KUAT dan kental semangat membantu mereka yang memerlukan.
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

Tekanan kerja pada 2015, menyebabkan Arina Ab Rashid, 33, mengambil keputusan berhenti kerja. Tanpa perancangan hanya mengharapkan kerjaya sambilan sebagai pelayan kafe, pembuat kopi dan penjaga kaunter restoran makanan segera, dia menyara kehidupan sendiri selama setahun.

Tergerak hati menyertai misi bantuan banjir di Pasir Mas Kelantan anjuran badan bukan kerajaan (NGO) Our Touch, dia mula terpikat untuk terus menghulurkan bakti dalam kerja sukarelawan.

“Sebelum ini saya tidak pernah menyertai aktiviti membabitkan kerja amal kerana berasakan ia bukan bidang saya. Namun kali pertama membantu mangsa banjir terutama orang tua dan kanak-kanak, saya terus terpikat menjadi ahli Our Touch supaya dapat memanjangkan kerja amal ini kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Menurut Arina, dia terpikat dengan Our Touch disebabkan konsep yang diketengahkan berbeza dengan NGO lain. Our Touch adalah pertubuhan menggabungkan aktiviti sukarelawan sambil melancong.

Ditubuhkan pada 3 Oktober 2012 selepas program tidak rasmi yang pertama di Kampung Terapung Tonle Sap di Siem Reap, Kemboja, Our Touch lebih memberi tumpuan kepada anak yatim dan keluarga miskin yang mempunyai anak kecil.

“Sebenarnya ia adalah jenama Persatuan Sentuhan Kembara Malaysia dan tujuan penubuhan adalah menjadi medium bagi anak muda bergiat dalam lapangan sukarelawan dengan menggunakan aktiviti kembara sebagai tarikan.

“Boleh dikatakan dalam setiap aktiviti amal kami menyelitkan aktiviti pelancongan walaupun mulanya kami hanya memberikan perhatian untuk dalam negara tetapi terdapat permintaan untuk meluaskannya ke luar negara,” katanya yang juga jurulatih bebas untuk aktiviti lasak.


ARINA (dua dari kiri) semasa menjadi penyelaras program sukarelawan MYCorps di Kemboja.

Debaran pertama

Projek pertama ke luar negara pada Julai 2017, apabila dia bersama seorang rakan ke Kathmandu, Nepal sebagai menyahut cabaran memberikan sumbangan berbentuk pendidikan kepada kanak-kanak di sana. Urusan dipermudahkan apabila dia mendapat tajaan untuk menjalankan program termasuk penginapan, makan, minum dan penerbangan.

Bagi Arina, kali pertama melakukan kembara bertemankan seorang rakan adalah pengalaman yang cukup mencabar. Walaupun tujuan asal adalah mengadakan kelas bahasa Inggeris di sekolah, dia turut berpeluang melihat keindahan Kathmandu yang cukup dikenali dengan puncak tertinggi gunung Everest.

“Sebelum ke Nepal saya sudah membuat perancangan bentuk program yang akan dikendalikan. Oleh kerana kebanyakan kanak-kanak tidak mendapat pendidikan sepenuhnya saya merangka kelas bahasa Inggeris untuk mereka.

“Cabaran bermula apabila penduduk kampung langsung tidak boleh memahami bahasa Inggeris. Jadi komunikasi ibarat itik dengan ayam menggunakan bahasa isyarat.

“Saya juga perlu merentasi sungai dan bukit-bukau untuk ke sekolah. Ia menguji kekuatan mental dan fizikal. Pernah saya tekad untuk pulang ke Malaysia namun memikirkan ia mungkin peluang sekali seumur hidup, saya batalkan hasrat ini dan kembali mengajar anak-anak kecil ini,” katanya yang tinggal selama 16 hari di Nepal.


ARINA bersama kanak-kanak di Sekolah Rendah Nalang, Dhading, Nepal pada Julai 2017.

Kehidupan masyarakat yang mengusahakan sawah padi dengan kekurangan sumber asas memberi kesedaran kepada wanita ini untuk lebih mensyukuri nikmat yang diperolehnya.

“Hanya itu yang mampu saya katakan sekembali ke Malaysia. Memang banyak perkara yang dapat saya pelajari. Ia bukan saja mengenai kehidupan tetapi budaya dan ekonomi mereka. Saya sangat bersyukur dilahirkan di Malaysia yang mewah dan makmur,” katanya yang pernah menjalankan kerja amal di Jordan, Indonesia, Mongolia dan akan datang di Fiji pada Oktober nanti.

