SMK Lutong dinobatkan sebagai juara keseluruhan #MyGeekMovement 2018.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lutong, Miri, Sarawak muncul juara kebangsaan menerusi prototaip pengesan habuk apabila berjaya mengetepikan saingannya iaitu Sekolah Menengah St Michael dari Sabah dan SMK Bandar Puncak Jalil iaitu juara Semenanjung ketika pertandingan akhir #MyGeekMovement 2018, baru-baru ini.

Pertandingan inovasi kebangsaan itu anjuran Shell Malaysia menyaksikan 15 sekolah berentap pada peringkat saringan sebelum juara bagi tiga zon iaitu Sabah, Sarawak dan Semenanjung berentap ke peringkat akhir di bawah tema Akses kepada Tenaga.

Prototaip pengesan debu pendingin hawa rekaan SMK Lutong terpilih kerana keupayaan mesin itu memulihara tenaga membolehkan pelajar terbabit iaitu Tan Wei Shuen, Liu Jia Wen dan Debbie Heu menikmati peluang mengikuti program Shell’s Make the Future (MTF) Live di London.


PERBENTANGAN wakil SMK Lutong Miri Sarawak.

Barisan panel hakim yang mengadili peringkat akhir saingan #MyGeekMovement 2018 ialah Pengurus Besar Operasi Shell Shell Nyon Kam Yew, Naib Presiden MDEC Sumitra Nair dan Penolong Pengarah Bahagian Kurikulum dan Kesenian Kementerian Pendidikan Nadhirah Azman.

Menurut Ketua Perhubungan Luar Negara Shell Malaysia Nimmi Kamal, Pertandingan #MyGeekMovement 2018 ialah kesinambungan daripada program pendidikan menyeluruh dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) oleh Shell dengan sokongan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Kami mengharapkan inisiatif ini dapat menyumbang ke arah memenuhi sasaran dan aspirasi dalam peningkatan jumlah graduan STEM. Inisiatif kami memberi tumpuan kepada menyediakan pendedahan awal kepada STEM dengan mencetuskan minat pelajar dalam bidang seperti kejuruteraan, teknologi maklumat dan automasi,” katanya.


WAKIL semenanjung SMK Bukit Jalil.

Kata Nimmi, sesuai dengan latar belakang industri Shell berkait rapat dengan bidang tenaga dan teknologi, pihaknya teruja dengan komitmen yang dapat memperkasakan bakat muda STEM.

“STEM adalah subjek yang dekat di hati Shell. Industri kami memerlukan orang yang berbakat dengan pengetahuan dan kemahiran yang relevan dalam bidang mahupun program berkaitan STEM.

“Kami berhasrat menyumbang usaha menggilap bakat dan kemampuan pelajar berkualiti dengan penganjuran #MyGeekMovement bagi tahun ini.

“Berdasarkan landasan itu kami dapat menyediakan kandungan pembelajaran yang melengkapkan struktur kokurikulum sekolah dengan matlamat jangka panjang meningkatkan jumlah pelajar yang memilih aliran sains di sekolah terpilih selain meningkatkan minat terhadap sains dan teknologi dalam kalangan generasi muda.


SAINGAN sengit oleh wakil dari SM St Micheal Panampang Sabah.

“Ini menyokong kuat matlamat pendidikan nasional untuk mencapai nisbah 60:40 membabitkan aliran sains dan seni di peringkat sekolah menengah. Usaha menarik pelajar untuk minat terhadap subjek STEM dilihat sebagai satu keperluan kritikal demi memenuhi keperluan modal insan masa depan Malaysia,” katanya.

Selain KPM, Shell Malaysia juga bekerjasama dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dalam penganjuran program STEM.


PESERTA yang hadir ketika MyGeekMovement 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mei 2018 @ 12:24 PM