihan AMD FX/A 12 dengan memori sehingga 20GB DDR4.

Ia menggunakan kad grafik Nvidia dengan simpanan sehingga 2TB manakala paparannya 15.6 inci.

Aspire 7, model premium dikuasakan Intel Core sama ada i7 atau i5, kad grafik Nvidia GeForce GTX 1060 dan memori DDR4 32GB, menjadikan ia sesuai untuk permainan komputer selain tugasan biasa. Didatangkan dengan paparan sama ada 15 inci atau 17 inci.

Aspire 1 dan 3 mula dijual di China mulai April, Aspire 7 mulai Mei, manakala di Amerika Utara mulai Jun.

Harga Aspire 1 bermula pada AS$219 (RM950), Aspire 3 AS$299 (RM1,300), Aspire 5 AS$499 (RM2,100) dan Aspire 7 AS$799 (RM3,500).

Jam tangan pintar

Acer turut memperkenalkan buat pertama kali jam tangan pintar, Leap Ware berharga bermula AS$139 (RM611) yang boleh mengesan kelajuan degupan jantung, stamina, stres dan sinar lembayung ungu.

Menggunakan cip MediaTek MT2523, bateri jam itu tahan antara tiga hingga lima hari. Ia kalis air dan boleh dihubungkan ke telefon pintar Android atau iOS untuk melihat panggilan masuk serta pesanan teks.

Komputer meja, paparan

Aspire GX

Komputer meja prestasi tinggi Acer, Aspire GX, menerima sedikit pembaharuan apabila kini dilengkapi pemproses baru AMD Ryzen 7 1700X sebagai pilihan mulai Mei ini.

Pengguna juga boleh memilih untuk model dilengkapi Ryzen 5 1600.

Namun, setakat ini belum ada harga dinyatakan Acer untuk model ini.

Aspire U27, Aspire Z24

Acer juga menampil komputer meja yang tiada lagi unit pemproses pusat (CPU) iaitu Aspire U27 (27 inci) dan Aspire Z24 (23.8 inci) yang CPU terbina dalam paparan.

Selain menjimatkan ruang, ia juga membolehkan pemasangan mudah.

Menggunakan pemproses Intel generasi ketujuh, Aspire U27 dan Z24 dibekalkan memori DDR4 sehingga 32 GB.

Aspire U27 hanya setebal 12 mm, paparan 27 inci (1920 x 1080), teknologi penyejuk tanpa kipas cecair LiquidLoop dengan harga untuk pasaran Amerika bermula pada $1,099 (RM4,835.

Aspire Z24 pula amat nipis, hanya 11 mm, menggunakan kad grafik Nvida GeForce 940MX dengan harga bermula $899 (RM3,955).

Skrin yang sesuai untuk CPU dibina bagi permainan komputer, Predator X27 dan Predator Z271UV menggunakan Teknologi Quantum Dot untuk pengalaman bermain yang mendebarkan.

Harga untuk pasaran Amerika bermula pada AS$1,099 (RM4,785).

Kedua-duanya bersaiz 27 inci dengan Predator X27 disokong Nvidia G-Sync HDR pada resolusi 4K.

Predator Z271UV pula paparan melengkung 1800R.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mei 2017 @ 1:29 PM