Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my

Kesan gelap sekitar bawah lengan jarang dijadikan topik perbincangan, khususnya dalam kalangan wanita. Boleh jadi, ia dianggap perkara yang cukup memalukan dan boleh menjatuhkan air muka.

Biarpun difahami bahawa terdapat banyak faktor yang mendorong kepada perubahan warna kulit bawah lengan, namun kebanyakan wanita lebih suka topik itu kekal peribadi.

Sebenarnya, perubahan warna kulit sekitar bawah lengan berlaku disebabkan pengumpulan sel kulit mati, kekerapan bercukur, penggunaan deodoran dan perubahan hormon semula jadi, terutama bagi wanita selepas melahirkan anak.

Selain itu, kulit juga boleh bertukar gelap jika sering berpeluh, menjadikannya tempat sesuai untuk bakteria hidup. Jika dibiarkan, wujud kemungkinan terhasilnya sel kulit mati dan bau badan yang memualkan. Berikut antara tip penjagaan bawah lengan menggunakan bahan semula jadi yang mungkin boleh anda amalkan.

1. Lemon

Terbukti membantu mencerahkan kulit, lemon juga boleh digantikan dengan limau nipis kerana berkongsi manfaat serupa. Kandungan vitamin C buah sitrus ini berupaya mencerahkan bawah lengan. Sementara tekstur buah dan jusnya membantu melawan bakteria dan menanggalkan sel kulit mati.

Caranya, ambil sebiji lemon dan hiris nipis. Gosokkan hirisan lemon sekitar kawasan gelap antara tiga hingga lima minit dan bilas dengan air bersih. Oleskan pelembap (boleh menggunakan madu) dan biarkan selama 10 minit. Kemudian bilas sehingga bersih.

Amalkan setiap dua hari dan perhatikan perubahan warna kulit anda!

2. Timun

Selain buah sitrus, timun juga boleh dijadikan alternatif untuk mencerahkan bawah lengan. Timun mengandungi antioksidan yang dapat membantu menanggalkan sel kulit mati dan merangsang pembentukan sel kulit baru. Lembapan yang dihasilkan timun memberi manfaat pada kulit sekali gus menghindar pembentukan bakteria.

Hiris nipis atau lumatkan untuk mendapatkan jusnya. Lumur timun bersama jusnya pada bawah lengan dan biarkan kering selama kira-kira satu jam. Bilas dengan air bersih. Untuk kesan lebih baik, gunakan bersama lemon.

3. Kentang

Sama seperti timun, kentang juga boleh mencerahkan bawah lengan. Ia boleh menanggalkan sel kulit mati dan mencegah pembentukan bakteria. Caranya, kupas kentang terlebih dulu dan lumatkan untuk mendapatkan jusnya. Gosok kentang pada kawasan yang gelap dan biarkan selama kira-kira satu jam. Ulang langkah ini setiap hari.

4. Baking soda

Kandungan garam dalam baking soda boleh digunakan untuk skrub dan menanggalkan sel kulit mati. Caranya, ambil dua sudu baking soda dan campur dengan sedikit air. Gosok bawah lengan dan biarkan mengering selama 10 hingga 15 minit.

Selepas dibilas, sapu sedikit serbuk baking soda seperti bedak dan biarkan. Jarakkan kaedah dua kali seminggu. Berhenti jika berlaku iritasi kulit.

5. Gula

Salah satu cara memutihkan bawah lengan yang mudah adalah menggunakan gula. Butiran kasar pemanis ini sesuai dijadikan skrub dan boleh membantu pengelupasan sel kulit mati. Gabungkan dengan penggunaan minyak zaitun yang kaya vitamin E supaya kulit kekal halus dan tidak melecet.

Hanya campurkan gula dan minyak zaitun dalam nisbah yang sama dan gosok pada bawah lengan. Biarkan kira-kira dua minit dan bilas. Amalkan mengikut kekerapan yang sesuai.

6. Kulit limau

Sedikit rumit untuk disediakan, tetapi berbaloi untuk dicuba. Kulit limau sesuai dijadikan skrub tubuh. Khasiat yang terkandung dalam kulit limau bagus untuk pengelupasan kulit.

Ambil sebiji limau dan kupas. Jemur kulit limau sehingga kering dan kisar halus.

Tambahkan sedikit air atau susu segar untuk memudahkan bancuhan melekat pada kulit dan gosok kira-kira 10 minit. Lihat bagaimana sel kulit mati menggelupas dan bilas bersih dengan air sejuk. Ulang dua kali seminggu.

7. Susu dan yoghurt

Penggunaan kedua-dua bahan ini memang terbukti membantu meningkatkan kesihatan kulit. Campurkan tiga sudu susu segar bersama dua sudu yogurt dan adun sebati. Pupur pada bawah lengan. Biarkan selama 15 hingga 20 minit dan bilas hingga bersih. Ulang setiap hari untuk kesan terbaik.

8. Daun lidah buaya

Semua tahu daun lidah buaya memiliki banyak manfaat untuk kesihatan kulit. Salah satunya adalah memutihkan bawah lengan. Keluarkan isi daun lidah buaya yang menyerupai gel dan oles pada bahagian terjejas. Biar selama 15 minit dan bilas hingga bersih. Ulang langkah ini setiap kali selepas mandi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 September 2018 @ 4:29 AM