LABUH dan menepati tuntutan syariah.
Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my

Seiring perkembangan pesat industri pakaian Muslimah di negara ini, penghasilan tudung juga mengalami revolusinya yang tersendiri, malah tidak dinafikan fesyen tudung menjadi antara perkara yang dititikberatkan si pemakai selain memenuhi tuntutan agama.

Pengguna mempunyai pelbagai pilihan, daripada selendang, pakaian dan pelengkap Muslimah, malah mereka kini bijak memilih apa yang sesuai serta lebih suka kepada konsep pantas dan mudah digayakan.

Pemakaian tudung atau selendang kini semakin mudah kerana pereka semakin bijak menyesuaikan rekaan dengan keperluan seseorang Muslimah.

Ditambah dengan kesibukan wanita berkerjaya, pemakaian tudung yang mudah dan pantas menjadi dambaan kerana golongan ini pastinya mahu serba serbi dilaksanakan dengan cepat termasuk menggayakan tudung.

Menyedari belenggu yang dihadapi ramai wanita, Pengasas Scarf by Amieyza, Norfaizah Madzin tampil dengan koleksi tudung segera, ‘silang ekspres’ yang memerlukan hanya dua langkah mudah untuk tampil bergaya.

Norfaizah berkata, mengambil masa kurang 10 saat, tudung yang dilengkapi sengkuap lembut dan bersambung dengan selendang sifon hanya disarung sebelum hujung sebelah bahagian tudung dibawa ke bahu dan dipin.

Katanya, selain mewarnai fesyen tudung tempatan dengan gaya terkini, jenama itu juga mempunyai visi menyediakan tudung yang mudah dan pantas digayakan untuk semua peringkat umur wanita.

“Kebiasaannya untuk setiap versi yang dikeluarkan kami akan menyediakan sekurang-kurangnya 15 hingga 20 pilihan corak dan warna menarik untuk pilihan pelanggan.

“Sasaran kami untuk mendapatkan pembelian ulangan daripada pelanggan yang sudah mencuba tudung kami. Kami yakin apabila pelanggan sudah menyukai satu rekaan, mereka akan membeli warna atau corak lain untuk menambah koleksi tudung.

“Kepakaran kami adalah mengeluarkan tudung rekaan sendiri dengan menggunakan fabrik selesa untuk digunakan sepanjang hari, lebih-lebih lagi di negara beriklim panas seperti di Malaysia,” katanya.


TUDUNG yang senang dipakai dan mudah dibawa mengembara.

Menurut Norfaizah, untuk koleksi itu, sifon polos dan bercorak daripada jenis berat digunakan bagi memastikan tudung tidak jarang dan hanya daripada kualiti premium yang selesa dipakai.

Menariknya, ia tidak memerlukan penjagaan rapi, malah senang dibawa ketika bercuti atau mengembara kerana tidak perlu diseterika selain mudah digayakan.

Katanya, koleksi hijab ‘silang ekspres’ itu mula dikeluarkan pada awal tahun ini dan mendapat sambutan menggalakkan bukan saja dari Malaysia, malah ada pembeli dari Singapura dan Brunei.

“Kami akan pastikan material yang digunakan konsisten dan tetap sama sejak mula kami keluarkan koleksi ini hingga sekarang. Apa yang penting, kualiti jahitan untuk setiap tudung dipastikan kemas dan memuaskan hati.

“Selain itu, tudung ini juga labuh melepasi dada untuk memenuhi tuntutan syariah dan memastikan aurat wanita terjaga. Dari segi harga pula, koleksi ini dijual dengan harga berpatutan mengikut jenis tudung atau selendang serendah RM50 hingga RM59.

“Meskipun dengan kualiti premium, harga ditawarkan berpatutan dan mampu milik agar semua Muslimah dapat bergaya anggun dan sopan tanpa mengeluarkan belanja besar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Oktober 2018 @ 8:00 AM