KANAK-kanak, ahli keluarga dan tetamu bergambar kenangan.
Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my

Bayangkan jika tiba-tiba ibu bapa mendapat tahu anak kecil mereka menghidap kanser, pasti dunia seakan-akan gelap dan sukar menerima hakikat anak sekecil itu perlu menanggung beban kesakitan dan rawatan berterusan yang ada kalanya memberi kesan emosi serta fizikal.

Sungguhpun begitu, kanak-kanak yang berdepan cabaran getir dalam hidup seperti itu tidak seharusnya terus berduka, sebaliknya perlu sentiasa dibantu orang sekeliling dari segi mental dan emosi agar semangat mereka pulih dan harapan untuk berjuang melawan kanser terus mekar.

Sememangnya lumrah kanak-kanak menginginkan kehidupan sempurna dan pengalaman yang menyeronokkan seperti kanak-kanak lain. Mereka juga mempunyai keinginan untuk memiliki atau merasai sesuatu yang boleh mengukir senyuman, sekali gus memberi pengalaman yang tidak boleh dilupakan.

Oleh itu, baru-baru ini, Genting Cruise Lines terdiri daripada tiga jenama pelayaran termasuk Star Cruises, Dream Cruises dan Crystal Cruises, berkerjasama dengan Make-A-Wish Malaysia untuk menyambut World Wish Day 2018 di atas kapal pelayaran.


ANTARA aktiviti interaktif yang menjadi tarikan peserta.

Menariknya, 130 tetamu khas terdiri daripada kanak-kanak yang menghidap penyakit kritikal bersama dengan ahli keluarga tersayang masing-masing serta sukarelawan dari Make-A-Wish Malaysia dijemput menghadiri acara istimewa di atas kapal pelayaran SuperStar Libra di Port Klang, Malaysia.

Presiden Genting Cruise Lines Kent Zhu berkata, dengan pengalaman dan kenangan manis yang tercipta dalam program itu, pihaknya berharap usaha ini akan terus memberi harapan, kasih sayang dan kegembiraan kepada kanak-kanak yang penuh dengan semangat keberanian bersama keluarga mereka, agar bertekad kuat dan kekal positif sepanjang tempoh rawatan dan proses penyembuhan.

Katanya, pihaknya turut berharap program di atas kapal pelayaran SuperStar Libra akan memberikan senyuman dan ingatan kepada kanak-kanak ini dan membawa perubahan kepada kehidupan mereka serta komuniti.

Sementara itu, Ketua Pengawai Eksekutif Make-A-Wish Malaysia Irene Tan berkata, Sambutan World Wish Day 2018 memberi peluang kepada Make-A-Wish Malaysia mengeratkan hubungan silaturahim dengan peserta program itu yang bermula sejak 2010.

Tahun ini katanya, pihaknya berbesar hati kerana diberi peluang untuk berkerjasama dengan Genting Cruise Lines, malah kanak-kanak dan ahli keluarga yang hadir turut berasa gembira di atas layanan mesra di atas kapal pelayaran itu.


IRENE menyampaikan cenderahati kepada Kapten Christian Aalbers sebagai tanda penghargaan.

“Ramai di antara kanak-kanak yang hadir ini masih menghidap penyakit kritikal dan kami berharap pengalaman manis ini akan memperkayakan pengalaman hidup dan memberi kekuatan kepada mereka agar teruskan perjuangan rawatan mereka.

“Jalinan hubungan antara keluarga kanak-kanak kurang bernasib baik dengan organisasi ini terus kekal walaupun impian dan hasrat mereka sudah tercapai.

“Kami amat bersyukur dapat mendengar kisah mereka yang menjadi sumber inspirasi dan berkongsi pengalaman melihat mereka membesar dan mengharungi cabaran,” katanya.

Dalam program itu, kanak-kanak serta ahli keluarga yang dijemput khas di atas kapal SuperStar Libra menikmati acara yang penuh dengan keseronokan.

Kapten serta anak kapal SuperStar Libra mengalu-alukan kedatangan mereka dengan pelbagai hiburan dan aktiviti menarik, termasuk beraneka hidangan istimewa yang disediakan kumpulan cef popular kapal pelayaran yang memenangi pelbagai anugerah kulinari.

Tetamu tidak ketinggalan mendapat sambutan meriah oleh Kapten Charlie and Charlene, maskot comel Star Cruises sebelum menyaksikan persembahan silap mata mengagumkan bersama persembahan nyanyian oleh Ara of Melody Quartet.

Kanak-kanak ini juga dijemput naik ke atas pentas bersama anak kapal untuk menyertai pelbagai acara dan aktiviti interaktif selain lawatan khas sekitar kapal itu.


SUKARELAWAN Make-A-Wish Malaysia bersama maskot Star Cruises, Kapten Charlie dan Charlene.

Kerjasama organisasi itu dengan Genting Cruise Lines tahun ini memberi peluang kepada kanak-kanak dan ahli keluarga mereka untuk mengetepikan kebimbangan seharian dan menumpukan perhatian sepenuhnya pada semua aktiviti yang disediakan khas sempena World Wish Day 2018 di atas kapal pelayaran SuperStar Libra.

Dengan menunaikan setiap hasrat dan impian mereka, ia memberi mereka harapan, kekuatan, kegembiraan dan memperkayakan pengalaman hidup untuk mengatasi cabaran yang dihadapi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mei 2018 @ 1:22 PM