AHMAD Akid.
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

Rata-rata mereka masih belajar namun mampu memperoleh pendapatan melebihi RM10,000 sebulan. Bayaran pula berdasarkan reviu produk dengan harga serendah RM50 sehingga RM500 untuk sekali iklan.

Bayaran pula diterima sebelum mereka beraksi di hadapan telefon pintar kemudian video dimuat naik ke laman Instagram sama ada secara langsung atau rakaman

Dengarnya seakan-akan mudah, namun golongan Instafamous ini perlu memiliki keyakinan tinggi, berani, petah berbicara dan memiliki rupa paras menarik.

Menurut Ahmad Akid Zulkiflee, 16, dia terbabit sebagai Instafamous selepas mendapati laman sosial mampu menjana pendapatan. Ketika itu pengikut di Instagram cuma 30,000 orang.

“Bermula dengan RM10 untuk satu video lama-kelamaan selepas pengikut meningkat saya mula menaikkan bayaran sehingga RM500 untuk sekali iklan. Ia sangat menyeronokkan apabila semakin ramai mempercayai kebolehan saya dan terus meminta untuk melakukan reviu ke atas produk mereka,” katanya.

Pelajar tingkatan empat dari Melaka ini sering menerima produk kecantikan untuk diulas. Biasanya dia menggunakannya terlebih dulu terutama sekiranya berkaitan penjagaan wajah dan bukan solekan.

“Kepercayaan daripada pengusaha produk wanita ini tidak diabaikan kerana mereka yakin saya mampu menaikkan jualan selepas video disiarkan,” katanya yang kini mempunyai 405,000 pengikut di laman Instagram.

Bijak membahagikan masa di antara pelajaran dan kerjaya, Akid memberikan lebih tumpuan ketika dalam kelas. Ini kerana masa di rumah dihabiskan dengan menyudahkan ulasan produk.

Mengakui bukan berasal daripada keluarga berada, ayah peniaga pasar malam manakala ibu suri rumah sepenuh masa. Pendapatan bulanannya digunakan untuk keperluan persekolahan, selebihnya membantu keluarga dan untuk simpanan masa depan.

“Ibu bapa adalah penasihat terbaik saya. Pendapatan RM10,000 bukanlah jumlah yang banyak dan jika saya boros wang ini akan habis begitu saja. Jadi saya perlu bijak mengurus kewangan terutama untuk masa depan pelajaran,” kata anak ketiga daripada lima beradik ini.

Dapat sokongan keluarga

Memulakan kerja ulasan produk pada usia 16 tahun dengan bayaran RM15 untuk dua slot iklan, Nur Farrah Khairina Shahrul Muazam, 17, di antara Instafamous remaja yang cukup dikenali di Malaysia disebabkan memiliki pengikut yang ramai sehingga mencecah 577,000.

Mengenakan bayaran RM100 sehingga RM300 untuk satu video, Nur Farrah Khairina atau popular dengan panggilan Farrah memperoleh pendapatan melebihi RM10,000 pada setiap bulan menerusi hasil ulasan produk kecantikan.

“Biasanya untuk produk kecantikan wajah seperti serum atau krim saya akan periksa dulu dengan pengguna dan menggunakannya sebelum bersetuju melakukan ulasan. Ini bagi memastikan reviu diberi adalah tepat dan benar serta mengelak pelanggan tertipu dengan produk digunakan,” kata anak ketiga empat beradik ini.

Menjalankan kerja reviu sebaik pulang dari sekolah dan berakhir sehingga ke malam, jelas remaja ini dia tidak mendapat tentangan keluarga kerana ayah dan ibu memberikan sokongan asalkan tidak melupakan pelajaran.


NUR Farrah.

“Setakat ini saya tiada masalah di sekolah dan menerima kritikan daripada semua termasuk guru dengan hati terbuka. Sebagai Instafamous saya perlu melaluinya kerana lama-kelamaan yang tinggal hanya diri kita sendiri dan mereka bercakap akan diam. Jadi fokus apa yang dilakukan untuk mencapai cita-cita,” katanya yang berazam menjadi usahawan berjaya suatu hari nanti.

