KREATIVITI tampilkan gaya berbeza.
Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my

Tudung atau selendang dengan pelbagai kombinasi warna, saiz, corak atau perhiasan menjadi keperluan bagi melengkapkan penampilan Muslimah.

Jika dulu pemilihan fesyen tudung atau selendang tidak sepenting memilih pakaian atau busana, sebaliknya kini pemakaian hijab juga menjadi salah satu perkara yang dititikberatkan dari semua aspek.

Oleh itu, Sherry Scarves tampil dengan rekaan selendang dengan tema Meraikan Inspirasi dalam Keindahan sempena pelancaran koleksi terbaru jenama itu yang didedikasikan daripada seorang wanita kepada wanita lain.

Malah, koleksi itu juga membawa mesej kepercayaan terhadap setiap wanita mempunyai inspirasi tersendiri dan ia sebagai inspirasi kepada wanita lain dengan berkongsi kejayaan yang dikecapi.

Diasaskan oleh Sherry Ibrahim, inspirasi dan ilham corak tudung jenama ini datang daripada jiwa wanita itu sendiri dan juga pasukannya.

Bagi memastikan rekaan tudungnya sentiasa mengikut trend terkini, Sherry gemar mengembara dan melihat rekaan jenama terkenal antarabangsa yang menghasilkan tudung dan selendang untuk mendapatkan ilham.

Jenama itu juga menitikberatkan serta memastikan pemilihan material yang betul, kekemasan jahitan dan saiz tudung haruslah patuh syariah.

Wanita itu juga mengakui sedikit sebanyak hasil rekaan tudungnya disebabkan sikapnya yang agak cerewet, kerana dia mahu menghasilkan yang terbaik untuk pelanggan.

Jenama itu juga akan memastikan untuk mengeluarkan rekaan tudung terbaru sama ada yang bercorak atau polos dua bulan sekali untuk memastikan jenama itu sentiasa mendapat permintaan dan ingatan pelanggan.

Menariknya, kelahiran jenama itu pada April juga sempena Bulan Kesedaran Autism Sedunia. Bagi setiap penjualan koleksi tudung itu, sebahagian daripada keuntungan jualan akan disalurkan terus ke tabung Autism Cafe Project sepanjang bulan lalu.

Tampil dengan enam rona warna dan rekaan untuk setiap edisi seperti warna pastel dan terang. Tudung jenis segi empat dan selendang dijual dengan harga RM58 untuk rekaan polos manakala tudung segi empat dan selendang bercorak dijual pada harga RM89.

Dengan harga mampu milik, jenama ini juga didedikasi khas untuk golongan wanita yang menekankan aspek penggayaan mudah dan bergaya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Mei 2018 @ 1:26 PM