SENTIASA menyediakan makanan berkualiti dan terbaik untuk pelanggan.
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

Bergelar ibu dan pada masa sama usahawan berjaya bukanlah sesuatu yang mudah. Banyak dugaan dan cabaran terpaksa dilalui antaranya membesarkan anak-anak juga kerja di luar yang perlu diselesaikan segera. Tanpa sokongan suami dan si kecil yang mungkin perlu diberi penerangan berulang kali mengenai kerjaya ibu, sudah pasti impian bergelar usahawan sukar direalisasikan.

Bagi ibu kepada empat cahaya mata, Norfazilah Jusoh, 38, keinginan untuk berjaya bukan alasan dia mengetepikan tanggungjawab kepada keluarga.

“Bagi saya wanita berkerjaya boleh menjadi ibu terbaik untuk anak-anak dengan membahagikan masa di antara keluarga dan kerjaya. Walaupun sekejap, ibu boleh membawa anak bercuti atau keluar makan bersama. Bagi anak-anak waktu ini sangat istimewa kerana mereka boleh berbual dan bergurau senda dengan lebih dekat. Duit memang boleh dicari, tetapi masa yang hilang tidak berganti,” katanya.

Menyingkap kerjaya sebagai pengusaha katering, jelas Norfazilah, lapan tahun lalu, dia bermula sebagai penjual nasi lemak. Keenakan nasi lemak Norfazilah diakui memang tiada tandingan. Lauk-pauk seperti ayam sambal, udang, sotong dan rendang termasuk nasi kerabu mendapat sambutan bukan saja disebabkan rasanya, tetapi kemesraan dan keramahannya. Setiap kali berniaga, tiga tong nasi lemak habis dalam masa tiga jam saja.

Mula menyediakan hidangan seawal jam 3 pagi, bagi Norfazilah tiada yang lebih menggembirakan apabila dapat membantu suami, Mohd Azmanizam Bahruddin, 40, menambah pendapatan keluarga. Biarpun penat memasak seorang diri, sokongan pelanggan membuatkan dia bersemangat menyediakan nasi lemak setiap hari. Bermula dari situ, dia turut menerima tempahan secara kecil-kecilan bermula daripada 20 bungkus meningkat kepada jumlah yang besar.

Bercerita bagaimana mula berniaga, jelas Norfazilah, dia berkahwin pada usia 19 tahun kemudian menjadi suri rumah sepenuh masa. Terdorong memperbaiki diri selepas melihat rakan-rakan menyambung pengajian di universiti, dia menyatakan keinginan berniaga.

“Saya cemburu melihat rakan menyambung pengajian kemudian memegang jawatan tinggi. Timbul keinginan untuk berjaya juga. Ketika itu saya terfikir, menyambung pengajian bukan satu-satunya jalan untuk berjaya. Jadi saya nekad berniaga,” katanya yang mencadangkan kepada suami untuk berniaga makanan.


NORFAZILAH gigih mengusahakan perniagaan katering.

Pada mulanya Norfazilah menyediakan makanan untuk kantin sekolah namun tidak berjaya disebabkan pelbagai masalah. Walaupun gagal dia bertekad terus mencuba kerana berpegang kepada prinsip tidak mahu menyerah kalah dan terus berusaha mencapai kejayaan.

“Saya mahu menjual nasi lemak di depan rumah pula. Suami memberi persetujuan bersyarat, saya tidak mengabaikan anak-anak. Bermodalkan RM400 diberi suami, saya membeli peralatan berniaga seperti meja, payung, bekas makanan dan bahan memasak. Ia mendapat sambutan dan ada yang mula menempah dalam jumlah kecil,” katanya.

Disebabkan sambutan menggalakkan Norfazilah mula mendaftarkan syarikat Eila Katering dan menghantar sampel makanan ke semua jabatan kerajaan di Putrajaya. Sedikit demi sedikit tempahan katering semakin meningkat sehingga ruang dapur tidak dapat menampung hidangan yang perlu disediakan. Akhirnya dia mula mencari kedai sebagai tempat menyediakan hidangan.

“Alhamdulillah Eila Katering berjaya dibangunkan, bermula seorang pekerja kini kami mempunyai 12 pekerja tetap dan 30 kakitangan sambilan yang membantu melicinkan perjalanan perniagaan,” katanya yang turut membuka Restoran Maggie Ketam Power di Puchong bagi merealisasikan impian menyediakan hidangan untuk orang ramai.

Bagi memastikan hidangannya diterima ramai, Norfazilah memasak sendiri semua tempahan bagi memastikan kualiti masakan terpelihara. Sebagai pengurus dan juga tukang masak, dia perlu berada di kedai sebelum jam 3 pagi bagi menyediakan menu tempahan yang kebanyakannya adalah pelanggan daripada jabatan kerajaan dan selebihnya untuk majlis keraian seperti perkahwinan dan akikah.

“Setakat ini tidak pernah berlaku keracunan makanan atau makanan tidak mencukupi. Pernah tersalah tarikh menyiapkan makanan, namun saya anggap ia bukan rezeki saya lalu semua makanan dihantar ke rumah anak yatim atau masjid,” katanya.


SUAMI menjadi tulang belakang kejayaan selama ini.

Raikan Hari Ibu bersama

Bersyukur dengan nikmat yang diberi, anak kelahiran Terengganu ini mengakui setiap kejayaan tidak diperoleh dengan mudah. Pelbagai cabaran perlu dilalui untuk berada pada tahap sekarang. Semuanya perlu diambil sebagai sesuatu yang positif bagi membina diri menjadi lebih baik daripada apa yang dimiliki sekarang.

“Saya pernah ditipu, duit tidak dibayar dan alami kerugian akibat tempahan tidak diambil. Menangis itu perkara biasa, ada kala saya penat, tapi bangkit semula kerana tidak mahu mengalah. Saya perlu bersikap positif dan cuba mencari kelemahan sendiri. Saya percaya apa yang diberi Allah pasti ada sebabnya, anggap saja ia pembakar semangat untuk lebih berjaya,” katanya.

Bersyukur dikurniakan anak yang sangat memahami. Anak sulung, Anis Hamizam Rifki, 19, sudah diberikan pendedahan untuk menerajui perniagaan. Sekurang-kurangnya dia dapat belajar kerana suatu hari nanti dia akan me­ngambil alih syarikat.

Sempena hari ibu yang diraikan pada minggu kedua Mei, setiap tahun Norfazilah turut menerima kad dan kata-kata ucapan daripada anak-anaknya.

“Ia menjadi penghargaan dan kata-kata semangat untuk saya memberikan yang terbaik kepada keluarga,” katanya terharu.

Mengenai Eila Katering, Norfazilah berhasrat membawa makanan berasaskan makanan laut termasuk maggi ketam serta beberapa resipi lain ke luar negara. Ia bermula menerusi pelawaan rakan yang juga pemilik restoran di Maldives yang ingin memperkenalkan makanan Malaysia di sana.

“Ketika bercuti di Maldives saya berkenalan dengan pemilik restoran di sana. Ia seterusnya membuka lembaran baru. Saya berharap ia dapat dilaksanakan sedikit masa lagi,” katanya yang merancang mempunyai dewan dan andaman sendiri suatu hari nanti.

“Saya tidak mahu tertumpu kepada perniagaan katering dan restoran saja, sebaliknya merancang meluaskan perniagaan supaya anak-anak dapat mewarisinya,” katanya.


MEMBAWA keluarga bercuti di Maldives, baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mei 2018 @ 3:40 PM