AKSI peserta Larian Hari Bumi Nat Geo.
Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my


Dalam usaha meningkatkan kesedaran mengenai pencemaran plastik sekali pakai, National Geographic (Nat Geo) menganjurkan larian Hari Bumi yang menarik 2,000 peserta serta penyokong kesejahteraan alam sekitar, baru-baru ini.

Larian dianjurkan bersempena sambutan Hari Bumi yang diraikan di seluruh dunia pada 22 April setiap tahun kali ini bertemakan Bebas Sisa Plastik terutama dalam mengurangkan penggunaan plastik sekali pakai yang menjadi elemen penting sepanjang larian ini.

Peserta larian diberi pilihan untuk membawa botol air sendiri ataupun menggunakan botol air boleh dikitar semula yang disediakan. Ini satu-satunya larian yang mana penganjur tidak menyediakan cawan mahupun botol air plastik, namun peserta boleh menggunakan tangki dan pam air kitar semula yang boleh didapati di stesen air yang ditetapkan untuk mengisi dan mendapatkan air.

Naib Presiden Kanan Ketua Wilayah Malaysia dan Singapura Kumpulan FOX Networks Vineet Puri berkata, larian ini menggabungkan minat orang ramai dari segi kecergasan dan kesihatan untuk menyokong gaya hidup lebih sihat dan bermanfaat.


PESERTA larian berkumpul sebelum dilepaskan.

Katanya, larian ini menyokong pengurangan penggunaan plastik sekali pakai dengan menyediakan botol air boleh dikitar semula untuk membolehkan peserta larian kekal terhidrat, tanpa menggunakan cawan mahupun botol plastik sepanjang larian.

“Orang ramai boleh mengaplikasikan apa yang dipelajari melalui acara ini untuk mengurangkan penggunaan plastik sekali pakai dan akhirnya membentuk tabiat bebas sisa yang bermula di rumah.

“Kami berharap larian ini akan menjadi pemangkin bagi rakyat Malaysia untuk mula hidup secara lestari,” katanya.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Gamuda Land Ngan Chee Meng berkata, bagi pihaknya kelestarian hidup tidak cukup sekadar menyediakan tumbuh-tumbuhan hijau dan persekitaran yang subur.

Sebaliknya, perkara terpenting yang menjadi prinsip syarikat itu dalam pembinaan bandar adalah mengkaji apa yang terdapat di tanah berkenaan.

“Sebelum kami mula membentuk sesuatu bandar, kami akan lihat sifat semula jadi dan perkembangan jatuh dan bangunnya tanah terbabit, lokasi tali air yang mengalir dan jenis pokok dan tumbuhan yang membesar di sana.

“Kami kekalkan perkara baik yang terdapat di tanah itu dan meningkatkan keperluan tanah yang menjadi inti pati kawasan kejiranan dan pusat bandar yang kami bina.

“Itulah yang menjadi prinsip kami selama 25 tahun. Apabila dapat melaksanakannya dengan betul, bandar menjadi cantik, komuniti rasa gembira dan biodiversiti boleh berkembang maju yang menjadikan kawasan itu penuh kualiti,” katanya.


WAKIL Biji-Biji Initiative menunjukkan lampu picit yang dibuat daripada botol air kitar semula kepada peserta.

Dalam pada itu, Zero Waste Malaysia turut mengadakan pameran bagi menunjukkan contoh ‘rumah yang bebas sisa’ di TwentyFive.7.

Pameran berkenaan mengetengahkan langkah kecil yang boleh dilakukan seseorang untuk mengubah gaya hidupnya dan mengurangkan sisa yang kebanyakannya datang dari dapur, bilik mandi dan kehidupan seharian.

Ada banyak yang kita lakukan untuk melestarikan alam dan mengurangkan penggunaan plastik. Antaranya adalah dengan menggunakan botol keluli tahan karat untuk menyimpan air, minum air terus dari gelas (tanpa straw), membawa beg kitar semula untuk membeli-belah dan kegunaan lain. Ini antara contoh yang membolehkan kita mengurangkan penggunaan plastik sekali pakai.

Pameran itu turut menampilkan pelbagai cara alternatif untuk menggantikan plastik dalam kehidupan seharian seperti menggunakan bungkusan lilin lebah untuk menyimpan makanan, penggunaan penyedut air buluh serba-guna, deodoran berasaskan bahan semula jadi dan pencuci pakaian organik yang disimpan dalam bungkusan bukan plastik.


WAKIL Petrosains memberi taklimat mengenai kitar semula di ruang pameran.

Selain itu, perusahaan seperti Biji-Biji Initiative, Petrosains dan organisasi Pemuliharaan Alam Sekitar Cenviro turut berada di karnival alam sekitar dalam program itu untuk menjalankan aktiviti berpendidikan yang menyeronokkan buat pengunjung.

Larian Hari Bumi Nat Geo dikenali di seluruh rantau dalam usaha meningkatkan kesedaran mengenai alam sekitar dan mengetengahkan cara hidup yang lestari. Sejak beberapa tahun lalu, larian ini menyokong pelbagai usaha menangani masalah alam sekitar seperti pengurusan air, perubahan iklim dan banyak lagi.

Ia juga acara larian pertama Malaysia yang menggunakan tenaga boleh diperbaharui dan fokus terhadap inisiatif mesra alam.


PESERTA menamatkan larian bergambar bersama pingat masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mei 2018 @ 1:21 PM