SUFIAN Suhaimi akan ke Indonesia tetapi semuanya masih dalam perbincangan. Foto NSTP/AZIAH AZMEE
Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my

Bintik ruam pada leher si kecil disapu dengan bedak. Tiada yang luar biasa. Hanya nampak kemerahan biarpun si kecil tidak henti merengek sejak beberapa jam lalu.

Sepanjang malam, ibu bersengkang mata memujuk si kecil di pangkuan. Sekejap menyusu, kemudian menangis lagi seolah-olah menahan kesakitan yang teramat. Menjelang Subuh, tiba-tiba kulit sekitar hidung dan pipi anak dilihat menggelupas seperti terkena air panas.

Ibu jadi panik, sementara si kecil kian kuat menjerit dalam tangis yang tiada kesudahan. Di hospital, ibu bertambah bingung apabila berdepan pelbagai soalan daripada doktor. Luluh perasaan apabila menatap si kecil yang terbaring lesu dengan kulit semakin kemerahan, dipenuhi kesan lecur di muka dan dada.

Sindrom kulit lecur Stafilokokus (Staphylococcal Scalded Skin Syndrome, SSSS) lebih menyerupai kulit terbakar. Ia penyakit yang jarang berlaku namun tetap berisiko kepada kanak-kanak kecil di bawah usia enam tahun.

Menurut Pakar Kulit dan Perubatan Dalaman Hospital Pakar Avisena Dr Kartini Farah Rahim, SSSS berpunca daripada jangkitan bakteria Staphylococcus aureus pada kulit yang menyebabkan kesan seperti melecur.

“Kebiasaannya, jangkitan berlaku kepada kanak-kanak dan sangat jarang dihadapi orang dewasa. Jika ada sekalipun, keadaan ini cuma dilihat berlaku kepada mereka yang mengalami masalah kegagalan buah pinggang dan sistem imun badan serta beberapa masalah kronik lain,” katanya.


DR Kartini

Jelas Dr Kartini, kanak-kanak di bawah usia dua tahun lebih berisiko untuk mendapat jangkitan Staphylococcus aureus kerana sistem imun dan buah pinggang yang kurang matang untuk memproses serta membuang toksin.

Paling membimbangkan, kanak-kanak sihat juga mudah mendapat jangkitan jika menyentuh mereka yang dijangkiti atau mempunyai bakteria ini. Ia mudah tersebar jika sekumpulan kanak-kanak diletakkan bersama seperti di rumah pengasuh dan pusat asuhan dan tadika.

“Ibu bapa perlu ambil tahu punca terjadinya SSSS. Jangkitan bakteria Staphylococcus aureus ini akan mengeluarkan sejenis toksin pengelupasan kulit. Toksin ini bertindak dengan melemahkan pelekatan sel kulit di lapisan teratas.

“Berikutan itu, kulit atas akan terpisah daripada lapisan kulit bawah. Keadaan inilah yang kelihatan melepuh dan tertanggal seperti helaian kertas lembut pada kawasan kulit, mengikut tahap keterukan jangkitan berkenaan,” katanya.


KEADAAN kulit pesakit SSSS.

Bakteria kulit

Mengaitkan contoh kes yang berlaku dalam masyarakat hari ini, Dr Kartini berkata, SSSS memang boleh berjangkit sesama kanak-kanak yang terdedah kepada bakteria Staphylococcus aureus yang mengeluarkan toksin terbabit.

“Namun bukan semua jenis Staphylococcus aureus merembeskan toksin ini. Dalam kebanyakan situasi, Staphylococcus aureus adalah bakteria yang biasa dijumpai di kulit dan hidung pada 50 peratus manusia yang sihat. Ia tidak menjadi masalah kecuali apabila kulit luka.

“Bagaimanapun, kanak-kanak yang terdedah kepada masalah ini biasanya mendapat jangkitan bakteria di satu bahagian kulit (melepuh atau kerak berair), di dalam hidung, mulut, pusat atau tekak, bersama tanda awal demam seperti lesu, tidak selesa, merengek serta pedih kulit apabila disentuh.

“Kulit yang dijangkiti bakteria akan mula menjadi merah, kasar seperti pasir dan berkedut, terutama di kawasan pelipat siku, lutut, leher serta pangkal paha. Kesan lepuh ini diikuti kulit tertanggal mudah ataupun bersisik,” katanya.

Biarpun kesan jangkitan ini tampak ngeri dan menyakitkan, suatu hal yang boleh menenangkan kembali ramai ibu bapa adalah peluang untuk bayi kembali sembuh sepenuhnya selepas mendapatkan rawatan yang betul.


KULIT tertanggal seperti kertas.

