MEMBESARKAN empat anak yang masih kecil tidak menghalang Norain menjadi usahawan.
Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my


Dua tahun lalu, dirinya hanya suri rumah yang menjaga dan membesarkan tiga anak masih kecil sementara suaminya pula memerah keringat berniaga di pasar malam.

Kehidupan mereka ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang malah ada ketika mereka tiada langsung pendapatan dan mengikat perut untuk meneruskan kehidupan.

Dalam kepayahan suami mencari sesuap nasi untuk keluarga, Norain Ngah, 29, tetap tabah di sisi lelaki itu dan membantunya menguruskan rumah tangga sementara pasangannya, Mohd Fairul Nizam Abdul Rashid, 33, keluar berniaga.

Nasib pasangan ini akhirnya berubah selepas percubaan Norain menjual produk lulur badan buatan sendiri mendapat sambutan dan dia tidak menoleh ke belakang selepas itu.

Tidak pernah wanita muda ini terfikir produk lulur badan yang dihasilkan daripada cengkih hasil resipi turun- temurun daripada arwah ibunya itu diminati ramai dan mendapat permintaan sejak dia mula berkongsi mengenainya di media sosial.

“Ketika melahirkan anak keempat, saya berpantang sendiri kerana ibu yang sebelum ini menjaga saya ketika pantang meninggal dunia. Selama ini arwahlah yang sediakan bahan lulur cengkih sebagai pilis semasa melahirkan anak pertama hingga anak ketiga.

“Arwah pula memang bidan kampung dan lulur ini digunakan selepas mengurut orang bersalin, sikit sebanyak ada ilmu yang saya pelajari daripadanya termasuk menghasilkan ramuan lulur ini sendiri.

“Saya memang tak sangka perjalanan hidup kami berubah 100 peratus selepas produk yang kami namakan Super Scrub Beauty (SBB) ini membawa rezeki buat kami sekeluarga.

“Jika diingat kembali kepayahan yang dilalui sebelum ini dengan hanya bergantung kepada pendapatan suami yang tidak menentu betul-betul mengajar kami erti syukur.

“Bayangkan pernah barangan yang dijual suami di pasar malam langsung tidak terjual kerana hujan dan kami terpaksa mengikat perut untuk berjimat cermat,” katanya


DARIPADA suri rumah, Norain kini bergelar usahawan berjaya.

Norain berkata, SSB adalah produk herba hasil resipi turun-temurun keluarga itu mengandungi minyak akar kayu, minyak zaitun, rempah-ratus, buah manjakani selain cengkih sebagai bahan utama.

Jelasnya, keistimewaan utama SSB ialah mampu membantu mengecutkan peranakan wanita, sekali gus melangsingkan badan selain membuang angin dalam badan.

Cara memakainya sangat mudah iaitu hanya dua kali sehari selepas mandi dan pengguna akan rasa panas seketika pada bahagian yang disapu SBB.

Ia boleh disapu di seluruh badan dan satu bekas SSB mampu bertahan antara satu hingga dua bulan mengikut cara penggunaan.

Menurut anak jati Kuala Terengganu ini, pada mulanya dia hanya menghasilkan 10 botol lulur yang mahu dicuba beberapa rakannya dengan hanya menggunakan mesin pengisar yang ada di rumah.

Katanya, rakannya itu mula berminat untuk menjualnya dan sejak itu permintaan semakin meningkat dari sehari ke sehari sehingga dia berjaya menjual 100 botol kepada 10 ejen.

Tempahan semakin meningkat membuatkan Norain perlu membeli mesin pengisar industri yang lebih canggih selepas lima mesin pengisar biasa yang digunakannya pecah dan rosak.

Suami yang kasihan melihat kesukaran Norain menguruskan tempahan seorang diri akhirnya nekad berhenti berniaga di pasar malam untuk membantunya mengembangkan perniagaan.

“Memang saya akui, perjalanan saya tidak mudah. Ketika itu kami tinggal di rumah flat di tingkat teratas iaitu tingkat empat. Apabila ada tempahan untuk dipos, saya akan turun naik tangga mengangkat bungkusan dengan empat anak kecil.

“Mujurlah suami sanggup membantu dan dia berhenti berniaga kerana melihat saya tidak berdaya menyiapkan tempahan seorang diri,” katanya.


SUAMI menjadi tulang belakang kejayaannya.

Melihat jualan SSB terus naik mendadak, Norain amat bangga kerana sistem ejen yang ditawarkan berjaya menarik ramai suri rumah hingga ramai antaranya mampu menjana pendapatan sampingan lebih RM1,000 sebulan.

Baginya, kejayaan yang dikecapi kini bukan hasil usahanya seorang diri. Ia turut dibantu suami yang sanggup berkorban demi keluarga tercinta

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mei 2018 @ 3:35 PM