OEI menyampaikan ucapan kepada penduduk kampung dan sukarelawan terbabit.
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

Penggunaan air bagi suri rumah sememangnya sangat tinggi. Sumber utama ini biasa digunakan untuk keperluan dapur seperti membasuh pinggan mangkuk, baju dan membersihkan diri. Malangnya kesedaran menggunakan air secara minimum masih rendah dalam kalangan wanita sehingga berlaku pembaziran.

Ini dapat dilihat apabila pili dibiarkan terbuka ketika menggosok gigi, menggunakan air yang banyak kala membasuh baju dan mencuci kenderaan sedangkan ia dapat dijimatkan.

Menurut data terbitan Save the Water, sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan menerusi penyelidikan sains air, mendapati 0.4 peratus air dikongsi tujuh bilion penduduk dunia.

Tetapi, ramai yang tidak menggunakan air secara cekap. Berhadapan keadaan membimbangkan ini, Colgate sekali lagi menjalankan kempen Selamatkan Air bersama Watsons bagi tahun kedua berturut-turut untuk mendidik dan menyebarkan kesedaran mengenai pentingnya memulihara kelangsungan air yang menjadi sumber utama dalam kehidupan.

Menurut Pengarah Undang-Undang Colgate-Palmolive Malaysia, Wanaz Merican, tidak dinafikan mendapat air bersih sering diambil mudah oleh kebanyakan orang terutama wanita. Ini kerana ramai sudah terbiasa dan ‘dimanjakan’ dengan ketersediaan air bersih yang boleh diperoleh pada bila-bila masa.

“Sebagai usaha meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan memulihara air, kami mengadakan kempen ini di seluruh dunia pada setiap tahun untuk menggalakkan orang ramai menutup pili air ketika memberus gigi. Semudah usaha ini, ia mampu menjimatkan 15 liter air,” katanya.


KAKITANGAN Colgate dan Watsons bekerjasama menyediakan akses air bersih kepada penduduk.

Bermatlamat menyediakan solusi air bersih secara mampan kepada komuniti luar bandar, Colgate Malaysia bersama Epic Communities dan Watsons Malaysia mengunjungi Kampung Hulu Tamu di Batang Kali, Selangor yang didiami 60 keluarga orang asli (populasi seramai 300 orang) untuk membantu meringankan isu ini melalui pengubahsuaian sistem air suapan graviti yang terletak berhampiran sumber air semula jadi.

Sebelum ini, penduduk kampung bergantung kepada sistem air yang terletak di kawasan tinggi dan sering berhadapan gangguan bekalan air seperti paip air yang kerap pecah. Sesetengah penduduk membina empangan mini mereka sendiri, tetapi kosnya agak mahal. Kesukaran itu memaksa penduduk kampung mendapatkan air dari sungai berhampiran, tetapi ia sangat bahaya.

Menurut Pengarah Urusan Watsons Malaysia Caryn Loh, sebagai salah sebuah rangkaian peruncitan farmaseutikal terbesar di Malaysia, Watsons percaya dalam amalan menyumbang semula kepada komuniti dan alam sekitar untuk menyediakan impak positif terbesar kepada komuniti sekeliling.

“Kami berazam untuk memperkasakan dan mendidik wanita supaya bersama-sama memulihara air, menerusi kerjasama yang terjalin dengan Colgate.

“Pada tahun lalu, usaha pemuliharaan air yang diadakan oleh Colgate Malaysia berjaya meningkatkan kadar kesedaran umum terhadap matlamat perjuangan kami, namun demikian, kami juga percaya bahawa ada lebih banyak peluang yang boleh diterokai bukan sekadar memulihara air,” katanya.

Bersempena kempen ini Colgate turut mengagihkan kit penjagaan mulut kepada kanak-kanak kampung Hulu Tamu dan berkongsi pendidikan amalan penjagaan kesihatan mulut baik melalui demonstrasi teknik memberus gigi efektif.

Sebahagian daripada usaha menggalakkan kesedaran terhadap kempen Selamatkan Air ini Watsons Malaysia menyediakan hadiah utama 2,000 mata keahlian untuk dihadiahkan kepada peminat yang berkongsi panduan pemuliharaan air dalam kehidupan seharian di laman Facebook mereka berserta hashtag #MySaveWaterTips.


WAKIL Colgate Malaysia, Watsons Malaysia dan Epic Communities menunjukkan cek bernilai RM20,000 untuk penduduk Kampung Hulu Tamu.

Pada masa sama usaha dijalankan Epic Communities mengumpul dana bernilai RM54,000 bagi projek berkenaan dan memperbaharui sistem air suapan graviti.

“Kerja komuniti seperti ini bukan suatu yang baharu bagi kami, disebabkan pengalaman dalam bidang fasilitasi pembangunan terutamanya bagi orang asli di Malaysia. Oleh itu, apabila Colgate menjemput untuk mengambil bahagian dalam projek ini, kami terus bersetuju memandangkan kami turut berkongsi visi sama iaitu membawa kegembiraan kepada komuniti orang asli. Kami berharap akan wujud lebih banyak peluang untuk bekerjasama pada masa depan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Epic Communities, Johnson Oei.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Oktober 2018 @ 2:00 PM