Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my

Pada awal tempoh kehamilan, pasti banyak perancangan yang bermain di fikiran. Bagi ibu bapa baru, perasaan tidak sabar sering menjadi peneman setiap kali melakukan itu dan ini.

Untungnya pada zaman serba canggih ini, pelbagai maklumat, senarai dan panduan boleh didapati hanya di hujung jari. Kemudian, segala input dan perancangan dihimpunkan dalam kalendar telefon bimbit. Mudah dan praktikal.

Bagaimanapun, bukan semua ibu bapa berfikir dari sudut dan gaya yang sama. Masih ramai yang mengambil sikap berhati-hati terutama membabitkan kandungan sulung.

Satu hal yang sukar membezakan ibu bapa baru dengan mereka yang sudah memiliki anak adalah persoalan mengenai bila masa sesuai untuk berjumpa doktor dan melakukan pemeriksaan kehamilan.

Bagi kebanyakan ibu muda, mereka mungkin tertanya-tanya kerana teruja. Namun ramai juga ibu yang mengandung buat kesekian kali dalam hidup memendam persoalan sama kerana bimbang dengan risiko, faktor umur ketika hamil serta keadaan kandungan yang mungkin tidak disedari sejak awal.

Menurut Pakar Sonografer Klinik As Salam Bangi Nur Marni Ahmad, wanita yang mempunyai kitaran haid normal biasanya boleh mengesan kehamilan seawal minggu kelima.

“Wanita yang tidak datang haid pada tarikh sepatutnya boleh melakukan ujian kehamilan di rumah (UPT). Dapatkan kit ujian di farmasi dan kesan kehadiran hormon kehamilan gonadotropin korionik manusia (hCG) melalui air kencing. Sekiranya positif, berjumpalah dengan doktor untuk pemeriksaan seterusnya,” katanya.

Jelas Nur Marni, pemeriksaan bersama pegawai perubatan pada peringkat awal kehamilan sangat penting. Ia bertujuan memastikan kehadiran kantung bayi di dalam rahim, meneliti risiko kandungan luar rahim, menentukan tarikh jangka kelahiran dan melihat sama ada wujud kehamilan kembar (atau lebih).

“Ketika pemeriksaan ini juga doktor akan membekalkan ibu dengan makanan pelengkap seperti asid folik dan sebagainya. Semua keperluan ini penting diambil, terutama pada awal kehamilan,” katanya.


NUR Marni.

Perkembangan janin

Pada usia kandungan mencecah lima minggu, ibu boleh mula menjalani imbasan ultra bunyi trimester pertama. Katanya, pada tempoh itu, usia sebenar embrio adalah antara 15 ke 22 hari.

“Embrio terbentuk di dalam kantung bayi tetapi terlalu kecil untuk dilihat secara jelas. Anggaran saiznya adalah sekitar empat milimeter (mm). Antara aktiviti utama tempoh ini ialah pembentukan awal neural, tulang, jantung dan lapisan awal kulit.

“Pada minggu keenam, anggaran saiz janin meningkat kepada 5mm. Proses utama dalam tempoh ini dipanggil organogenesis iaitu sel dan tisu mula membentuk ciri khas untuk pembentukan organ.

“Sebagai contoh, tisu di bahagian kepala mula menjadi tisu untuk mata, telinga atau otak. Manakala tisu di bahagian badan mula menjadi tisu tulang atau organ lain.

“Ketika ini, jantung bayi sudah mula berfungsi dan dapat dikesan menerusi imbasan ultra bunyi. Tiub saraf akan mula tertutup. Kegagalan tiub saraf menutup sempurna boleh menyebabkan ketaknormalan (abnormaliti) berkaitan otak, tulang belakang dan saraf tunjang,” katanya.


GAMBARAN janin pada usia lima minggu.

Hari demi hari, saiz embrio akan terus berkembang. Pada usia tujuh minggu, setiap organ dan sistem akan membentuk dengan lebih kompleks. Jantung umpamanya, akan mula membahagi kepada empat bahagian. Sementara tisu otak pertama yang terbentuk ialah tisu serebral.

Di bahagian abdomen pula, tisu hati mula terbentuk manakala bahagian kepala dan badan kelihatan lebih jelas. Tangan dan kaki janin juga akan mula kelihatan.

“Apabila masuk usia kandungan lapan minggu, saiz janin akan meningkat kepada 16mm. Pada masa ini, tangan dan kaki kelihatan lebih panjang. Jantung akan dapat dilihat dengan lebih jelas dan badan nampak lebih lurus.

“Antara organ yang menjadi kian matang adalah jenis kelenjar seperti timus, pituitari, adrenal dan paratiroid. Jantung dan paru-paru pula ‘berpindah’ ke bahagian toraks (bahagian badan yang dilingkungi tulang rusuk). Manakala bibir, lidah, hidung, rahang dan tulang mata mula terbentuk,” katanya.

Tiba usia janin sembilan minggu, pergerakannya akan mula dapat dilihat. Inilah antara momen indah yang diimpikan ramai ibu. Sekalipun pergerakan janin masih ‘halus’, imbasan ultra bunyi sudah boleh menangkap jelas susuk kecil bersaiz kira-kira 23 mm ini.

Ketika ini, majoriti sistem dalam tubuh janin seperti endokrin, pernafasan dan saraf mula berfungsi. Usus terbentuk di luar abdomen janin dan pergerakan bayi dapat dilihat dengan struktur muka dan otak mula kelihatan.


VISUAL janin berusia 10 minggu.

“Pada akhir proses embriologi, perkembangan janin boleh dikatakan hampir sempurna. Kepala berbentuk lebih bulat, mata mempunyai kelopak, hidung, mulut dan telinga akan kelihatan. Otak juga membahagi kepada struktur yang lebih kompleks seperti pleksus koroid, serebelum, ventrikel lateral dan pleksus vaskular.

“Tangan dan kaki lebih panjang dan bergerak ke bahagian depan badan, manakala siku mula terbentuk. Suatu hal yang kerap ditunggu-tunggu adalah pembentukan jantina perempuan atau lelaki. Pada usia ini, organ kelamin bayi sudah pun terbentuk.

“Bagi kandungan kembar (atau lebih), pemeriksaan kehamilan di antara lima hingga 10 minggu ini adalah sangat penting untuk menentukan jenis kembar. Membran amnion (selaput paling dalam yang menyelaputi embrio) peringkat awal ini boleh memberi gambaran sama ada kembar seiras atau tidak, serta kemungkinan berlainan jantina atau sama.

“Imbasan ultra bunyi pada trimester pertama bukan saja bertujuan menentukan tarikh jangka kelahiran dan mengetahui usia sebenar bayi, tetapi boleh mempengaruhi penilaian doktor sekiranya bayi mengalami gangguan pertumbuhan dan pembesaran semasa proses kehamilan,” katanya.


IMBASAN ultra bunyi trimester pertama mempengaruhi penilaian doktor.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mei 2018 @ 2:42 PM