LAYANAN mesra untuk pelanggan spa.
Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my

Ramai wanita dihantui perasaan bimbang setiap kali menyedari menghadapi masalah cela kulit yang ketara seperti sista minyak, bintil dan ketuat pada wajah mahupun leher.

Begitupun, perasaan tidak enak lazimnya dipendam begitu saja kerana kekangan masa untuk mendapatkan rawatan sepatutnya, selain tidak tahu cela wajah sebenarnya boleh diatasi dengan sedikit usaha.

Tidak kira sama ada sibuk dengan urusan pejabat, perniagaan atau beban kerja rumah, wanita seharusnya lebih mengambil berat soal penjagaan kulit serta peka kepada perubahan diri dari semasa ke semasa.

Segelintir wanita mungkin mengambil mudah perubahan pada kulit. Mereka percaya ketumbuhan kecil biasa berlaku kepada semua individu seiring pertambahan umur. Namun, semua telahan itu salah.

Sista minyak adalah bintik kecil berwarna putih atau kuning. Ia timbul di sekeliling mata dan pipi disebabkan minyak yang terkumpul dalam liang dan kelenjar tersumbat.

Bintil pula dianggap sebagai ‘lebihan daging’ yang boleh tumbuh di kawasan sekitar mata, hidung, dagu serta bahagian tubuh yang lain.

Manakala ketuat diketahui disebabkan virus Human Papilloma (HPV) dan mempunyai kecenderungan untuk merebak hanya melalui sentuhan.

Biarpun semua jenis cela berkenaan tidak berbahaya, namun kewujudannya pada sekitar kulit wajah boleh mencacatkan penampilan. Penggunaan alat solek juga sukar untuk menutup cela, tetapi mungkin menjejaskan lagi penampilan.

Menurut pemilik pusat rawatan kecantikan Tijari Spa Norasikin Ab Latif, bintil lazimnya tumbuh disebabkan faktor keturunan, usia, kolesterol berlebihan, kenaikan berat badan, perubahan hormon atau penjagaan kulit yang salah dan tidak konsisten.


JURUTERAPI merawat wajah pelanggan menggunakan krim serta kaedah khas membersihkan cela.

“Bintil dan sista minyak yang tidak dibuang dengan segera boleh bertambah banyak dan membesar. Kesannya, kulit wajah akan tercela dan tidak sekata.

“Untuk itu, rawatan sesuai perlu dilakukan untuk membantu wanita mengembalikan keyakinan diri. Di sini, juruterapi akan menggunakan teknik dan alatan khas untuk membuang cela pada wajah.

“Krim muka khas akan digunakan untuk mengelakkan kesan parut dan proses penyembuhan biasanya mengambil masa seawal tiga hingga lima hari, bergantung kepada saiz cela serta penjagaan selepas rawatan,” katanya.

Jelas Norasikin, kaedah diperkenal memberi kesan hanya dalam sekali rawatan. Dengan itu, kulit akan menjadi bersih dan bebas cela selepas pulih.

“Prosedur membuang bintil dan sista minyak biasanya disesuaikan dengan keadaan serta menimbangkan keselesaan pelanggan. Jika cela dihadapi bersaiz kecil dan tidak terlalu banyak, ia boleh dilakukan terus selepas menggunakan krim khas untuk melembutkan kulit.

“Namun sekiranya ia bersaiz besar dan banyak, krim kebas akan digunakan untuk keselesaan pelanggan. Krim antibiotik khas juga akan diberikan untuk mempercepatkan proses penyembuhan.

“Kami mengutamakan kesan positif jangka panjang, tiada kesan parut, sekali gus menjadikan kulit bersih tanpa cela,” katanya.

Tambahnya, bintil dan sista minyak tidak akan timbul lagi di tempat sama atau bahagian lain sekiranya mereka mengamalkan penjagaan kulit yang betul dan konsisten.

“Apapun, pelanggan yang datang ke sini akan menikmati rawatan dalam suasana mewah dan tenang. Juruterapi kecantikan akan menganalisis kulit wajah terlebih dulu dan memberi cadangan rawatan bersesuaian.

“Kami juga sentiasa berhati-hati dengan risiko dan pemilihan produk untuk pelanggan. Saya sendiri akan pastikan produk yang digunakan selamat serta bebas daripada bahan kimia berbahaya,” katanya.


CELA wajah dibuang selepas sapuan krim.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 September 2018 @ 4:39 AM