Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my

Umum mengetahui kadar obesiti di Malaysia adalah yang tertinggi di Asia. Kenyataan ini mungkin kedengaran menggerunkan dan membimbangkan tetapi itulah hakikatnya.

Namun begitu, masih ramai rakyat negara ini khususnya yang tergolong dalam kelompok obes yang enggan berusaha untuk mengubah gaya hidup ke arah lebih sihat. Ramai yang terus selesa dengan gaya hidup masing-masing dan menganggap ia hak individu selagi tidak mengganggu orang lain.

Bagaimanapun, seperkara yang kita perlu tahu adalah setiap tahun masalah obesiti di negara ini menunjukkan peningkatan yang membimbangkan. Ia sekali gus membuktikan sikap dan budaya masyarakat tempatan dalam menjaga kesihatan dan memandang enteng keadaan ini.

Pada masa sama ia juga memberikan gambaran kepada kita anggaran peningkatan penyakit kronik dalam masyarakat jika terus memandang mudah perkara ini.

Suka atau tidak, jalan terbaik untuk menguruskan obesiti adalah melalui amalan pemakanan seimbang dan senaman. Lupakan saja ubat kurus mahupun suplemen pengganti makanan kerana kesannya hanya sementara.

Menyedari aktiviti kecergasan yang dilakukan secara berkumpulan dan bersistem lebih memberi impak kepada penurunan berat badan, 25 jurulatih kecergasan bersatu bagi menjalankan program pengurusan berat badan dan kecergasan Fitblast X selama enam minggu.

Program itu dijalankan selama 12 sesi merangkumi pelbagai latihan berfungsi seperti latihan interval berintensiti tinggi (HIIT), daya ketahanan dan latihan berkumpulan, selain memantau corak pemakanan.

Membabitkan 32 kawasan sekitar Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Negeri Sembilan, peserta dilatih jurulatih berpengalaman dengan modul sama bermula 9 September hingga 20 Oktober ini yang memberi fokus kepada transformasi gaya hidup lebih sihat. Pada masa sama, peserta dapat melakukan aktiviti diatur dengan menyeronokkan.

Menariknya, semua jurulatih terbabit pernah mengalami masalah berat badan berlebihan dan selepas melalui transformasi menerusi pelbagai program kecergasan, mereka nekad mendalami bidang itu dan menjadi jurulatih di bawah bimbingan jurulatih kecergasan Tasvengers, Natasya Zainal atau Coach Tas.


JURULATIH menjalani latihan kecergasan sebelum program bermula.

Oleh kerana mereka pernah melalui fasa menjadi individu 2G (gempal dan gebu), tentunya jurulatih ini lebih memahami kesukaran yang dialami peserta khususnya halangan membabitkan semangat serta emosi.

Jurulatih, Anis Mohd Ridzwan berkata, program itu akan membantu peserta mengurangkan berat badan dengan memberi penekanan dalam mendidik mereka mengenai senaman dan pelan pemakanan yang betul serta mengamalkan gaya hidup sihat.

Katanya, kurangnya ilmu mengenai senaman dan diet seimbang adalah faktor utama masalah obesiti di negara ini malah begitu ramai dalam kalangan masyarakat yang tidak mempedulikan jumlah dan jenis makanan yang perlu diambil mengikut keperluan kalori mereka.

“Kami sendiri pernah berdepan masalah berat badan dan berjaya mencapai berat badan ideal dengan usaha yang gigih. Namun, saya percaya program berkumpulan seperti ini akan memberi impak yang lebih baik berbanding senaman sendirian,” katanya.


FAKTOR umur mendorong Anis menurunkan berat badan

Ilmu kurus

Menurutnya, dia memulakan perjalanan pengurusan berat badan bersendirian namun hasilnya kurang memberangsangkan dengan hanya pengurangan tiga kilogram (kg) dalam tempoh lima bulan.

Katanya, produk kurus apa yang tidak pernah dicubanya tapi hasilnya tetap sama. Malah, ada produk yang menyebabkan berat badannya naik berganda.

