PELANCARAN kit untuk menyeru pelajar mengusulkan kebaikan untuk menamatkan isu buli.
Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my

Gejala buli dalam kalangan kanak-kanak dan remaja di negara ini bukanlah perkara baru. Ini berdasarkan banyak laporan media menunjukkan pelbagai kejadian buli yang berlaku bukan saja di sekolah berasrama penuh malah sekolah harian biasa.

Antara 2012 dan 2015, Kementerian Pendidikan melaporkan sejumlah 14,000 kes buli di sekolah seluruh negara.

Kajian #ForEveryChild oleh UNICEF tahun lalu pula menunjukkan tujuh daripada 10 kanak-kanak paling bimbang mengenai buli (berbanding tiga dalam 10 orang di Jepun atau empat dalam 10 orang di United Kingdom) dan 64 peratus kanak-kanak yang menyertai kajian meluahkan kebimbangan mengenai keganasan terhadap mereka.

Bagi menyeru usul untuk mengakhiri gejala buli di sekolah dan menjadikan suasana pembelajaran selamat, Kementerian Pendidikan, WOMEN: girls dan UNICEF bergabung dengan 150 pelajar dari SMK Bandar Baru Sri Petaling melancarkan kit #KidsTakeOver Schools Hari Kanak-Kanak Sedunia, baru-baru ini.

DARI MUKA H57

Pelancaran disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Penyelidikan dan Rancangan Pendidikan Kementerian Pendidikan, Dr Ahmad Rafee Che Kassim dan Pakar Inovasi UNICEF Issmail Nnafie.

Bertemakan Kebaikan untuk Setiap Anak, dengan kit itu, pelajar di negara ini dijemput mengajukan usul 'Kebaikan' sebagai sebahagian Projek Kebaikan Sekolah yang dijadual berlangsung pada 19 November ini sempena Hari Kanak-kanak Sedunia.

Kit itu dilancarkan sempena kempen global UNICEF #ENDviolence dan laporan global baru berjudul 'An Everyday Lesson: #ENDviolence in Schools' yang mendedahkan separuh daripada pelajar berusia 13 hingga 15 tahun di seluruh dunia iaitu sekitar 150 juta dilaporkan mempunyai pengalaman dikasari rakan di dalam dan di sekitar sekolah.

Data dalam laporan itu mendedahkan 39 peratus pelajar Malaysia berusia 13 hingga 15 tahun dikasari rakan di dalam dan di sekitar sekolah iaitu kadar lebih tinggi pelajar yang dilaporkan dibuli di sekolah berbanding Indonesia (35 peratus) dan Kemboja (28 peratus), namun lebih rendah daripada Thailand (45 peratus). Vietnam dan Brunei pula masing-masing 38 peratus.

Laporan global itu juga menunjukkan sementara kanak-kanak perempuan dan lelaki sama-sama berisiko mengalami buli, kanak-kanak perempuan lebih berkemungkinan menjadi mangsa buli dalam bentuk psikologi.

Kanak-kanak lelaki pula lebih berisiko terhadap keganasan fizikal dan ancaman. Laporan itu juga mengatakan dalam dunia digital yang meningkat, pembuli menyebarkan kandungan kasar, menyakitkan dan memalukan dengan ketukan papan kekunci di alam maya.

Untuk mengakhiri keganasan di sekolah, UNICEF bersama Jabatan Pembangunan Antarabangsa United Kingdom (DFID), UNESCO, anggota lain dari Perkongsian Global untuk Mengakhiri Kekerasan Terhadap Kanak-kanak dan UNGEI menyeru pemerintah mengembang dan menegakkan undang-undang dan polisi untuk memastikan pelajar selamat di dalam dan di sekitar sekolah, termasuk secara dalam talian.


DR Ahmad Rafee (empat dari kanan) bersama Issmail (tiga dari kanan) menunjukkan papan emoji senyum sebagai simbolik pelancaran.

Selain itu, kerajaan diseru memperkuatkan langkah pencegahan dan tindak balas di sekolah mencakupi kurikulum untuk mempromosi suasana aman serta mendorong pelajar dan komuniti menentang budaya kekerasan dan bekerjasama dalam mencari solusi.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata, projek kebaikan ini muncul pada saat yang penting ketika negara memerlukan usaha banyak pihak untuk menabur benih kebahagiaan, cinta, saling menghormati dan kebaikan antara yang lain.

“Saya berharap mesej kempen ini akan bergema di hati semua rakyat Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden dan Pengasas WOMEN:girls Low Ngai Yuen berkata, di mana ada kebaikan, tiada ruang untuk buli.

“Kami mahu mewujudkan pergerakan di sekolah seluruh negara untuk menghentikan gejala buli dalam generasi ini. Pembabitan Projek Kebaikan Sekolah Hari Kanak-kanak Sedunia membolehkan pelajar, guru dan ibu bapa berganding bahu dalam misi menjadikan pembelajaran selamat untuk setiap kanak-kanak,” katanya.

Lima sekolah juara akan dipilih oleh panel hakim dari Kementerian Pendidikan, WOMEN:girls dan UNICEF. Sebuah video profesional dan pasukan media sosial akan disebarkan masing-masing daripada Lima Sekolah Juara untuk mendokumentasi aktiviti untuk dikongsi di platform media sosial UNICEF Malaysia sebagai sebahagian pengaktifan global Hari Kanak-kanak Sedunia.

Kit sekolah boleh dimuat turun menerusi Kementerian Pendidikan dan laman web UNICEF Children4Change bermula 7 September.

Dalam pada itu, kanak-kanak dan pelajar boleh menyertai pelbagai aktiviti yang dirancang bermula September hingga Disember ini termasuk Pertandingan UNICEF School Superhero Comic bermula 5 Oktober selain menyumbang idea dan penyelesaian untuk menamatkan buli kepada UNICEF End Violence Youth Manifesto dengan memuat naik gambar ke World's Largest Lesson Digital Map.


SEBAHAGIAN pelajar yang mengambil bahagian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 September 2018 @ 2:51 PM