SETIAP busana gandingkan pilihan fabrik berlainan menjadikannya lebih unik.
Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my


Dari jauh, busana bersulam benang emas ini nampak begitu elegan dan eksklusif. Tidak terlalu sarat dengan corak mahupun perincian, koleksi Mawarred Lebaran 2018 tetap menonjol.

Menggunakan sari moden eksklusif yang didatangkan khas dari India, setiap helaian busananya turut diberi nama unik, ilham daripada manisan dan makanan negara berkenaan.

Menurut pengasas jenama, Siti Aishah Sulaiman, semua koleksi busana Mawarred direka sendiri dengan mengambil inspirasi daripada rekaan pereka tersohor luar negara.

“Saya bukanlah pereka fesyen, sebaliknya mempunyai kelulusan dalam bidang Pemasaran Perniagaan dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan pernah bertugas sebagai pramugari Air Asia X suatu ketika dahulu.

“Berikutan minat menggunung dalam bidang fesyen, saya tubuhkan jenama sendiri dan mengkaji fesyen di luar negara sebelum mereka pakaian,” katanya.

Jelas Siti Aishah, dia cuba menonjolkan perincian unik pada setiap rekaannya. Antaranya termasuk bentuk lengan dramatik, ikatan reben ke sisi baju, lipatan sifon yang dibawa ke bahagian depan busana seperti dupatta dan zip sorok pada bahagian lengan untuk memastikan ia mesra wuduk.

“Untuk koleksi ini, saya cuba menonjolkan gaya ringkas, tetapi tampak moden dan anggun untuk majlis rasmi seperti perkahwinan, hari raya, makan malam dan majlis berbuka puasa. Ada sesetengah rekaan juga sesuai digayakan ke pejabat, dipadankan dengan seluar jenis denim atau palazo untuk kelihatan lebih kasual.

“Sebenarnya, ibu saya pernah mempunyai baju kurung moden daripada fabrik sari organza yang sangat cantik. Busana itu kini dihadiahkan kepada saya kerana tidak muat lagi. Dari situlah datangnya idea untuk tampil dengan koleksi berkonsepkan kurung sari moden.

“Jenis fabrik dan rekaan corak sari yang saya pilih ini juga eksklusif serta tidak mudah didapati di sini. Setiap busana pula menggandingkan pilihan fabrik berlainan, menjadikan ia lebih unik berbanding jenama pereka yang lain. Setakat ini, saya hanya menggunakan fabrik sari sutera, organza dan bersulam benang emas,” katanya.

Koleksi busana ini cukup sesuai digayakan untuk lebaran 2018 kerana potongan dan gayanya mengetengahkan adat, budaya serta kesopanan masyarakat Melayu.

Paling menarik, ia juga menawarkan pilihan warna baru yang ditempah khas antaranya merah manggis, biru kelasi, merah kekundangan, warna badam, hitam-emas, hijau lumut-emas, merah jambu pudar, biru dan fuschia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Mei 2018 @ 1:41 PM