WAJAH berseri selepas rawatan.
Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my

Kulit halus dan bersinar menjadi impian setiap wanita kerana ia melambangkan kesihatan, kualiti dan paling penting kecantikan.

Bagi mendapatkannya, ramai wanita sanggup mengeluarkan kos besar untuk membeli produk penjagaan kulit wajah dan lebih membimbangkan ada yang berani mencuba produk yang menghasilkan kesan pantas tapi memudaratkan kesihatan.

Semakin meningkat usia, kulit wajah juga akan jadi berusia. Tanda penuaan atau sebarang masalah kulit lain akan mula menampakkan kesannya.

Malah beberapa faktor seperti gaya hidup dan pendedahan terlalu lama kepada cahaya matahari yang mengandungi sinaran UV juga mempercepatkan proses penuaan dan pigmentasi.

Tompok gelap, jeragat dan ton kulit tidak sekata misalnya, sering menjadi kebimbangan setiap orang dan bagi mengembalikan kecantikan kulit, pelbagai jenis produk penjagaan dicuba.

Bagaimanapun, masalah kulit boleh diatasi sekiranya setiap orang mengetahui keadaan sebenar kulit mereka dan mendapatkan rawatan serta penjagaan yang bersesuaian.

Menerusi inovasi dan kemajuan teknologi, ada banyak rawatan laser yang boleh memberikan hasil selamat dan berkesan dalam mengatasi masalah itu.

Penggunaan laser untuk mencantikkan kulit antara prosedur yang digemari warga Asia bagi menghilangkan masalah jeragat dan kecerahan kulit secara keseluruhannya.

Terapi laser ‘Glow’ misalnya, antara prosedur bagi mengatasi masalah pigmentasi dan membantu meremajakan kulit untuk kulit tampil bersinar dan berseri.

Pengurus Najwa Medispa, Raihan Khairani Rozikin berkata, rawatan bukan invasif ini mengurangkan penghasilan sebum selain menyasarkan kulit bermasalah untuk menambah baik ton kulit sekali gus mencerahkan pigmentasi.


RAIHAN Khairani.

Katanya, haba daripada laser yang digunakan merangsang penghasilan kolagen untuk kulit yang lebih bersinar dengan tempoh rawatan mengambil masa sehingga 40 minit.

“Biasanya kami sarankan pelanggan dengan masalah jeragat, parut hitam dan kulit kusam untuk mencuba rawatan ini kerana selain tidak menyakitkan, tempoh penyembuhan juga tidak lama bergantung keadaan kulit.

“Tenaga dari laser masuk ke tisu menghasilkan kesan haba yang mengurangkan penghasilan sebum dan merangsang kebolehan semula jadi sel untuk meremajakan kulit dan menghasilkan lebih banyak kolagen.

“Proses rawatan laser bermula dari dagu ke dahi dilakukan sehingga enam pusingan untuk mendapatkan kesan lebih baik,” katanya.

Beberapa siri rawatan disyorkan untuk mencapai hasil optimum dan rawatan penyelenggaraan yang berterusan digalakkan untuk mengekalkan hasil yang baik.

Rawatan ini sesuai untuk wajah, tangan dan bahagian lain tubuh yang menampakkan tanda kerosakan akibat matahari dan pigmentasi.

Sebelum rawatan, kawasan sasaran dibersihkan terlebih dulu. Anda akan berasa hujung peranti laser menyentuh kulit. Apabila laser menembak, pelanggan akan berasa merasai sedikit rasa panas tapi tidak sampai menyakitkan.

Pelanggan perlu melindungi bahagian yang dirawat daripada matahari dan memakai krim tabir suria manakala rawatan susulan juga mungkin disarankan.

Kesan sampingan yang mungkin berlaku ialah kebanyakan pelanggan merasai kemerahan ringan sejurus selepas rawatan. Kesan sampingan ini bersifat sementara dan biasanya hilang dalam beberapa jam.

Walaupun pelanggan mungkin mengalami kemerahan ringan untuk beberapa jam, mereka boleh kembali melakukan aktiviti biasa selepas rawatan.


1. BERSIHKAN wajah dari semua kekotoran, lap hingga kering.

2. PENUTUP mata dipasang sebelum prosedur laser dimulakan.

3. BERSIHKAN dengan air untuk hilang kesan bau terbakar.

4. PAKAI topeng LED dengan lampu merah untuk merangsang kolagen selama 15 minit.

5. SAPUKAN pelembap pada seluruh wajah diikuti dengan krim tabir suria.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Ogos 2018 @ 1:23 PM