PENYAKIT bipolar sukar dikesan.
Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my

PERKARA paling membimbangkan apabila seseorang yang pada luarannya nampak sihat dan kelihatan normal namun hakikatnya mempunyai penyakit tersembunyi.

Mendiamkan diri dan fikiran sering bercelaru namun secara tiba-tiba emosi berubah menjadi terlalu gembira secara drastik.

Mungkin ada yang mengalami situasi itu namun menganggap ia bukanlah satu perkara yang perlu dibimbangkan.

Dalam erti kata lain, ramai yang tidak menyedari perubahan emosi yang berlaku itu sebenarnya adalah satu penyakit.

Tanpa sedar, individu terbabit berkemungkinan mengalami penyakit bipolar iaitu antara masalah mental yang mempunyai karakter emosi sentiasa berubah-ubah di antara kemurungan dan mania.

Dalam kata lain, ia turut dikenali sebagai gangguan kemurungan- mania.

Mengupas mengenai penyakit ini, pegawai perubatan Dr Latif Saad berkata, hampir semua golongan memahami maksud kemurungan namun mungkin ramai yang tidak mengetahui

apa yang dimaksudkan dengan mania.

Menurutnya, mania adalah lawan kepada perasaan murung. Seseorang yang mempunyai mania dikatakan akan berasa gembira yang berlebihan, terlalu aktif, kurang rasa ingin tidur, pemikiran yang bertukar-tukar dengan terlalu cepat hingga menyebabkan individu itu bercakap dengan banyak.

“Individu mengalami kemurungan pula akan mempunyai rasa sedih yang melampau, tidak aktif, sering rasa ingin tidur, tidak seronok melakukan perkara diminati dan berasakan tiada harapan untuknya.

“Oleh itu, bipolar adalah penyakit seseorang itu mempunyai emosi yang bertukar-tukar di antara mania dengan kemurungan, ” katanya.

Dr Latif berkata, kitaran emosi bipolar boleh berlaku dengan pantas apabila dalam minggu yang sama emosi pesakit boleh bertukar antara murung dan mania.

“Tetapi kebanyakan daripada pesakit bipolar tergolong dalam jenis yang lambat kitarannya. Ini bermaksud pesakit itu akan mengalami keadaan mania yang berminggu-minggu atau berbulan lamanya sebelum bertukar kepada keadaan murung,” katanya.


PERLU dapatkan rawatan segera sekiranya individu itu bertindak mahu membunuh diri.

JENIS BIPOLAR

Menurut Dr Latif, terdapat dua jenis penyakit bipolar iaitu bipolar jenis satu dan jenis dua.

“Untuk jenis satu, pesakit akan mengalami mania yang penuh dan kemurungan. Selalunya episod mania itu akan berterusan setiap hari lebih daripada seminggu.

“Untuk jenis dua, pesakit akan mengalami tanda hipomania sekiranya dibandingkan dengan mania. Hipo bermaksd sedikit dan hipomania bererti mempunyai sedikit simptom mania.

“Pesakit akan mempunyai simptom seperti kegembiraan, kurang tidur, asyik mahu bercakap, karakter yang tidak penyabar dan suka pergi membeli-belah. Tetapi ia hanya berlaku kira-kira empat hari berbanding bipolar jenis satu yang biasanya lebih daripada seminggu, katanya

Katanya, dalam keadaan ini, kebiasaannya ahli keluarga atau rakan terdekat akan berasakan pesakit masih normal kerana keadaan mania yang tidak seteruk bipolar jenis satu.


PELBAGAI faktor mungkin menjadi penyebab bipolar.

SIMPTOM BIPOLAR

Dr Latif menjelaskan simptom bipolar ketika fasa mania adalah:

- Mempunyai keyakinan diri yang tinggi. Sebagai contoh asyik bercakap di dalam media sosial seperti di Instagram dengan kekerapan yang tinggi walaupun bercakap sesuatu tidak ada makna

- Terlebih aktif

- Kurang tidur dengan ketara

- Kurang selera makan dan kurang berat badan

- Bercakap dengan laju. Dalam hal ini, pesakit akan bercakap satu topik kemudian pergi ke topik lain tanpa menghabiskan topik yang sebelumnya. Ini kerana idea di dalam mindanya masuk dengan terlalu banyak. Begitu juga dalam penulisannya.

- Idea yang terlampau banyak

- Tidak dapat fokus

- Suka melakukan aktiviti yang banyak dan berlebihan sehingga boleh mencederakan diri sendiri. Sebagai contoh, pesakit sebelum ini adalah seorang yang pemalas namun secara tiba-tiba bertukar menjadi terlampau rajin sehingga perkara dilakukan itu boleh memudaratkan dirinya. Dia mengemas rumah, memotong rumput, menukar lampu dan dia berani memanjat bumbung tanpa menggunakan peralatan keselamatan semata-mata mahu membersihkan saluran air di bumbung

- Suka berbelanja tanpa melihat berapa banyak yang dibelanjakan.

