NISA percayai keikhlasan hati membuahkan hasil yang tidak disangka
Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my

Setiap kali melihat ibunya memasak, dialah yang paling ralit dan menunjukkan minat. Namun siapa sangka kesungguhannya mempelajari pelbagai masakan tradisi hasil tangan ibunya membuka hati nurani figura ini untuk terbabit serius dalam bidang masakan.

Mungkin bagi orang lain aktiviti memasak hanya rutin biasa, beliau pula menganggap sebaliknya. Memasak digambarkannya sebagai momen paling indah malah bauan dan bunyian ketika melakukan aktiviti itu baginya sungguh mengasyikkan. Baginya, berada di dapur membawanya ke dimensi yang lebih mengujakan.

Figura empunya nama Puan Sri Shariffa Nisa bukanlah asing dalam industri masakan tanah air, malah namanya juga semakin dikenali di negara seberang mahupun antarabangsa.

Shariffa Nisa atau lebih mesra dipanggil Nisa Bakri memegang prinsip makanan yang dimasak dengan penuh kasih sayang dan ikhlas itulah yang menghubungkan sesama manusia selain menyembuhkan luka dan kepahitan hidup.

Baginya, masakan sebenarnya menyebarkan kasih sayang sesama insan, menyatukan hati dan jiwa yang terluka dek kerakusan manusia sendiri kepada suatu platform yang indah persis syurga.

“Pada 2015, naskhah ‘I am not a Chef’ dilahirkan seterusnya penerbitannya diketahui umum. Bertolak dari situlah limpahan jemputan daripada pelbagai stesen TV untuk mengetengahkan kebolehan dan keunikan masakan saya ke kaca mata awam.

“Penekanannya tidak sama sekali sebagai seorang cef, tetapi saya lebih suka dikenali sebagai usahawanita yang boleh berkongsi pengalaman dan memberikan inspirasi serta motivasi kepada sesiapa saja yang berminat untuk memajukan diri sendiri ke suatu tahap yang lebih tinggi.

“Sejak itulah saya tidak sama sekali menoleh kembali ke belakang. Dek minat dan keghairahan saya inilah yang merealisasikannya ke bidang yang lebih mencabar dan berisiko.

“Hasilnya suatu perniagaan terhasil rentetan daripada sekecil-kecil resipi hinggalah ia menjadi perencah atau pes yang menembusi permintaan luas di pasaran. Alhamdulillah, sehingga kini bukan hanya di Malaysia, malah ia sudah pun menjejak bumi negara asing,” katanya.

Menurutnya, pembabitan ke persada antarabangsa bukan sekali-kali dirancang sebaliknya bermula apabila mendapat jemputan dari negara Singapura, Brunei, Indonesia, UAE, Sepanyal dan terbaru beliau akan mementaskan keunikan masakannya di salah satu kota fesyen dunia terkenal dunia iaitu London, England.

Katanya menerusi Minggu Fesyen London 2018, beliau diberi kesempatan menghidangkan pelbagai masakan Malaysia asli dan unik kepada semua hadirin termasuk VVIP di setiap acara yang akan disertai sekali gus mencipta satu sejarah buat tanahair.


MINAT memasak dipupuk sejak kecil

Beliau melihat platform ini sebagai peluang keemasan untuk meneruskan pendedahan jenamanya, promosi dan meneruskan penguasaan dan pengiktirafan di peringkat antarabangsa seterusnya memajukan masakan Malaysia ke peringkat lebih tinggi.

Dijemput sebagai penaja dan pembekal katering bagi masakan Malaysia selama empat hari di kota London, ia juga sebagai satu usaha untuk mempromosikan masakan Malaysia di peringkat antarabangsa.

Platform itu juga akan digunakan untuk melancarkan tiga jenis pes atau perencah segera terbarunya iaitu Pes Gulai Sayuran, Pes Masala Ayam dan Pes Gulai Ayam Lemak Betutu.

Beliau turut bersyukur kerana masakan Malaysia diterima baik dan diiktiraf oleh semua lapisan masyarakat yang hampir kesemuanya dibukukan di dalam buku resepi masakan Nisa Bakri.

“Percayalah setiap yang saya lakukan ini adalah ikhlas dari hati sanubari, semestinya yang asli dan unik selain minat mendalam saya terhadap masakan.

“Begitu juga kelebihan mempunyai pasukan yang hebat dan berdedikasi tinggi untuk mencapai misi dan visi syarikat saya. Tidak akan berjaya seseorang itu tanpa satu pasukan yang kuat dan tabah.

“Kena percaya pada mereka. Berikan tanggungjawab dan amanah kepada mereka selain menghormati sesama rakan sekerja dan integriti amatlah dituntut di dalam setiap tindakan bagi mencapai kejayaan bukan saja di dalam negara malah ke tahap yang lebih tinggi.

“Inilah resipi dan rahsia kejayaan yang saya selalu kongsi dan amalkan. Jika didekati dengan anasir negatif, saya akan terus berpaling ke arah positif dan meneruskan langkah saya ke hadapan.

“Bunyinya seakan-akan keras dan kejam tetapi itulah kenyataannya jika kita ingin berjaya dan berada di peringkat global. Saya amat menghargai masa setiap orang yang terbabit selain sentiasa bersifat profesional dalam apa jua bidang yang saya lakukan. Semuanya adalah kunci kepada kejayaan seseorang,” katanya.

Menurutnya, tiada pengakhiran di dalam cita-citanya selagi masih bernafas di bumi bertuah ini, dia akan meneruskan misi dan visi untuk mengembangkan pengaruh dan jenama Nisa Bakri.

Ini kerana beliau mempercayai melalui masakan kita boleh berkongsi kegembiraan dan kasih sayang tanpa mengira kaum, bangsa dan agama.


BUKU masakan I’m Not a Chef hadiah untuk peminat juadah tradisi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 September 2018 @ 2:18 PM