Menurut Arina, walaupun tidak semua program mendapat penajaan namun Our Touch banyak memberikan tumpuan kepada aktiviti, khidmat masyarakat sama ada di dalam mahupun luar negara.

“Kerja amal tidak terhad pada satu jenis saja. Kami pernah menganjurkan aktiviti menanam pokok bakau, membaik pulih asrama anak yatim, sukarelawan banjir, kerja asas seperti gotong-royong, bantuan asnaf, pasar percuma, pemeriksaan mata dan kesihatan.

“Tumpuan kami adalah untuk memperkasa pendidikan melalui program kembali ke sekolah dengan sumbangan peralatan seperti pakaian, kasut, beg dan alat tulis ke seluruh pelosok negara manakala selebihnya turut diberikan kepada kanak-kanak di Kemboja,” katanya.


SUKARELAWAN mengagihkan barangan sekolah ketika program Kembali ke Sekolah di SK Kapitangan, Kudat, Sabah.

Daripada inisiatif ahli Our Touch yang datang daripada pelbagai latar belakang termasuk perubatan dan kesihatan, program kesihatan WeCare seperti khidmat optometris dan program kaca mata percuma turut dijalankan.

“Baru-baru ini, pasukan WeCare memberi khidmat pemeriksaan kesihatan termasuk gigi dan mata kepada kira-kira 200 penduduk Long Bedian, di Miri, Sarawak. Selain itu pelbagai aktiviti membabitkan aktiviti sukarelawan bersama pelajar seperti eksperimen sains, seni, tunjuk cara kebersihan diri dan gotong royong keceriaan kelas turut diadakan,” katanya.

Hadapi gempa bumi di Lombok

Katanya, dalam setiap program Our Touch membuka peluang kepada sukarelawan mencadangkan dan melakukan aktiviti bersama kanak-kanak bertujuan menjadikan program itu lebih bermakna untuk mereka.

Misalnya kolaborasi dengan Yayasan Peduli Anak (YPL), Lombok sejak awal penubuhan pada 2012 memberi peluang kepada sukarelawan mengatur pelbagai aktiviti berfaedah.

Berhasrat mengenali lebih dekat dengan sukarelawan YPL, pada Julai lalu dia bersama sekumpulan rakan pergi ke Lombok, Indonesia. Selain melancong pertemuan ini mampu memberikan sesuatu yang berfaedah untuk kanak-kanak yang menetap di sana.

Kebanyakan penghuni YPA adalah bekas anak jalanan. Sesetengahnya langsung tidak mempunyai keluarga. Jelas ketara mereka dahagakan kasih sayang dan perhatian.

Namun gempa bumi yang melanda Lombok pada penghujung Julai lalu benar-benar memberikan pengalaman mendebarkan kepada Arina dan rakannya.


ARINA bersama kanak-kanak daripada Yayasan Peduli Anak selepas menjadi mangsa gempa bumi Lombok pada 5 Ogos lalu.

“Ketika kejadian pertama kami masih tinggal di hotel berdekatan pantai. Hanya sempat membawa beberapa barang penting, kami terus melarikan diri ke kawasan selamat. Saya meminta pemandu pelancong menghantar kami ke YPL kerana itulah tujuan sebenar kami ke Lombok.

“Ketika tiba di YPL puluhan kanak-kanak sedang menangis sambil datang memeluk saya. Walaupun baru kali pertama berada di sini namun jalinan kasih sayang bagaikan sudah sebati. Anak kecil ini sememangnya mengharapkan perlindungan dan ingin rasa selamat,” katanya.

Terus menghubungi wakil Komuniti Our Touch di Malaysia bagi mengumpul dana bantuan untuk mangsa gempa bumi, akhirnya pelbagai barangan keperluan diri ditaja oleh syarikat penerbangan dan juga orang perseorangan sehingga semuanya dapat dihantar dengan mudah.

“Alhamdulillah bantuan selamat diberikan terutama kepada kanak-kanak yang tinggal di YPL. Kami bersyukur walaupun kesuntukan masa, Allah memudahkan urusan dan pelbagai barangan mampu disediakan,” jelasnya terharu.

Anak ke-10 daripada 13 beradik ini berazam meneruskan kerja amal kerana ia memberikan kepuasan yang sukar diungkapkan dengan kata-kata. Selain dapat melihat negara orang, percutian mereka dapat dimanfaatkan dengan melakukan kerja berfaedah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 September 2018 @ 6:30 AM