GAUN bertingkat mencerminkan gaya lama.
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

Fesyen sama seperti putaran roda. Ia akan berputar mengikut waktunya dan kembali menemui peminat mengikut fasa tertentu. Untuk 2019, ramai penggiat fesyen menjangkakan gaya retro akan kembali menguasai pentas peragaan.

Mengambil kira gaya terkini dan versatil, pereka terkenal Ezuwan Ismail pantas mengetengahkan gaya retro untuk koleksi terbaru pakaian sedia dipakai RTW Ezuwan Ismail musim bunga dan panas 2019.

Mengambil inspirasi retro seni pop yang menjadi konsep utama dan motif ditampilkan, tujuan Ezuwan hanya ingin mengabadikan ikon seni negara, Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan Saloma dalam setiap rekaannya.

“Tujuan utama pemilihan konsep ini adalah sekadar ingin menghubungkan fesyen sebagai medium perantara dalam mengembalikan nostalgia agung biduan dan biduanita negara.

“Daripada kita mengagungkan imej antarabangsa seperti Marilyn Monroe dan kartun Marvel, mengapa tidak karya hebat ini disimpan dan ditempatkan dalam kedudukan tertinggi, seterusnya menjadi simbolik kebanggaan rakyat Malaysia,” katanya.


DENIM dan jaket dengan cetakan gambar figura seniman Tan Sri P Ramlee dan biduanita Saloma.

Bijak dalam membuat percaturan, Ezuwan mengambil motif figura kesayangan ramai ini dan mengubahnya kepada versi kartun. Ia sekurang-kurangnya mendekatkan diri terutama kepada generasi muda dan kembali mengingati karya agungnya sebelum ini.

“Saya tidak mahu ia nampak terlalu ‘berat’ untuk diterima ramai. Sebab itu imej kartun ini ditampilkan dalam setiap rekaan busana. Ia kelihatan lebih menawan dan nampak hidup,” katanya.

Sesuai dalam bulan kemerdekaan dan Hari Malaysia, Ezuwan turut menerapkan motif unsur kemerdekaan dan logo Ezuwan Ismail dalam setiap helaian. Sudah pasti suntikan semangat ini sebagai rasa tanggungjawab kepada negara.


SEDERHANA namun menarik digayakan.

Menghimpunkan 18 rekaan, dengan 12 wanita dan enam rekaan lelaki, Ezuwan menggunakan fabrik denim, neoprene, sifon, net, dutchess dan kapas kerana semua fabrik ini mempunyai keistimewaan serta selesa digayakan.

Hadir dengan rona terang seperti kuning, merah jambu, biru dan merah, ia bersesuaian dengan tema seni pop yang memaparkan keceriaan serta kegembiraan.

“Menariknya setiap material adalah hasil rekaan pelukis tempatan dan dicetak di atas fabrik dengan proses pembikinan mengambil masa dua bulan. Ini bagi memastikan penghasilannya tiada cacat celanya dan nampak anggun digayakan,” katanya.


KOLEKSI lelaki dan wanita.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 September 2018 @ 4:00 AM