Ditanya perbelanjaan bulanan, gadis ini mengakui dia sememangnya suka membeli-belah terutama untuk barangan mekap, pakaian dan kasut. Setiap minggu dia memperuntukkan ribuan ringgit untuk membeli perhiasan wanita manakala selebihnya diberi kepada ibu bapa sebagai simpanan.

Bantu sara keluarga

Bermula niat membantu keluarga menambah pendapatan, gadis comel Ernaliyana Ali, 15, mula menerima ulasan iklan ketika pengikut Instagram berjumlah 30,000 pada 2015. Ketika itu pendapatan diterima hanya RM1,000 sebulan.

“Lama-kelamaan saya semakin seronok apabila wang dalam akaun semakin bertambah. Saya terus meningkatkan pemasaran dengan memuat naik gambar dan video lucu sehingga ramai menerima kehadiran saya,” katanya yang kini menerima lebih RM11,000 sebulan hasil ulasan produk saja.

Kesibukan membuat empat hingga lima ulasan sehari menyebabkan dia tidak dapat menumpukan perhatian di kelas. Jadi, tahun lalu dia mengambil keputusan berhenti sekolah.

“Tetapi ini bukan bermakna saya tidak mengutamakan pelajaran. Saya mengambil guru peribadi di rumah kerana ia memudahkan urusan kerja. Saya pula bukan orang senang, ibu sudah meninggal dunia manakala ayah sudah berusia dan tidak bekerja. Jadi pendapatan setiap bulan saya gunakan untuk membantu keluarga,” katanya.


ERNALIYANA.

Menggunakan Instagram sebagai tempat mencari rezeki, Ernaliyana dilihat sebagai Instafamous yang aktif dengan aplikasi Tik Tok. Berani dan berkeyakinan tinggi, video yang dimuat naik sentiasa mendapat ‘like’ yang tinggi disebabkan kreativiti dan kecomelannya.

Mengulas perkara ini, sebagai Instafamous dia mengakui harus cepat menggunakan setiap aplikasi yang sedang popular.

“Tik Tok misalnya antara yang sedang digunakan remaja dan popular dalam kalangan Instafamous. Saya mahu menjadi pengguna paling hadapan dan tidak ketinggalan mengikuti teknologi ini,” katanya yang mempunyai 398,000 pengikut di Instagram.

Guna gajet secara bijak

Memiliki cita-cita membuka kafe pada usia 19 tahun, bagi Instafamous Muhammad Syahfitri Md Yusof, 17, pula dengan pendapatan melebihi RM10,000 sebulan kini dia aktif membuat simpanan bagi merealisasikan impiannya dua tahun lagi.

Anak bongsu empat beradik ini mula melakukan ulasan berbayar pada usia 15 tahun selepas mengikuti perkembangan Instafamous lain yang sudah berjaya.

“Mulanya saya ingatkan Instagram hanya untuk mencari populariti. Selepas mengetahui ada pengguna memperoleh puluhan ribu ringgit hasil reviu produk, saya teringin mencuba. Bayaran dikenakan ketika itu hanya RM15 untuk satu keluaran,” katanya.

Menerima pelbagai produk termasuk kosmetik dan pakaian dengan kenaikan pengikut di laman Instagram miliknya kini setiap reviu dia mengenakan bayaran RM50 untuk gambar dan RM300 untuk video bagi tempoh sebulan.

“Untuk setiap produk memang saya mencuba terlebih dulu bagi memberi kepercayaan kepada pengguna. Saya tidak mahu ada kesan negatif sekiranya pengikut menggunakannya. Ia sudah tentu memberikan kesan tidak baik kepada pendapatan saya,” jelasnya yang masih bersekolah.

Mengutamakan pelajaran kerana ia penting untuk masa hadapan Syahfitri akan menyelesaikan kerja sekolah sebaik pulang dari sekolah kemudian membuat ulasan produk pada waktu petang dan berlarutan sehingga ke malam.


