EZUWAN bersama koleksi raya di pentas peragaan.
KOLEKSI pakaian lelaki sesuai digayakan pada Aidilfitri nanti.
Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my


Hab fesyen pilihan selebriti, Primavalet baru-baru ini melancarkan Koleksi Raya 2018 di Hotel The Majestic Kuala Lumpur. Majlis yang dihoskan selebriti Faizal lsmail dan Elfira Loy itu dihadiri lebih 800 tetamu dalam kalangan kenamaan, barisan selebriti tanah air, pelanggan tetap, ejen dan pembeli peribadi.

Bertemakan lebaran penuh glamor, koleksi raya kali ini menampilkan rekaan dengan sentuhan eksklusif serta mewah yang pastinya menawan hati tetamu yang hadir.

Menghimpunkan lebih 126 model untuk memperagakan busana pada malam itu, ia dijangka memberi impak lebih besar berbanding tahun sebelumnya.

Menurut Pengarah Urusannya Dr Arshad Beg, pentas peragaan malam itu tidak terikat dengan sebarang konsep tertentu, tetapi menampilkan elemen mewah, eksklusif, kontemporari, namun ringkas dan sesuai serta mampu dimiliki semua lapisan masyarakat.

Antara koleksi yang diperagakan termasuk baju Melayu, kurta, kebaya, baju kurung, pakaian kanak-kanak, koleksi sedondon dan himpunan koleksi baju kurung daripada fabrik sari yang memukau.

“Kami himpunkan koleksi terbaik daripada Arjuna, Meylana, YoumeAndHunny, Nur Aishah, Shasya Habib, Ezuwan Ismail dan sudah pastinya yang pertama dari Primavalet sendiri, PV Woman dan PV Kids.

“Selain jenama ini, kami masih ada pilihan daripada Syus Couture, Zoud, Kukubesi dan Buranku.co yang akan tiba di semua butik sepanjang Mei ini sehingga raya nanti,” katanya.

Selain peragaan busana, majlis turut memperkenalkan barisan duta 2018 atau Stars of Primavalet, antaranya Zul Ariffin, Alif Satar, Amar Bahrin, Amyra Rosli dan anaknya, Aqeef Anaqi, Asad Mowtah, Zukie, Siti Nordiana, Nabila Razali, Janna Nick, Farah Nabila, Atikah Suhaimie, Asyallie serta Shaheizy Sam.

Kata Dr Arshad, pemilihan selebriti dilakukan secara telus berdasarkan imej yang sesuai dengan jenama serta memiliki pengikut ramai di media sosial.

“Untuk Syawal ini, kita akan melancarkan lebih 70 koleksi dan rekaan untuk digayakan sepanjang lebaran nanti. Semua koleksi dijual pada harga berpatutan dan mampu milik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Mei 2018 @ 1:16 PM