“Sejauh mana lepuhan kulit berlaku, ia bergantung kepada keterukan jangkitan dan secepat mana antibiotik yang sesuai dimulakan.

“Berdasarkan pengalaman, SSSS memang jarang berlaku di Malaysia. Bagaimanapun, Jabatan Pediatrik Hospital Kuala Lumpur mendapat pesakit ini dengan purata satu kes setiap bulan. Kes akan dipantau untuk mengawal penyakit daripada merebak.

“Sementara kadar kematian kanak-kanak akibat SSSS adalah satu hingga lima peratus, jauh lebih rendah daripada kadar kematian pesakit dewasa iaitu sekitar 50 hingga 60 peratus. Hal ini berkemungkinan disebabkan masalah dalaman kronik yang akhirnya menyumbang kepada kegagalan tubuh badan untuk melawan penyakit ini,” katanya.


DIAGNOSIS tepat penting untuk rawatan segera.

Cuci tangan untuk cegah

Mengulas mengenai kesan jangka panjang dihadapi pesakit, Dr Kartini berkata, setakat ini tiada laporan menunjukkan SSSS meninggalkan kesan tekanan kepada mental, emosi mahupun fizikal kerana adanya rawatan yang efektif.

“Lazimnya, jangkitan kulit ini akan pulih dalam masa 10 hingga 14 hari, kecuali jenis jangkitan kompleks. Kawasan lepuhan juga biasanya tidak meninggalkan parut kekal.

“Cuma, bagi kanak-kanak yang terpaksa mendapatkan rawatan untuk tempoh lama, kadang-kadang ia meninggalkan kesan emosi seperti takut untuk datang lagi ke hospital, tidak selesa berdepan situasi yang memerlukan pengambilan darah atau menjalani pemeriksaan doktor.

Bagaimanapun, hal sebegini boleh dielak jika ibu bapa bertindak cepat, membawa anak ke hospital untuk rawatan dan dimulakan dengan suntikan antibiotik pada kadar segera,” katanya.

Kata Dr Kartini, risiko jangkitan berulang pada pesakit yang tidak mempunyai masalah dalaman yang lain adalah sangat rendah. Hal itu dipercayai berlaku berikutan peningkatan sistem imun tubuh pesakit yang sudah bersedia menentang jangkitan serupa.


CUCIAN dan balutan kulit secara intensif perlu untuk pesakit.

“Apa yang penting adalah diagnosa yang betul untuk pemerhatian terperinci oleh doktor yang merawat serta ujian sampel di ambil dari cecair lepuhan bagi mengesahkan jangkitan bakteria Staphylococcus aureus.

“Setiap rawatan kulit adalah bergantung kepada keterukan jangkitan. Suntikan antibiotik seperti cloxacillin adalah paling penting dalam rawatan SSSS. Pesakit juga perlu dimasukkan air secara suntikan untuk memulihkan kesan hidrasi.

“Oleh kerana kawasan kulit pedih dan mudah koyak apabila disentuh, ibu dan penjaga mesti berhati-hati dan tidak terlalu kasar ketika memegang bayi mereka. Rawatan kulit pesakit dalam situasi ini adalah sama seperti mangsa kebakaran.

“Pesakit biasanya memerlukan cucian dan balutan kulit secara intensif serta ubat penahan sakit. Bagi pesakit yang teruk, mereka perlu dimasukkan ke unit rawatan rapi atau unit khas untuk tujuan rawatan lebih intensif,” katanya.

Dr Kartini berkata, kurangnya pergerakan sendi sepanjang berdepan penyakit itu berkemungkinan perlu dibantu ahli fisioterapi untuk mengurangkan kekejangan otot.


KAWASAN dijangkiti bakteria menjadi merah, kasar seperti pasir dan berkedut.

“Buat masa ini tiada rawatan alternatif atau tradisional yang boleh merawat SSSS. Jadi, kami nasihatkan mereka yang mengalami SSSS datang terus ke hospital untuk rawatan pakar.

“Memandangkan SSSS adalah sejenis jangkitan, sama seperti wabak penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD), penekanan harus diberi dalam usaha pencegahan daripada terus merebak. Semua isi rumah dinasihatkan supaya menjaga kebersihan diri dan persekitaran.

“Individu yang mengalami jangkitan bakteria Staphylococcus aureus mesti dirawat hospital dan diletakkan di bilik berasingan. Penjaga atau ibu bapa tidak boleh membawa anak mereka ke sekolah, pusat jagaan atau tadika jika mengesyaki adanya jangkitan ini.

“Paling penting, jaga kebersihan tangan untuk mengurangkan merebaknya penyakit. Amalkan membasuh tangan dengan cara yang betul mengikut teknik yang dicadangkan Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 September 2018 @ 2:26 PM