NOR Azian bersama pelajar kelas pulut kuning berhias.
Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my


Hasratnya murni, dia menanam impian untuk berkongsi ilmu dengan wanita yang mahu menjana pendapatan sendiri, sekali gus mampu membantu menambah pendapatan isi rumah melalui perniagaan berasaskan makanan.

Menggunakan ilmu, kemahiran dan kepakaran menyediakan pulut kuning berhias membuatkan anak kelahiran Seri Menanti, Negeri Sembilan, Nor Azian Ahmad, 49, nekad membuka kelas khusus untuk berkongsi ilmu dalam bidang itu.

Menurut Nor Azian yang kini menetap di Puchong Permai, Selangor, dia mula mempelajari ilmu menyediakan pulut kuning berhias di pelbagai lokasi dan guru sejak 2012.

“Saya memang boleh memasak pulut kuning namun untuk pastikan ilmu ini bertambah, saya mengikuti pelbagai kelas berkaitan bagi menambah kemahiran kerana lain guru lain caranya.

“Selepas berpuas hati dengan ilmu dan kemahiran yang ada selain mendapat permintaan tinggi untuk mengajar menyediakan pulut kuning berhias membuatkan saya nekad membuka kelas buat wanita,” katanya.


NOR Azian bersama hasil tangan seninya.

Nor Azian berkata, bermula daripada rakan dan kenalan terdekat, kelas pulut kuningnya kini mendapat sambutan menggalakkan.

“Jujur saya katakan, apa yang saya ajar ini semuanya ikhlas. Apa yang saya ada, itulah yang dicurahkan, bermula daripada cara mengukus pulut sehinggalah menghiasnya.

“Saya gembira apabila pelajar dapat menghasilkan pulut kuning berhias yang lazat dan cantik kerana tidak ramai orang boleh menghasilkan pulut kuning yang lazat,” ujarnya.

Menurutnya, buat masa ini, dia mengadakan kelas di rumahnya namun ada juga kelas yang diadakan di kawasan luar mengikut permintaan peserta. Tempoh kelas diadakan adalah kira-kira lima jam bagi setiap sesi.

“Bayaran untuk setiap sesi kelas juga berbeza mengikut jenis pulut kuning yang ingin dipelajari iaitu antara RM200 hingga RM280. Syukur, sehingga kini, rata-rata peserta berpuas hati dan gembira dengan ilmu yang saya ajar kerana semuanya mudah diikuti.

“Sebagai guru, tidak ada apa yang lebih menggembirakan selain pelajar dapat mengikut tunjuk ajar dan menghasilkan pulut kuning berhias yang memuaskan,” katanya.


PELAJAR menunjukkan hasil kreativiti masing-masing.

Permintaan tinggi

Menurut Nor Azian, permintaan yang tinggi untuk pulut kuning berhias menyebabkannya semakin bersemangat berkongsi ilmu dengan individu lain.

“Hampir setiap hari saya menerima tempahan dan harganya juga agak tinggi iaitu sekitar RM100 hingga RM650 mengikut saiz dan hiasan digunakan.

“Atas faktor itu juga, saya amat menggalakkan mana-mana wanita yang mahu menjana pendapatan untuk menambah ilmu serta kemahiran dalam menyediakan pulut kuning berhias,” katanya.

Menurutnya, selain untuk dimakan, pulut kuning berhias menerima permintaan menggalakkan kerana dijadikan hadiah hantaran untuk majlis pertunangan, pernikahan dan ulang tahun kelahiran.

“Kini ramai yang menggantikan kek dengan pulut kuning dan saya yakin ia boleh memberi pulangan yang baik.

“Disebabkan itu juga saya sering menasihati peserta supaya belajar bersungguh-sungguh dan gunakan ilmu yang ada sebaik mungkin. Jangan sia-siakan peluang yang ada kerana ini antara cara untuk menjana pendapatan dengan mudah,” ujarnya.


ANTARA pulut kuning berhias Nor Azian.

Ibu kepada dua cahaya mata ini berkata, dengan perkembangan dunia teknologi kini, segalanya semakin mudah dalam sesiapa saja boleh berniaga.

“Saya pernah bekerja makan gaji hampir 24 tahun sebelum mengambil keputusan berhenti dan menjalankan perniagaan makanan secara dalam talian sepenuh masa.

“Syukur, segalanya dipermudahkan dan perniagaan saya semakin berkembang maju hari demi hari terutamanya perniagaan pulut kuning berhias ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mei 2018 @ 3:21 PM