Lama-kelamaan baru dia tersedar akibat tiada ilmu, dia mengamalkan ‘diet sesat’ yang menjanjikan kesan pantas sedangkan hakikatnya jauh berbeza. Semuanya disebabkan kebimbangannya memikirkan risiko yang mungkin dialami lantaran usianya kian menghampiri 40 tahun dan mempunyai sejarah keluarga menghidap penyakit darah tinggi serta kencing manis.

“Saya cuba cari program yang berkesan dan di bawah seliaan Natasya, saya banyak belajar ilmu diet yang betul selain senaman intensif dan tidak sangka dapat turunkan sehingga 20kg daripada berat asal 93kg dalam setahun.

“Ia kepuasan tidak terhingga sepanjang hidup saya dan keluarga terutama suami pula tidak jemu memberi sokongan apabila melihat perubahan hidup saya,” katanya yang kini menggalas cabaran sebagai jurulatih program Fitblast X.

Bagi jurulatih, Sharifah Ivy Nor Adila Syed Azmi, bentuk latihan yang disusun dalam program itu bukan senaman semata-mata malah peserta diajar cara pemakanan yang betul.

Menurutnya, apa yang perlu dilakukan sebelum memulakan program diet ialah mencari ilmu, panduan dan pendidikan yang betul mengenai diet. Tanpa bimbingan yang betul ramai orang kecundang di tengah jalan.


SHARIFAH Ivy berjaya kurangkan 21 kg berat badan.

“Ramai orang ingat, untuk kurus kita perlu elakkan makanan berkarbohidrat seperti nasi atau berlapar namun tanggapan itu tidak tepat. Nasi boleh dimakan tapi mengikut saiz hidangan yang betul.

“Buktinya, secara keseluruhan saya turun sebanyak 21kg dalam masa tujuh bulan tanpa perlu berlapar,” katanya yang akan melatih peserta di kawasan Cheras Selatan dan Bangsar.

Berkongsi perjalanan pengurusan berat badan, dia mengakui agak sukar pada awalnya kerana dia tidak melakukan senaman lebih 10 tahun hingga berat badan mencapai 86kg.

Ada kalanya dia turut hampir berputus asa, tapi melihat rakan lain yang bersaiz lebih besar dan berusia darinya pun mampu lakukan, dia nekad untuk meneruskan usaha.

Hasilnya, wanita berusia 40 tahun ini berjaya menurunkan enam kilogram dalam masa enam minggu pertama bersama Natasya.

“Saya tidak berhenti di situ, sebaliknya terus mengikuti program latihan bersamanya hingga mendapat berat badan ideal.

“Kini saya nekad mahu membantu orang lain dengan menjadi sebahagian daripada program jurulatih untuk menyebarkan ilmu bermanfaat demi kesihatan dan kehidupan lebih berkualiti,” katanya.

Jurulatih, Azrul Izham Abd Jamil dan isteri, Nurul Aien Muhamad Sape’ei pula berkata, kebanyakan orang mencari kisah kejayaan orang lain dalam menguruskan badan dan rata-rata jurulatih program ini mengalami penurunan antara 10kg hingga 30kg.

Oleh itu mereka amat memahami keadaan dihadapi peserta kerana pernah merasainya. Program itu adalah platform untuk jurulatih berkongsi kisah kejayaan sekali gus membimbing peserta supaya kekal cergas dan sihat dengan cara yang betul.


AZRUL mengubah rutin untuk kehidupan lebih sihat.

Kedua-duanya yang mengetuai program Fitblast X di Bukit Jelutong sedar perkara paling berharga dalam program itu bukan sekadar motivasi dan sokongan, sebaliknya persahabatan dan hubungan yang terbina di antara peserta boleh menggalakkan mereka mencapai matlamat kecergasan seperti diinginkan.

“Walaupun begitu, peserta juga dinasihatkan agar tidak bergantung kepada jurulatih ataupun sebarang produk untuk kurus. Kecekalan untuk membantu diri sendiri perlu ada.

“Orang ramai juga perlu sedar banyak penyakit kronik bermula daripada tabiat makan dan berat badan sendiri. Kami pernah merasainya, dan dengan keazaman tinggi, kami berjaya. Maka tiada sebab orang lain tidak boleh mencontohi kami,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 September 2018 @ 1:20 PM