SYAHFITRI.

“Setakat ini guru tahu pekerjaan sampingan saya dan mereka memberikan galakan untuk meneruskannya dengan syarat tidak mengabaikan pelajaran. Saya berbangga kerana pada usia muda mampu menyimpan menggunakan hasil titik peluh sendiri.

“Jadi saya nasihatkan kepada remaja supaya menggunakan gajet untuk perkara berfaedah dan mendatangkan hasil. Jika sudah berjaya hati perlu kuat kerana sebagai Instafamous banyak kecaman diterima daripada netizen.

“Pekakkan telinga kerana pada akhirnya peningkatan diri sendiri adalah hasil keupayaan kita mencatur masa hadapan, bukannya di atas tangan mereka. Lama kelamaan mereka akan diam. Kita akan terus berjaya manakala mereka masih pada tahap yang sama,” katanya.

Rancang kursus perlu diikuti

Menurut Pakar Kekeluargaan & Kasih Sayang juga Pengarah Love World Resources Dr Rozieta Shaary, pendapatan diperoleh Instafamous remaja ini bukanlah satu jumlah yang besar apatah lagi sekiranya mereka tidak tahu menguruskannya. Jika digunakan untuk keperluan yang tidak sepatutnya dibimbangi ia akan habis begitu saja.

Oleh itu pentingnya mereka tahu bagaimana wang ini diuruskan pada setiap bulan dengan menyimpan atau mengikuti pelbagai bengkel dan kursus mengenai media sosial.

“Remaja ini perlu tahu suatu masa nanti Instagram akan bertukar seperti suatu ketika dulu YouTuber mampu menjana pendapatan tinggi. Jika ia hilang tanpa membuat persediaan sudah pasti ia sangat merugikan. Jadi dengan pendapatan setiap bulan selain disimpan, digunakan untuk keperluan pendidikan mereka perlu merancang bentuk kursus yang perlu diikuti,” katanya.

Katanya lagi, mereka boleh merujuk kepada jutawan Internet, Irfan Khairi yang mampu bertahan dan menjana kewangan biarpun kehadiran pelbagai media sosial baru. Dengan menghadiri kursus anjuran Irfan fikiran mereka akan lebih terbuka. Ada beberapa lagi nama besar dalam dunia Internet seperti SifuFBads yang pakar dalam pengiklanan Facebook atau Azizi Ali dalam bidang kewangan.

“Kursus sebegini sememangnya tidak boleh didapati di sekolah atau peringkat pengajian tinggi. Ia secara praktikal dan boleh terus dilaksanakan dalam perniagaan mereka,” katanya.


DR Rozieta.

Di samping itu jangan sesekali berhenti meraih ilmu kerana keperluan menuntut ilmu membolehkan fikiran mereka berkembang dan menjadi lebih matang. Kepemimpinan, pergaulan sosial dan komunikasi adalah bidang yang hanya boleh diperoleh menerusi pendidikan di sekolah.

“Ilmu juga membolehkan Instafamous menghadapi cabaran dalam media sosial. Mereka bukan bercakap kosong tetapi ada isi yang diperoleh menerusi ilmu dan kematangan fikiran. Bayangkan jika setiap hari bercakap perkara yang sama lama-kelamaan pengikut mereka akan jemu. Tambahan pula apabila kehadiran selebriti Instafamous yang lebih bijak dan cantik. Lama-kelamaan pengikut akan lari. Inilah cabaran yang perlu mereka tangani,” katanya.

Peranan ibu bapa juga sangat penting bagi mendidik anak agar mereka tahu hala tuju dalam kehidupan. Dalam apa juga dilakukan bukan keuntungan atau wang ringgit yang perlu dikejar tetapi juga mula memikirkan nilai kepada masyarakat terutama yang mempunyai ramai pengikut.

“Selain kewangan mungkin Instafamous boleh memikirkan apakah tambah nilai yang boleh diberikan kepada pembaca. Inilah yang akan memanjangkan kerjaya dan juga perniagaan mereka,” jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 September 2018 @ 6:10 AM