YAKIN dengan kebolehan diri, Nurshuhada kini menjadi antara peneraju syarikat teknologi kewangan.
Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my

Di sebalik wajah ayu, tersembunyi sifat tegas dalam dirinya. Tidak hairanlah ibu muda ini mampu menggalas tugas besar sebagai ketua pegawai eksekutif dalam bidang perniagaan berasaskan teknologi maklumat yang jarang diceburi wanita.

Malah, pemilik nama Nurshuhada Zainal memilih kerjaya sebagai usahawan kerana mahukan fleksibiliti masa menguruskan dua anak berusia lapan dan dua tahun.

Meskipun wanita ini berpengalaman lebih 10 tahun makan gaji di syarikat besar dalam jabatan sumber manusia, kehadiran dua cahaya matanya itu juga membulatkan tekadnya supaya tidak terikat dengan waktu pejabat.

Lebih penting baginya ketika itu, bidang yang dipilih haruslah mempunyai banyak masa sampingan untuk berada di rumah dan boleh bekerja secara dalam talian saja dari rumah.

“Saya percaya bahawa bidang perniagaan adalah sembilan daripada 10 punca rezeki dan dapat mencapai cita-cita saya mendapatkan kebebasan kewangan pada usia muda.

“Saya juga menanam impian untuk bersara awal dan tidak perlu menunggu sehingga umur 50 ke 60 tahun untuk bersara. Maka menjadi usahawan dan bekerja keras sementara usia masih muda untuk membina empayar sendiri adalah langkah terbaik sebagai wanita zaman moden ini,” katanya.

Mengetuai syarikat Bumiputera yang menjadi antara perintis teknologi blockchain di Malaysia, BCMY Pte Ltd (BCMY), Nurshuhada antara tulang belakang kejayaan teknologi kewangan di negara ini.

Mengulas lanjut, wanita yang memiliki diploma pengajian perniagaan ini kemudian menyambung pengajian dalam Ijazah Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia sebelum memulakan kerjaya sebagai pegawai sumber manusia dan penasihat kewangan.

Berbekalkan pengalaman dan latar belakang perniagaan dan kewangan, Nurshuhada menerajui syarikatnya sendiri dalam bidang teknologi kewangan.

Bagaimanapun, kejayaan yang dimiliki tidak semudah yang dilihat dengan mata kasar. Cabaran dalam bidang yang diceburinya itu terutama dari segi mendidik masyarakat memandangkan bidang teknologi kewangan dan mata wang digital adalah suatu perkara baru baik di dalam dan luar negara.

Katanya, memberi pendidikan kepada masyarakat adalah cabaran utama khususnya bagi mendedahkan kepada orang ramai kepentingan teknologi ini dan ia akan menjadi pelengkap kepada kehidupan seharian kerana ia berkait rapat dengan penggunaan kewangan.


NURSHUHADA bersama pengasas bersama syarikat memastikan hala tuju dan perkembangan perniagaan dibina.

“Selain itu, sebagai penggerak utama syarikat dalam industri baru ini juga bukan mudah kerana untuk memahami sesuatu yang baru saya juga perlu sentiasa tingkatkan ilmu sendiri berkenaan teknologi ini dan ekosistemnya.

“Sebab itu saya sentiasa membaca buku, artikel dan bahan bacaan untuk sentiasa memastikan ilmu yang saya ada sesuai dan boleh diaplikasikan di dalam syarikat untuk sentiasa maju.

“Untuk memperkenalkan produk berteknologi baru bukan mudah apatah lagi apabila ia berkait rapat dengan pemasaran secara meluas.

“Ramai yang memperkecilkan kebolehan saya dalam menjadi tunggak syarikat yang memperkembangkan produk lebih kepada 10 negara. Malah, ada yang merasakan wanita tidak layak ke depan sebagai usahawan berjaya.

“Tetapi, saya buktikan kemampuan dengan memberikan 100 peratus komitmen kepada projek yang saya kendalikan,” katanya.

Bagaimanapun katanya, dia begitu bersyukur dan amat berterima kasih kerana mempunyai suami yang memahami kerjayanya. Bukan setakat itu, mereka juga mengagihkan tugas masing-masing dari segi pengurusan anak.

Nurshuhada berkata, dia juga akan memastikan setiap kali ke luar negara atas urusan perniagaan, keluarganya akan dibawa bersama untuk meluangkan masa bersama mereka.

Dia turut memastikan apabila terjun dalam bidang ini, matlamat untuk memiliki fleksibiliti masa digunakan sebaik mungkin seperti meluangkan masa menghantar anak ke sekolah dan bergilir dengan suaminya untuk menjemput anak selepas waktu sekolah.

Selain itu, dia juga sentiasa mencuri masa memasak pada hujung minggu jika tiada tugasan luar untuk suami dan anak merasai masakan air tangannya.

Ditanya mengenai hubungan dengan kakitangan, Nurshuhada mengakui sentiasa mengamalkan komunikasi terbuka dan lebih menggemari cara berterus terang dan telus dalam setiap urusan kerja harian.

“Saya memberi ruang kepada semua pekerja untuk memberi idea, cadangan dan ruang membangun untuk kebaikan mereka. Saya tidak menyekat potensi mana-mana pekerja. Jika ada yang boleh digilap, saya akan beri panduan dan latihan untuk memastikan saya menjadi mentor yang baik kepada mereka.

“Saya berikan sepenuh kepercayaan untuk pekerja membuat keputusan dalam menjayakan sesuatu tugasan diberi kerana mahu mereka belajar erti susah dan berusaha dalam mencapai sesuatu dan belajar daripada kesilapan yang dilakukan.

“Setiap tugasan yang diberikan, saya akan beri peluang untuk pekerja tunjukkan potensi. Melalui cara itu saya boleh pantau dari semasa ke semasa. Saya juga pastikan setiap pekerja diberi peluang untuk peningkatan kerjaya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Oktober 2018 @ 2:28 PM