MEMBERUS gigi.
Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my

Kerap kali tip penjagaan wajah dan tubuh menyebelahi wanita. Bukan tidak ada panduan khusus untuk lelaki tampil kemas dan menawan, namun kecenderungan wanita dalam hal berkaitan memang jauh lebih tinggi berbanding kaum Adam.

Lihat saja bagaimana kalutnya wanita setiap kali timbul cela pada wajah atau berlaku perubahan pada kulit. Mereka pantas mendapatkan penyelesaian terbaik kerana bimbang masalah berterusan. Berbeza dengan lelaki, mereka lebih tenang dan tidak mudah terganggu dengan perkara remeh.

Apapun reaksinya, tidak bermakna lelaki harus mengabaikan kepentingan rutin penjagaan diri yang baik. Sebagai individu, tidak kira lelaki atau wanita, masing-masing perlu tahu menitikberatkan soal kebersihan, kekemasan wajah dan kesihatan tubuh supaya nampak elok di mata orang lain.

Cuba semak tip berikut. Adakah ia termasuk dalam rutin harian diri anda atau pasangan? Beri perhatian pada tubuh walaupun hanya untuk kepuasan diri. Tentu ramai orang di sekeliling yang menghargai perubahan anda!

1. Memberus gigi

Asas dalam penjagaan diri adalah dengan mempunyai gigi bersih, nafas tidak berbau dan senyuman menawan. Jadi, pastikan anda memberus gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari. Lihat di cermin setiap kali selepas anda berkumur dan cuba hidu nafas sendiri. Sekiranya merokok, amalkan penggunaan cecair pembersih mulut untuk nafas lebih segar, sekali gus melawan bakteria yang mungkin menyebabkan nafas berbau. Gunakan juga ubat gigi yang boleh menanggalkan kesan kuning akibat asap rokok.

2. Berkuku pendek

Ramai lelaki kurang memberikan perhatian kepada penjagaan kuku, terutama di bahagian kaki. Memandangkan kita kerap berkomunikasi dengan isyarat jari, berjabat tangan, menulis, menaip, bertukar barang dan sebagainya, pastikan kuku tangan sentiasa dalam keadaan bersih serta pendek.

Kuku kaki juga tidak ketinggalan. Sekalipun anda kerap menyarung sepatu berbanding selipar, kebersihan kuku kaki tetap perlu diambil kira.


BERKUKU pendek.

3. Rambut kemas

Pernahkah anda berasa mual apabila berselisih bahu dengan lelaki atau wanita yang jarang mencuci rambut? Bukan setakat bau menjijikkan, rambut yang tidak dijaga juga melengkapkan rupa yang selekeh. Sebenarnya, mencuci rambut bukan susah. Gunakan apa saja jenis syampu bersesuaian dan pastikan rambut dirapi kemas dengan sikat. Dapatkan potongan rambut pendek untuk memudahkan penjagaan.

4. Cuci muka

Jerawat mungkin tumbuh disebabkan masalah hormon, sinus, resdung atau terlalu kerap terdedah pada terik matahari. Cuba tangani masalah ini kaedah penjagaan wajah yang betul atau berjumpa pakar kulit. Bagi yang tidak mempunyai masalah jerawat, anda juga wajib memiliki rutin penjagaan wajah biarpun hanya dengan mencuci muka pada sebelah pagi dan malam. Pastikan tiada liang pori wajah yang dibiarkan tersumbat.


CUCI muka.

5. Membersihkan telinga

Walaupun telinga bukan tarikan utama setiap kali anda bertentang mata dengan orang lain, namun kotoran yang kelihatan tetap meloyakan sesiapa yang memandang dari sisi. Bayangkan kerak di lubang telinga yang bertahun tidak dicuci, karat daki di cuping dan sisi belakang. Jangan ditanya kenapa tiada wanita yang sudi mendampingi, apalagi jodoh yang tidak kunjung tiba. Cuci cuping telinga dengan sabun setiap kali mandi dan bersihkan dengan putik kapas sekurang-kurangnya dua kali seminggu.

6. Bercukur

Perubahan zaman menonjolkan gaya maskulin berbeza dari semasa ke semasa. Memandangkan ramai lelaki kini cenderung menyimpan jambang, misai dan janggut nipis, beri perhatian pada rutin bercukur serta membersihkan rambut di sekitar wajah. Dapatkan khidmat merapi di kedai gunting jika anda tidak mahir dalam penggayaan. Rapikan setiap kali sebelum keluar rumah.


BERCUKUR.

7. Perut seimbang dada

Bukan semua lelaki mampu mengamalkan rutin senaman untuk mendapatkan perut rata dan berlekuk. Namun begitu, anda masih boleh mengawal pemakanan supaya tidak boroi dan menjejaskan penampilan untuk jangka panjang. Memadai jika anda dapat mengekalkan bentuk perut yang rata, sebagaimana kerap disuarakan ramai lelaki kepada wanita yang menjadi pasangan hidup mereka. Hidup perlu adil bukan?

8. Bau badan

Bohong andai ada yang mengatakan bahawa bau badan itu seksi! Urus bawah lengan dengan bercukur mengikut keperluan. Bagi yang kerap berpeluh, amalkan pemakaian deodoran untuk mencegah bau badan. Sental bawah lengan dengan limau purut sekurang-kurangnya sekali seminggu dan kurangkan pengambilan makanan berempah.

Gunakan mandian yang dikhususkan untuk mereka yang aktif bersukan atau mempunyai fungsi antibakteria. Keringkan tubuh sebelum mengenakan sebarang pakaian. Elakkan memakai wangian yang menusuk rongga hidung kerana dikhuatiri memburukkan lagi keadaan apabila anda berpeluh.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Oktober 2018 @ 1:23 PM