- Perangai yang agresif

Simptom bipolar ketika fasa murung pula adalah:

- Berasa sedih dan tiada harapan

- Tidak mempunyai minat dalam perkara yang disukai buat sebelum ini

- Susah untuk tidur

- Nampak tidak bertenaga

- Berasa bersalah dan kurang keyakinan diri

- Sentiasa berfikiran negatif

- Berasa hidup tidak bermakna

Kata Dr Latif, sekiranya keadaan pesakit bertambah teruk, akan mula terbit idea untuk membuat perancangan membunuh diri.

“Seperti mana-mana penyakit mental yang lain, penyakit ini tentu saja memberikan kesan kepada pekerjaan, gaya hidup juga perkara penting dalam kehidupan penghidap.

“Lebih membimbangkan apabila penghidap tidak menyedari dia mengalami penyakit ini dan menganggap dirinya normal. Pada anggapannya dia mungkin terlalu penat hingga mengganggu emosi diri,” katanya.

PUNCA BIPOLAR

Menurut Dr Latif, penyebab kepada penyakit bipolar masih lagi tidak diketahui.

“Ia boleh disebabkan masalah genetik dan persekitaran yang berinteraksi antara satu sama lain.

“Kajian terkini menunjukkan masalah ini berlaku disebabkan beberapa bahagian otak yang tidak menghasilkan jumlah kompaun penting yang betul, ” katanya.

Menurutnya, kompaun yang penting adalah serotonin, dopamin dan noradrenalin.

“Bagi faktor genetik, disebabkan bipolar selalunya membabitkan ahli keluarga, maka genetik ataupun baka memainkan peranan penting. Mereka yang mempunyai keluarga yang mengalami penyakit ini berisiko mengalami masalah sama.

“Jika ibu atau bapa mempunyai masalah bipolar, anaknya mempunyai risiko 10 hingga 15 peratus untuk mengalaminya juga,” ujarnya.

Menurut Dr Latif, terdapat beberapa faktor persekitaran yang boleh menyebabkan masalah bipolar ini bermula antaranya satu kejadian teruk yang mungkin menyebabkan individu itu tertekan.

“Ketika individu cuba menjadi normal semula, emosinya menjadi berlebihan hingga menyebabkan menjadi mania

“Disamping itu, penggunaan alkohol, dadah ataupun masalah hormon juga boleh memulakan penyakit bipolar,” katanya

Katanya, kadangkala individu yang mengalami kemurungan akan berjumpa doktor dan terus diberikan ubat antikemurungan.

“Mereka ini mempunyai potensi untuk menjadi mania kerana kadangkala doktor ketika itu tidak tahu pesakit mempunyai episod mania dan pesakit sendiri berasakan dia tidak mempunyai masalah.

“Apabila ubat antikemurungan diberi, kitaran itu terus berubah daripada murung menjadi mania. Oleh sebab itu, jika anda mengalami kemurungan dan sebelum ini mungkin mengalami episod mania, anda perlu memberitahu doktor supaya ubat yang tepat dapat diberikan,” ujarnya

Menurutnya, untuk mengesahkan seseorang itu mengalami masalah bipolar, individu itu perlulah berjumpa doktor.

“Prosedur yang betul adalah pesakit dibawa ke klinik kesihatan untuk diberi surat rujukan ke klinik pakar psikiatri di hospital. Jika keadaan pesakit terlalu teruk seperti mempunyai sikap agresif atau ingin membunuh diri, dia wajib untuk dibawa terus ke hospital.

“Pakar psikiatri akan menjalankan sesi temu duga kepada pesakit dan ahli keluarga untuk menentukan pesakit mempunyai masalah itu atau tidak,” katanya.

Kata Dr Latif, beberapa penyiasatan perlu dilakukan sebelum mengesahkan penyakit itu antaranya pengambilan darah untuk mengetahui jumlah garam, bacaan hormon tiroid, ujian dadah dan beberapa jenis bacaan lain.

“Ini kerana masalah daripada penyakit itu juga boleh menyebabkan seseorang itu mengalami simptom seperti mania ataupun kemurungan.

“Jika penyakit itu menyebabkan simptom seperti mania ataupun kemurungan, maka dia akan diberikan rawatan sewajarnya. Sebagai contoh kekurangan hormon tiroid boleh menyebabkan seseorang itu berada dalam keadaan murung dan rawatannya adalah dengan memberikan ubat hormon tiroid,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Oktober 2018 @ 4:00 AM