NORAINI Diana ketika menjalankan tugasnya di bahagian kecemasan.
Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my

Tidak semua individu berminat memilih kerjaya dalam bidang perkhidmatan kerana hakikat yang tidak dapat disangkal, bidang itu memerlukan kesabaran dan jati diri tinggi.

Ada pahit juga manis perlu diharungi bagi membolehkan diri berkhidmat dalam bidang perkhidmatan terutama bergelar jururawat.

Dalam setiap pekerjaan pasti ada cabarannya yang tersendiri, namun ia menjadi lebih sukar apabila kerjaya itu membabitkan perkhidmatan kepada pelanggan.

Bagi seorang jururawat, sebelum melangkah ke status profesional dan berpengalaman, mereka perlu menempuh peringkat awal bekerja. Kerenah pesakit perlu dihadapi dengan penuh kesabaran.

Bahkan kerjaya jururawat itu sendiri menuntut kecekalan hati, lantaran waktu kerjanya yang tidak tentu masa selain perlu bijak berdepan tekanan apabila menghadapi pesakit.

Hari Jururawat yang disambut pada 12 Mei setiap tahun adalah masa yang terbaik untuk kita melahirkan penghargaan ke atas jasa dan pengorbanan mereka selama ini.

Sama ada sedar atau tidak, jururawat meluangkan 70 hingga 80 peratus masanya berinteraksi dengan pesakit berbanding masa pesakit bersama doktor atau ahli keluarga masing-masing.

Ini menunjukkan mereka golongan paling rapat dengan pesakit sepanjang berada di hospital.

Berkongsi pengalaman dalam bidang ini, jururawat yang bertugas di bahagian kecemasan Pusat Perubatan Sri Kota, Klang, Noraini Diana Mohd Ariff, 35, berkata, pengalaman sepanjang 16 tahun berkhidmat dalam bidang itu memberikan satu pengalaman bermakna yang tidak dapat dijual beli.

“Saya bermula dalam kerjaya ini sejak 2002 dan sampai sekarang masih seronok bekerja. Walaupun diduga dengan pelbagai keadaan, saya tetap menganggapnya pilihan kerjaya yang tepat

“Pelbagai suka duka sudah saya tempuhi terutama dalam berdepan dengan ragam pesakit dan keluarga mereka. Memandangkan saya berkhidmat di bahagian kecemasan, keberanian adalah perkara paling utama yang perlu ada dalam diri,” katanya memulakan bicara.

Menurut Noraini Diana yang berasal dari Taiping, Perak, dia bukanlah seorang yang berani terutama dalam berdepan situasi mencemaskan namun kerjaya diceburi mengubah personalitinya.

“Memang bukan mudah untuk menjadi berani dan kuat terutama dalam beberapa tahun awal. Itu adalah fasa untuk saya mengubah diri dan belajar bertenang ketika mengendalikan kes yang dirujuk ke unit kecemasan,” ujarnya.


NORAINI Diana melayan pesakit.

Fahami pesakit

Ibu kepada tiga cahaya mata ini berkata, kerjaya sebagai seorang jururawat memerlukan dia meletakkan dirinya sebagai pesakit kerana semua pesakit datang ke klinik atau hospital untuk mendapatkan rawatan bagi membolehkan mereka kembali hidup sihat.

“Layanan diberikan perlulah baik dan mesra. Paling penting jangan sesekali menunjukkan diri anda sedang tertekan atau penat di depan pesakit kerana ia sedikit sebanyak mempengaruhi emosi mereka.

“Saya juga sering mengingatkan rakan setugas supaya sentiasa tersenyum dan melayan pesakit sebaik mungkin. Ia bukan saja menunjukkan imej yang baik malah sekali gus membantu menggembirakan pesakit yang sedang mendapatkan rawatan,” katanya.

Cabaran paling besar adalah menangani ragam pesakit dengan cara berhemah khususnya yang tidak dapat menerima hakikat penyakit atau keadaan dirinya.

“Di situlah kita perlu tenang dalam melayan pesakit. Jika terlalu penat cuba ambil nafas dan rehat seketika atau minta bantuan rakan jururawat lain,” ujarnya.

Kata Noraini Diana, selain pesakit, jururawat juga perlu bijak dalam berdepan dengan kerenah doktor dan ahli keluarga pesakit.

“Inilah sebabnya saya katakan kerjaya ini memerlukan kesabaran yang tinggi kerana doktor juga ada ragam dan kehendak tersendiri.

“Sebagai jururawat kita perlu bijak dan cekap mengenali karakter setiap doktor yang bertugas. Di unit kecemasan contohnya, segalanya perlu pantas kerana kita berdepan dengan nyawa pesakit,” katanya.

Noraini Diana yang menetap di Rantau Panjang, Klang berkata, dia amat bersyukur kerana sepanjang tempoh berkhidmat, tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku.


NORAINI Diana tidak menyesal dengan kerjaya dipilih.

Kerjaya berbaloi

Kata Noraini Diana, soal menyesal masanya banyak dihabiskan di hospital tidak pernah timbul.

“Saya puas kerana selain bekerja, secara tidak langsung saya membantu ramai individu saban hari terutama pesakit yang datang untuk mendapatkan rawatan.

“Detik paling mencemaskan ialah ketika saya menjadi petugas terawal yang mengendalikan mangsa kes bunuh. Ketika itu, saya baru saja memulakan tugas pada sebelah pagi sebelum mayat mangsa tiba di bahagian kecemasan. Selain itu, terdapat juga beberapa kes kemalangan jalan raya yang agak tragis namun segalanya saya kendalikan dengan tenang,” katanya.

Menurutnya, dia juga gembira kerana suami memahami kerjayanya dan memberi sokongan padu untuk dia terus bekerja.

“Walaupun sibuk namun saya dapat bahagikan masa sebaik mungkin untuk suami dan anak. Syukur, segalanya berjalan lancar dan anak juga membesar dengan baik di depan mata saya.

“Saya perlu bijak bahagikan masa. Jika di hospital, saya akan fokus dengan tugas dan tidak membawa apa juga masalah di rumah ke tempat kerja, begitu juga sebaliknya. Namun disebabkan saya adalah jururawat kanan, saya juga sering menerima panggilan telefon untuk meminta pendapat juga nasihat,” ujarnya.

Katanya, dalam keluarga besarnya, ada empat jururawat termasuk ibu saudara, kakak ipar dan anak saudaranya.

“Banyak yang saya belajar daripada kerjaya ini. Ia melatih saya menjadi individu yang berani dan mampu mengawal emosi dengan baik. Antaranya saya tidak lagi seorang individu yang penakut. Saya juga mampu mengawal emosi dengan baik.

“Jururawat bukan sekadar kerjaya untuk mencari pendapatan, sebaliknya memberikan perkhidmatan menyelamatkan nyawa seseorang. Tahniah kepada semua jururawat di seluruh negara yang sanggup berkorban demi kesejahteraan masyarakat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mei 2018 @ 3:46 PM