REKAAN polos dengan sedikit perincian manik pada bahagian bawah tudung.
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

Berpakaian mengikut syariat Islam pada masa sama tampil menyerlah, ini antara cabaran yang harus dihadapi Simaa Berhannudin, 28, ketika mula memperkenalkan jenama tudung By Simaa.

Meletakkan dua syarat utama dalam penghasilan rekaan tudung iaitu labuh dan selesa, bagi Simaa tujuan utamanya adalah ingin mengubah skeptikal dan pandangan masyarakat, mengenai pemakaian tudung labuh yang kelihatan kurang bergaya atau hanya untuk golongan berusia.

“Jika dulu tudung labuh sinonim dengan wanita berusia, namun menerusi jenama ini kami menawarkan rekaan tudung labuh yang lebih terkini dan mengikut hukum syarak.

“Dalam erti kata lain, wanita Muslimah masih boleh kelihatan anggun walaupun bertudung labuh. Malah, ia sesuai untuk semua lapisan usia disebabkan rekaan yang mengikut cita rasa orang muda,” katanya.


TUDUNG bercorak untuk gaya kasual.

Mengetengahkan rekaan polos dan bercorak pada fabrik berkualiti dan tidak jarang, ia bagi memberikan keselesaan kepada si pemakai.

Bagaimanapun, dia tidak mengambil mudah dengan terus menghasilkan sesuatu koleksi dan menjualnya kepada pelanggan.

Kelahiran koleksi tudung labuh ini memakan masa yang panjang bagi sesi kajian dan penghasilan prototaip atau contoh rekaan beberapa kali untuk mendapatkan kepuasan maksimum.

“Untuk rekaan yang sedia dipasarkan, saya terpaksa menghasilkannya beberapa kali. Ini kerana saya memberikan tumpuan pada labuh tudung, keluasan muka dan kesesuaian fabrik. Keistimewaan jenama ini adalah pada pilihan fabrik yang tidak jarang dan selesa dipakai terutama dalam cuaca panas di Malaysia.

“Selain itu, labuh tudung pada bahagian depan dan belakang turut diambil kira agar aurat terjaga. Paling utama penekanan kepada konsep kesederhanaan dan minimalis untuk memberi imej eksklusif kepada pelanggan,” katanya.


WARNA lembut sesuai imej wanita Muslimah.

Dia tambah bersemangat menghasilkan tudung patuh syariah apabila menerima maklum balas positif pelanggan yang menyukai rekaan ditampilkan.

Bercerita bagaimana mula berniaga, ujar Simaa, sebaik saja menamatkan pengajian dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Kejururawatan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dia berniaga secara sambilan dengan menjadi ejen dropship dan menjual tudung jenama lain.

“Pada mulanya saya hanya menjadi stokis selama setahun. Dari situ saya menimba banyak pengalaman dan dapat mengumpul modal bagi merancang perniagaan sendiri. Pelbagai rintangan saya hadapi ketika berniaga. Namun sokongan ibu bapa menguatkan semangat untuk terus berada dalam dunia perniagaan.

“Akhirnya selepas bersedia dari segi kewangan dan ilmu, pada 2015, saya menghasilkan tudung jenama sendiri dengan rekaan pertama tudung bersengkuap,” ceritanya.

Koleksi pertamanya mendapat sambutan menggalakkan sehingga meyakinkannya untuk melangkah lebih jauh dan bertahan sehingga kini.


JAHITAN bunga tiga dimensi memberikan imej segar kepada si pemakai.

Jelas Simaa, dia sering mendapatkan maklum balas pelanggan mengenai kekurangan dan kelebihan serta membuat rujukan di Internet mengenai fesyen terkini bagi melengkapkan rekaan yang diminati semua.

“Memang cara ini sangat berkesan kerana kami tahu rekaan disukai pelanggan dan mengekalkannya dalam kuantiti yang banyak,” katanya.

Mengenakan harga RM39 sehingga RM79 bergantung kepada material kain dan rekaan ditawarkan, semua koleksi tudung labuh boleh didapati menerusi dalam talian atau datang ke butik yang terletak di Sungai Petani, Kedah.

“Kami percaya nilai yang akan pelanggan peroleh dalam setiap koleksi tudung ini melebihi harga ditawarkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 September 2018 @ 3:20 AM