Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

Memiliki kulit bebas daripada bintik hitam menjadi idaman wanita. Namun hakikatnya sejak wanita datang haid pertama, kulit mulai dikesan mempunyai bintik hitam di sekitar hidung dan bibir. Ia turut jelas kelihatan pada individu memiliki pori terbuka yang membuatkan penampilan wanita kurang sempurna.

Bagi mengurangkannya ramai melakukan rawatan sendiri di rumah iaitu dengan memicit bintik hitam menggunakan jari. Selepas puas menekan maka akan keluar benjolan kecil seperti nasi. Sesetengah mengakui berasa puas apabila ‘biji nasi’ ini dapat dikeluarkan.

Namun ia bukan cara yang betul. Ini kerana memicit dengan tangan (terutama tangan kurang bersih) akan membuatkan kulit dijangkiti bakteria, sekali gus mendedahkan kepada kemunculan masalah lain seperti jerawat. Menekan dengan kuat juga menyebabkan kulit menjadi kemerah-merahan dan sukar dihilangkan.

Menurut Pengurus NS Parlour Spa, Nur Ellianee Wan Sabri, memang benar semua wanita mempunyai bintik hitam sama ada sedikit atau banyak. Ia berlaku akibat lebihan minyak daripada kilang minyak pada liang kulit atau dalam liang rambut (folikel).

Apabila kilang minyak terlalu aktif terutama pada remaja, kulit akan mengeluarkan lebihan minyak dan menyebabkan pori tersumbat.

“Bintik hitam atau mudah dikatakan sebagai benjolan putih seperti nasi ini terjadi akibat penyempitan liang pori membuatkan minyak terkumpul. Apabila dibiarkan tanpa rawatan sesuai, kulit berisiko ditumbuhi jerawat berserta kemerah-merahan disebabkan bakteria memasuki melalui bukaan pori yang menyebabkan kulit merah dan membengkak. Ia biasanya muncul di sekitar hidung, dada, lengan dan bahu,” katanya.

Katanya lagi, bintik hitam adalah folikel rambut namun kelihatan lebih besar daripada folikel lain, kemudian tersumbat oleh minyak dan sel kulit mati. Kadangkala ia disebabkan sisa kosmetik atau debu kotoran yang berpunca daripada persekitaran. Kebiasaannya ia berwarna hitam kerana reaksi kimia membabitkan melanin dan menyebabkan perubahan warna.

“Masalah bintik hitam kerap berlaku kepada remaja atau wanita dewasa disebabkan kulit masih lembap dan berminyak. Namun wanita berusia 50-an tidak lagi menghadapi masalah ini kerana mereka lebih terarah kepada kulit berkedut dan pigmentasi, namun ia turut bergantung kepada jenis kulit seseorang sama ada berminyak atau kering. Kulit berminyak lebih banyak menghasilkan bintik hitam berbanding normal atau kering,” katanya.

Memicit bintik hitam menggunakan tangan bukan cara terbaik menghilangkannya. Sebaliknya ia dapat dikurangkan menerusi rawatan khas di pusat rawatan kecantikan menggunakan vitamin C dan kolagen dan juga NS 24k Gold Microneedling.

Rawatan ini bukan saja mengurangkan bintik hitam tetapi mengembalikan keanjalan kulit, mencerahkan kesan jeragat, parut jerawat, ton kulit yang tidak sekata dan membantu mengecutkan kembali pori yang terbuka pada wajah.

Sebelum rawatan kulit pelanggan dianalisis terlebih dahulu bagi mengetahui jenis kulit dan rawatan sesuai. Ini memastikan keberkesanan produk pada kulit, bagi merasai perbezaan sebelum dan selepas rawatan. Menggunakan cip stem yang tidak menyakitkan bagi mengeluarkan bintik hitam, serum nano hialuronik disapu keseluruhan kulit terlebih dulu.

“Kemudian cip stem ini dihalakan keseluruhan kulit dengan meletakkan secara sekejap dan kemudian beralih ke bahagian lain. Ia memberikan kesan ketara untuk pemulihan kulit terutama bahagian yang banyak ditumbuhi bintik hitam. Masalah jeragat juga dapat diatasi menggunakan teknik rawatan ini,” katanya.


CIP Stem diletakkan ke bahagian wajah untuk mengembalikan keanjalan kulit.

Selepas selesai menggunakan cip stem, topeng wajah berbentuk emas disapu ke seluruh kulit. Topeng wajah ini mempunyai sejenis bahan yang dapat mencegah kulit daripada masalah penuaan dan kedutan akibat cahaya matahari. Ia kemudian diakhiri dengan topeng LED bagi menganjalkan kulit, mencerah dan mengecilkan liang pori.

“Masalah bintik hitam yang berpunca daripada pori terbuka dapat diatasi menerusi penggunaan topeng LED dengan lampu berwarna merah. Rawatan selama dua jam ini sesuai dilakukan sebulan sekali dan sesuai mendapatkan kulit segar menjelang Aidilfitri nanti,” katanya.


TOPENG LED membantu mengecilkan pori terbuka.

Bagi yang inginkan rawatan biasa untuk kesegaran boleh mencuba rawatan kecantikan vitamin C dan kolagen kerana ia lebih tenang dan mendamaikan. Proses bermula menerusi cucian dan skrub, kemudian kulit diwapkan bagi membuka liang pori. Menggunakan mesin vakum kecil, bahagian kecil pada hujungnya diletakkan pada kiri dan kanan hidung. Kemudian bintik hitam disedut keluar. Ia tidak menyakitkan namun memberikan keselesaan.

“Selepas bintik hitam disedut, pori yang terbuka akan ditutup menerusi sapuan krim vitamin C yang turut memberikan kesegaran dan pemulihan jangka panjang. Ia boleh dilakukan sebulan sekali secara konsisten bagi mengurangkan bintik hitam seterusnya menjadikan kulit lebih cerah dan sihat,” katanya.


KULIT dibersihkan bagi membuang kotoran.

Jelas Nur Ellianee, kedua-dua rawatan ini sesuai bagi wanita yang inginkan kulit sihat menjelang hari raya puasa nanti. Selepas sebulan berpuasa sudah tentu rawatan ini mampu mengembalikan kesegaran kulit dan menampakkan kulit lebih segar.

Selain wajah NS Parlour Spa turut menyediakan urutan badan, rawatan kuku kaki dan tangan dan juga rambut. Bersempena Ramadan pelanggan boleh mendapatkan tawaran menerusi cucian rambut atau refleksologi kaki dan urutan leher dengan hanya RM50 bergantung kepada terma dan syarat.

Dibuka setiap hari bermula jam 9 pagi hingga 6 petang sepanjang Ramadan, bagi wanita yang inginkan harga istimewa boleh mendapatkannya pada setiap Khamis untuk perkhidmatan urutan, lulur badan dan rawatan wajah pada harga RM150.


MEMBUANG bintik hitam secara lebih mudah menggunakan mesin khas.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mei 2018 @ 2:13 PM