SAYURAN dan cili segar untuk di masak setiap hari.
RAHIMAH di kebunnya.
KACANG buncis subur menghijau.
HM Digital

Bergelar suri rumah bukan bermakna wanita terlepas daripada penat lelah bekerja, sebaliknya memikul beban lebih berat daripada mereka yang duduk di pejabat.

Penat menguruskan kediaman ada waktunya sukar dizahirkan dengan kata-kata kerana tidak ramai yang memahami tanggungjawab dan peranan suri rumah sepanjang hari.

Realitinya, mereka yang bekerja di pejabat masih memiliki ruang bersosial bersama rakan, menikmati waktu rehat dan boleh berbahagi kerja. Namun, suri rumah memikul beban kerja 24 jam sehari selagi diperlukan.

Apabila melihat kebun subur diusahakan suri rumah, Rahimah Rajab, 47, penulis tertanya-tanya. Bila agaknya wanita ini berehat dan mencuri masa mengerjakan kebun di sebelah kuarters diduduki?

Sudahlah kebunnya luas, tanaman pula nampak terurus dengan hasil terung, cili, kubis, timun, sawi, ubi dan pelbagai jenis ulam serta herba yang mewah.

Menurut anak kelahiran Johor ini, dia gembira memulakan rutin sebagai suri rumah dengan berkebun dan menuai hasil tanaman untuk di masak setiap hari.

“Sebagaimana suri rumah lain, saya juga sibuk menguruskan kediaman dan anak, tapi meluangkan masa di kebun umpama bonus untuk diri. Selain seronok melihat hasil dan tanaman, berkebun menjadi sumber terapi terbaik untuk minda,” katanya.

Jelas Rahimah, dia memilih berkebun kerana dapat menjimatkan perbelanjaan, sekali gus berkongsi rezeki dengan rakan, jiran dan keluarga.

“Seronok dapat menyibukkan diri kerana saya sudah terbiasa berkerja. Sekurang-kurangnya hilang juga kebosanan apabila melihat pokok membesar dan mengeluarkan hasil.

“Itulah terapi minda. Walaupun suami dan anak tidak banyak membabitkan diri dalam hobi saya, mereka juga tumpang seronok menuai hasil.

“Selain berkebun di kawasan lapang, saya juga mempunyai kebun balkoni. Di situ biasanya saya menyemai anak pokok dan menanam jenis tumbuhan yang kurang memerlukan cahaya matahari.

“Tanah di bawah kuarters memang disediakan untuk kakitangan di sini berkebun. Jadi, saya menumpang sama kerana minat,” katanya.

Kata Rahimah, dia mula aktif berkebun sejak berhenti kerja kira-kira dua tahun lalu. Bermula dengan menanam benih cili yang diperoleh dari rakan secara suka-suka, dia kemudiannya beralih kepada sayuran berdaun dan berbuah.

“Pokok herba dan perkakas dapur adalah tanaman wajib. Selepas itu barulah saya pastikan sayur-sayuran sentiasa ada untuk kegunaan harian.

“Sukar menggambarkan bagaimana perasaan apabila melihat tanaman tumbuh subur. Hanya yang mempunyai minat sama saja yang tahu kepuasannya.

“Bagaimanapun, masih banyak yang saya perlu belajar. Saya bersyukur sebab mempunyai ramai kawan yang tidak pernah lokek dan sudi berkongsi ilmu berkebun. Seronoknya memang tidak berpenghujung sebab saya sentiasa mahu mencuba sesuatu yang baru.

“Ada juga rakan yang selalu bertanyakan rahsia pokok tumbuh subur. Sebenarnya saya memang tiada petua khusus. Cuma, saya suka gunakan apa yang ada di sekeliling untuk mengekalkan kesuburan tanah seperti mencampur rumput kering dengan tanah sebelum menanam,” katanya.

Seperkara yang menarik dengan kebun dapur milik Rahimah, tapak kecil yang diusahakan pernah dilawati Sultan Johor dan kerabatnya.

“Saya berbangga apabila baginda berkenan mencemar duli, melawat kebun di kuarters ini. Lebih dari itu, saya sangat berterima kasih kerana baginda Sultan mengizinkan kami berkebun di situ,” katanya. -Intan Mas Ayu Shahimi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 April 2018 @ 12:57 PM