NURHANIZA.
Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my

Rawatan tradisional seperti bertangas, bertungku dan berurut lazimnya dilakukan wanita selepas bersalin atau keguguran saja. Itu pun kerana petua orang lama yang mengesyorkan wanita dalam pantang perlu sentiasa menghangatkan tubuh untuk memulihkan tenaga, membuang angin, mengubat luka peranakan, melancarkan kembali perjalanan darah, mengecutkan urat dan mengembalikan kecergasan diri.

Namun dalam menjalani rutin sebagai wanita normal yang sudah berkahwin mahupun memiliki anak, tidak ramai yang menjadikan rawatan tradisional ini sebagai amalan.

Sebenarnya bertangas, bertungku dan berurut bukanlah rawatan eksklusif untuk wanita berpantang saja. Ia wajar menjadi amalan wajib untuk semua wanita, khususnya mereka yang sudah berkahwin, pernah keguguran atau mempunyai anak.

Menurut pemilik Srisari Spa, Nurhaniza Abdullah Amri, amalan perubatan Melayu sejak dulu mempunyai banyak manfaat tersembunyi termasuk membantu merawat masalah dalaman wanita, mengembalikan kecergasan tubuh dan memelihara hubungan suami isteri.

“Asas rawatan kami adalah penggunaan herba. Ia bukan saja membantu dalam terapi tubuh, malah boleh dimakan dan dibuat mandi. Kemudian kami guna juga daun mengkudu, daun lengkuas, daun serai Aceh, daun serai wangi, pandan, sirih, gandarusa, biji halba serta jintan hitam sebagai pelengkap,” katanya.


HIMPUNAN daun herba menambahkan khasiat dalam bertungku.

Jelas Nurhaniza, ramai wanita kini berdepan masalah kerana tidak berpantang makan sebagaimana dinasihatkan orang dulu-dulu. Mereka tidak peduli sama ada yang dimakan disifatkan sebagai menjalar, berbulu, berangin, berubi mahupun sejuk hingga meninggalkan bisa dalam badan.

“Sebab itulah kami selalu galakkan wanita bertangas. Terapi ini bukan untuk wanita selepas bersalin saja. Malah, orang biasa pun boleh. Setiap kali tamat tempoh haid, wanita memang digalakkan bertangas untuk mengeluarkan lebihan darah, merawat masalah dalaman, keputihan serta gatal.

“Selepas bertangas, barulah bertungku. Wanita sekarang tidak ramai tahu bertungku boleh membantu meningkatkan metabolisma tubuh. Kalau orang yang kurang berpeluh, dia akan berpeluh.

“Keduanya, ia membantu melembutkan otot yang tegang. Jadi, biasanya, sebelum berurut, kami akan cadangkan supaya bertungku terlebih dulu untuk mengurangkan rasa sakit akibat ketegangan otot.

“Amalan ini juga mampu meningkatkan aliran darah dalam badan, mengeluarkan angin perut dan merangsang sistem limfa, sekali gus mengeluarkan toksin serta lebihan yang tidak diperlukan tubuh,” katanya.


ANTARA herba digunakan untuk bertangas dan bertungku.

Uniknya rawatan di spa ini, Nurhaniza menggunakan pelbagai produk herba asli yang dihasilkan sendiri. Malah, wanita ini juga menjadi pembekal produk herba dan perkakas terapi tradisional untuk pengusaha spa lain di seluruh negara.

“Saya kerap tekankan kepada wanita yang datang ke sini, mereka perlu menjaga tubuh dan menjadikan amalan bertangas, bertungku dan berurut sebagai rutin bulanan wajib.

“Ini kerana tubuh kita terlalu banyak terdedah kepada pemakanan tidak sihat, hawa dingin, jarang memakai stokin dan selalu mengambil mudah perubahan dalam diri.


BERTUNGKU meningkatkan metabolisma tubuh.

“Peringatan sebegini penting kerana ramai yang datang mendapatkan rawatan hanya selepas mengalami masalah. Ada yang mengadu risau dengan keputihan berbau yang teruk. Mereka ini biasanya kami suruh bersihkan diri dan rawat dengan cukup wangi atau bertangas kering.

“Jika ada keputihan melampau, biasanya kami akan rawat dengan bertangas basah selama dua hari berturut-turut, diikuti ukup wangi pada hari ketiga. Menariknya, sepanjang proses bertangas kering, asap yang menghangatkan pati bunga dan herba ini akan menyerap masuk ke liang pori kulit. Jadi, selepas habis bertangas, seluruh tubuh akan berbau wangi,” katanya.


BERTANGAS perlu jadi rutin wanita untuk kembali sihat.

Wanita perlu bertangas

1. Mengalami mati putik (masalah disfungsi seksual)

2. Mempunyai kesan trauma melahirkan (fizikal dan emosi)

3. Mengalami keputihan

4. Menjalani gaya hidup tidak seimbang

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Oktober 2018 @ 1:44 PM