MINUM air lapan gelas sehari.
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

“Saya menggemari minuman manis dan berais ketika berbuka puasa. Amat kurang mengambil air kosong disebabkan perut terlalu penuh makanan. Akibatnya jumlah air yang diambil tidak sampai lapan gelas. Adakah ia membuatkan kulit kering dan tidak bermaya?” Ada pula berpendapat kulit berjerawat dan pigmentasi berpunca daripada kekurangan cecair yang diambil sepanjang Ramadan.

Soalan ini kerap diajukan atau bermain dalam fikiran wanita ketika ini. Ia disebabkan ramai mengakui ketika berpuasa saranan pengambilan air kosong sebanyak satu atau dua liter adalah di luar kemampuan. Kebiasaannya pengambilan air hanya dilakukan ketika berbuka puasa dan bersahur, itupun tidak mengutamakan air kosong.

Sebaik sahaja waktu berbuka kebanyakan orang mengambil makanan berat seperti nasi bersama minuman sejuk. Apabila perut sudah penuh, air kosong dianggap tidak lagi diperlukan.

Pakar Estetik Klinik Dr Shah Dr Shaharom Sulaiman berkata, air sangat penting bukan sahaja untuk kelembapan kulit, tetapi mengekalkan tenaga, mengawal suhu badan, membantu pencernaan, menjaga fungsi otak dan menyihatkan tubuh. Ketika berpuasa ramai beranggapan badan kekurangan air disebabkan kurang pengambilan minuman sebab itu kulit menjadi kering dan tidak bermaya.

“Kulit adalah organ terbesar manusia dan benteng pertahanan langsung dari faktor luaran. Unsur utama daripada fungsi pertahanan adalah untuk mempertahankan homeostasis dengan mencegah kehilangan air, ion dan protein.

“Kulit kita bukan seperti tumbuhan. Ia tidak terus gebu atau lembap apabila kita minum banyak air. Sebaliknya kelembapan dan kesegaran wajah bergantung kepada amalan penjagaan kulit yang konsisten dan menjaga pemakanan seharian,” katanya.

Jelas Dr Shaharom, dalam istilah saintifik, kelembapan kulit lebih bergantung kepada lapisan atau halangan lipid pada kulit. Lapisan lipid yang baik dapat memerangkap kelembapan dan menjadikan kulit lebih lembap. Halangan kulit adalah pertahanan terhadap suhu, kelembapan, virus atau bakteria. Ia berfungsi melindungi tubuh daripada bahan yang menyebabkan keradangan kulit atau tubuh sensitif terhadap bahan-bahan itu. Namun jika terjadi juga, radang kulit akan melepaskan bahan kimia untuk pertahanan yang menyebabkan rasa gatal dan kemerahan.


DR Shahrom.

Pilih makanan yang betul

Bagi mengembalikan kesegaran dan kelembapan kulit pada bulan puasa selain minum banyak air, wanita dinasihatkan menggunakan sabun lembut dan sesuai kulit, kurangkan berjemur di bawah terik matahari, mengurangkan mandi dan berendam terlalu lama yang akan membuatkan kulit semakin kering.

Bagi umat Islam yang berpuasa, mereka dinasihatkan memilih makanan yang dapat meningkatkan kelembapan kulit iaitu mengandungi asid lemak asas, asid lemak gamma linolenik (GLA) seperti biji rami, evening primerose, minyak biji borage, minyak zaitun dan salmon yang semuanya bukan sahaja membantu mengekalkan kelembapan kulit malah baik untuk penghidap ekzema. Selain itu pastikan makanan diambil rendah lemak, kurang garam, gula dan minyak.

Mereka yang gemarkan minuman manis seperti kopi atau teh serta minuman berais diingatkan mengurangkannya. Walaupun minuman ini tidak memberikan kesan secara terus kepada kulit, dari sudut kesihatan pengambilan gula secara berlebihan akan mengundang masalah obesiti, metabolik sindrom, diabetes dan darah tinggi.

“Oleh itu sepanjang Ramadan ini saya menasihatkan agar minum banyak air kosong atau suam sekurang-kurangnya lapan gelas atau satu liter sehari bagi mengembalikan kesegaran tubuh dan melembapkan kulit,” ujarnya.

Bagi menghalang kulit menjadi terlalu kering sapuan losen pelembap dua atau tiga kali sehari boleh mengelakkannya.

“Pastikan pilih losen dengan kandungan utama iaitu asid stearik, emolien seramik dan kolesterol. Kolesterol yang disapu pada kulit tidak akan meningkatkan paras kolesterol dalam badan kerana fungsinya amat berbeza,” katanya.

Bagi yang sering melakukan rawatan wajah jangan abaikannya ketika Ramadan. Teruskan seperti biasa agar kulit sihat dan cantik tatkala menyambut lebaran nanti.

Ditanya fungsi vitamin c pada kulit jelas Dr Shaharom ia sebenarnya membantu pembentukan kolagen dan kaya antioksidan. Vitamin C juga membantu menghalang kerosakan kulit yang disebabkan oleh sinar matahari. Jadi tiada masalah dengan pengambilan vitamin C atau produk berasaskan vitamin C,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mei 2018 @ 1:53 PM