PROGRAM CSR sedang dijalankan.
Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my

Keterujaan umat Islam di negara ini menyambut kedatangan Ramadan memang tidak boleh dipertikai. Di sini sana, ada saja program keagamaan berbentuk ceramah, kelas pengajian khas, kem remaja atau kenduri sempena meraikan ketibaan bulan mulia itu.

Bukan itu saja, ada juga sesetengah orang yang membuat persiapan menyambut lebaran dua atau tiga bulan sebelum Ramadan menjengah. Bagi mereka langkah itu perlu untuk mengelakkan daripada terpaksa bersesak mencari kelengkapan pada saat akhir.

Kaedah itu membolehkan mereka memberi tumpuan kepada amal ibadat sepanjang berpuasa sebulan.

Namun, tidak kurang juga yang memilih untuk membeli pada minggu terakhir Ramadan apatah lagi pada malam raya kerana ketika itu kebanyakan barang diberikan potongan harga istimewa.

Pada masa sama, hotel dan restoran turut giat mengadakan promosi buka puasa yang kadang kala caj untuk seorang mencecah ke harga yang tidak munasabah.

Dalam pada gembira menyambut Ramadan dengan pelbagai persiapan, sering kali kita terlupa tidak semua individu dapat menikmati hidup dengan mudah kerana ada golongan yang perlu meneruskan kehidupan dalam keadaan serba kekurangan dan kesempitan.

Berkongsi rezeki dengan golongan memerlukan, tiga jenama fesyen tempatan, Fana Couture, Zoffya serta Riaz Anggun dan jenama makanan, Wonder Cheese tampil membantu rumah kebajikan Dar Asnaf Al Fateh, baru-baru ini.

Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) hasil kerjasama empat jenama itu dijalankan bagi menghulurkan bantuan kepada penghuni rumah kebajikan yang memerlukan.


BERKONGSI rezeki dengan golongan memerlukan.

Menurut wakil program Faizal Nayan, selain bantuan, pihaknya turut menjalankan aktiviti gotong-royong dan makan tengah hari bersama dengan setiap penghuni.

“Antara sumbangan diberikan adalah keperluan harian seperti beras, minyak masak, gula, garam, susu bayi, serbuk minuman coklat, tepung, sardin, bawang, kentang, penyapu dan sabun basuh.

“Turut disumbangkan barangan elektrik seperti ketuhar, kipas, pengisar, periuk nasi dan penyedut hampa gas,” katanya.

Menurutnya, pihaknya memilih rumah kebajikan itu atas faktor kedaifan serta kehidupan setiap penghuni rumah kebajikan yang hidup serba kekurangan.


MEMBAWA kegembiraan buat setiap penghuni.

Hati mana tidak tersentuh apabila melihat wajah kanak-kanak kecil yang comel hidup dalam keadaan serba kekurangan ketika rakan sebaya mereka bergembira bersama ibu bapa masing-masing.

“Saya dan seluruh pasukan program CSR ini amat berharap sumbangan kecil diberikan dapat membantu serta memberikan sinar kebahagiaan baru buat semua penghuni.

“Diharap dengan penganjuran program tahunan ini dapat membantu golongan memerlukan, sekali gus memberikan kegembiraan kepada mereka lebih-lebih lagi menjelang Ramadan ini, “ ujarnya.


ANTARA aktiviti dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mei 2018 @ 1:00 PM