Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my

Gaya glamor orang Asia selalunya diserlahkan dengan solekan smokey menggunakan campuran rona coklat perang, merah manggis, coklat kemerahan, hitam kelabu atau mungkin perang kehijauan.

Biru langit, ungu dan coklat terang pula jarang digabungkan bersama melainkan untuk pentas fesyen atau majlis glamor dengan tema khusus.

Bagaimanapun, perubahan trend dan gaya fesyen terkini tidak lagi mengehadkan solekan berani di pentas peragaan semata-mata. Pelbagai teknik solekan yang dulunya menghiasi majalah dan pentas fesyen menjadi pilihan untuk menyempurnakan penampilan elegan di karpet merah dan majlis glamor.

Menurut jurumekap artis, Al Manda Zuhairy (@mandalicious_official), solekan glamor kini tampak lebih menawan dengan sedikit sentuhan ‘chic’ dan perincian ringkas pada keseluruhan wajah.

“Solekan ‘glam glow’ sebegini memang sesuai untuk majlis karpet merah atau acara penuh glamor. Ia bukan sekadar menyerlahkan penampilan, tetapi menampakkan wajah yang asalnya kusam, lebih segar dan bertenaga.

“Kesempurnaan solekan tema ‘glam glow’ ini bergantung kepada kebijaksanaan mengadun pembayang mata rona coklat terang dan gelap, kemudian ditambah biru langit serta kemasan ungu gelap supaya nampak hidup.

“Lazimnya, solekan mata berbentuk bulat ini disesuaikan untuk pentas fesyen. Namun, jika pilihan warna diadun dengan baik, ia boleh memberi ‘jiwa’ dan gaya menawan pada wajah,” katanya.

Jelas Al Manda, dia sukakan solekan bersifat minimalis tetapi mempunyai sentuhan ‘pop-up’ di bahagian mata. Sebagai jurusolek, wanita ini mengakui perlu berani untuk sentiasa bereksperimen dengan warna yang jarang mendapat perhatian, mengikut kesesuaian majlis.


AL Manda bersama model yang disolek.

“Solekan era kini lebih mengetengahkan warna segar dan ikonik, tapi saya lebih suka berpegang kepada prinsip ‘beauty on-the-go’. Asas solekan perlulah nampak mesra dan sesuai lokasi atau majlis yang dikunjungi.

“Selain itu, penting juga untuk meneliti jenis kulit sebelum memulakan solekan. Bermula daripada sapuan pelembap, asas solekan dan pilihan bedak asas mengikut ton kulit, semuanya penting.

“Saya suka merias wajah individu dengan kulit sawo matang.

Untuk kulit sebegini, biasanya saya akan gabungkan dua ton bedak asas yang berbeza untuk mendapatkan warna kulit sebenar. Adunan warna yang tepat biasanya menampilkan hasil solekan bersih, lembut dan segar,” katanya.

Ikuti langkah demi langkah solekan ‘glam glow’ yang dihasilkan Al Manda bersama model, Ayu Ayuni. Solekan wajah dimulakan dengan pemakaian pelembap dan krim asas untuk mengelakkan kesan rekah pada wajah.


1. GUNAKAN penyamar noda untuk menyembunyikan cela wajah dan ratakan bedak asas menggunakan span wajah.

2. BENTUKKAN wajah dengan pilihan pembayang rona lebih gelap, sesuai dengan kulit sawo matang.

3. ADUN pembayang mata rona coklat terang dan gelap, diikuti biru dan ungu sebelum mengenakan penggaris mata jenis cecair. Oles maskara dan lengkapkan solekan dengan pemakaian bulu mata palsu.

4. SEMPURNAKAN alis mata menggunakan pensil kening dan sikat rapi.

5. BERIKAN sentuhan semula jadi dengan sapuan pemerah pipi rona pic.

6. OLES gincu rona merah jambu keperangan dan tambah ‘volume’ dengan pengilat bibir.

7. SELEPAS sentuhan solekan glam glow.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 September 2018 @ 4:45 AM