LANGKAH demi langkah solekan Malar Segar, selepas disolek. FOTO/MAHZIR MAT ISA
Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my

MEKAP sederhana sudah memadai jika perlu ke pejabat dengan kadar segera. Sekurang-kurangnya, kulit kusam, cela wajah dan rona tidak sekata dapat ditutup seketika dengan penampilan wajah segar dan bertenaga.

Mudahnya, mekap sebegini hanya memerlukan sapuan nipis berbanding solekan khusus buat pengantin. Ini bagi mengelakkan wajah tampak berlebihan dan tidak senada dengan busana yang digayakan.Jurusolek artis, Albion Hassan (albin_hassan) berkata, sebelum menggunakan alat solek, wajah memerlukan semburan pelembap dan disapu rata dengan primer.

“Sapuan primer membantu melembapkan kulit dan mengurangkan kesan rekah pada solekan. Ia juga membantu wajah nampak lebih mulus dan menawan. Di pasaran, terdapat banyak jenis primer. Pilihannya bergantung kepada jenis dan keperluan kulit. Selepas itu, barulah kita mulakan dengan bedak asas bersesuaian dengan rona wajah,” katanya.

Jelas Albion, ada banyak tip yang boleh dijadikan panduan wanita setiap kali menyapu bedak asas pada wajah. Jika mahu menutup segala cela dan memberi litupan sekata, gunakan berus untuk membantu. Namun jika mahukan kesan solekan sempurna, gunakan span untuk meratakan bedak asas ke seluruh wajah.

“Biasanya solekan menggunakan berus hanya melitupi atas kulit. Jadi, kita gunakan span untuk menampakkan wajah lebih mulus. Begitu juga dengan muka yang tercela dengan parut jerawat.

“Lazimnya, kita gunakan jari untuk meratakan bedak asas dan disempurnakan dengan span sehingga kesan cela terlindung. Ini penting untuk mendapatkan hasil solekan yang seimbang.


DANDANAN rambut segar melengkapkan solekan.

“Selepas bedak asas, bentukkan wajah dengan sapuan pembayang atau bedak asas lebih gelap dari ton kulit di bahagian tulang pipi dan sisi hidung. Adun sehingga menampakkan bentuk wajah semula jadi dan kemaskan dengan sapuan bedak lut sinar,” katanya.

Untuk yang masih baru menggunakan alat solek, bedak lut sinar adalah pilihan terbaik berbanding bedak tabur kerana keupayaannya menyamai ton kulit pemakai.

Jadi, hasil solekan lebih kemas dan sekata.Gunakan berus sesuai untuk melayangkan sapuan bedak lut sinar supaya wajah tampak lebih gebu.

Jika tidak mengenakan tudung, seimbangkan solekan hingga ke bahagian leher bagi mendapatkan ton sekata.Apabila wajah sedia untuk dihias, mulakan dengan bahagian mata. Bentukkan kelopak dengan sapuan pembayang rona coklat, diikuti warna lebih cerah dengan kesan sedikit kilat.

Kemaskan adunan warna dengan sapuan rona coklat gelap kemerahan.Bagi menampakkan kesan segar pada solekan, gariskan bawah mata dengan pensil rona merah jambu pudar.

Kemudian oles pemerah pipi rona merah jambu. Tambah penyerlah di bahagian tulang pipi, hidung, dahi, dagu dan atas bibir untuk menonjolkan lagi bentuk wajah.Bentukkan kening menggunakan krim atau pensil dan kemaskan dengan bedak senada. Sempurnakan mata dengan pemakaian bulu mata palsu.

Pilih jenis bulu mata yang nampak semula jadi atau gantikan saja dengan sapuan maskara. Melengkapkan solekan, oles gincu rona pic kemerahan dan kemaskan dengan pengilat bibir.

Kata Albion, solekan malar segar harus nampak bersih. Justeru, pastikan solekan tidak meninggalkan kesan garisan pada wajah dan disebabkan itu ia perlu diadun rata menggunakan berus atau span khas.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Oktober 2018 @ 4:00 AM