KUCING angkat turut menjadi perhatian Datuk Bandar Shah Alam Datuk Ahmad Zaharin Mohd Saad.
ORANG ramai berpeluang memilih kucing angkat yang sudah dibersihkan.
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my


Ibarat ungkapan ‘bunga mekar dipakai, layu dibuang.’ Demikian nasib kucing peliharaan yang sudah tidak diperlukan lagi oleh pemiliknya sebelum diserahkan kepada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menerusi program Jom Serah Haiwan, Anda Tak Mahu Kami Terima, baru-baru ini.

Program berkenaan yang diperkenalkan sejak Disember tahun lalu bertujuan meningkatkan kesedaran kepada komuniti setempat dan menggalakkan kerjasama berterusan dari semua pihak supaya bersikap lebih bertanggungjawab demi mewujudkan persekitaran yang bersih dan selamat.

Selain itu, program ini juga adalah langkah proaktif bagi mengawal peningkatan populasi anjing dan kucing terbiar di kawasan pentadbiran MBSA. Hanya haiwan peliharaan iaitu anjing dan kucing saja yang terbabit dalam program berkenaan.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA Shahrin Ahmad berkata, program ini terbuka hanya kepada masyarakat yang bermastautin di kawasan pentadbiran MBSA saja.

Mereka yang ingin menyertainya diminta membawa salinan bil elektrik, bil air atau cukai taksiran sebagai bukti pengesahan ketika membawa kucing atau anjing untuk dihantar ke pusat jagaan sementara haiwan MBSA.

“Kami mengumpulkan haiwan peliharaan yang tidak lagi dimahukan pemiliknya atas faktor tertentu. Antaranya tidak lagi mempunyai kemampuan untuk menjaga haiwan berkenaan atau persekitaran kediaman mereka yang tidak sesuai untuk memelihara haiwan.

"Daripada bertindak zalim membuang haiwan itu merata-rata, lebih baiklah mereka menghantarnya kepada kami dan akan menjaganya buat sementara waktu sebelum diserahkan kepada pihak lain yang dipastikan dapat membelanya secara bertanggungjawab,” katanya.

Shahrin berkata, pihaknya akan membersihkan kucing dan anjing berkenaan sebelum dijadikan haiwan angkat dan orang ramai yang ingin memiliki haiwan peliharaan baru dialu-alukan untuk melihat haiwan angkat ini pada Program Hari Tanpa Kenderaan Shah Alam yang diadakan pada hujung minggu.

“Setakat ini 60 kucing mendapat pemilik baru sepanjang tiga kali program haiwan angkat berlangsung. Kucing yang dibawa ke program ini adalah kucing yang diserahkan pemilik kepada pihak MBSA.

“Program haiwan angkat ini juga inisiatif pihak kami untuk menggalakkan orang ramai membantu memelihara kucing yang diserahkan kepada MBSA kerana tidak mempunyai kemampuan untuk memelihara haiwan terbabit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 April 2018 @ 10:37 AM