KAIN selesa memudahkan ibadat.
KEKEMASAN jahitan dititikberatkan.
SENTUHAN perincian yang ringkas tapi tetap menarik.
KAIN jersi untuk penampilan selesa dan unik.
Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my

Kepulangan dari mengerjakan haji dua tahun lalu mencetuskan inspirasi buat wanita ini menghasilkan telekung selesa yang mementing­kan keselesaan.

Telekung yang dibeli Shahlina Mustafa dari seorang rakan untuk dipakai sepanjang mengerjakan ibadat itu ternyata memberi kelebihan buatnya yang memakai dan merasakan sendiri keselesaan paling maksimum selama 42 hari di tanah suci.

Selepas dua bulan, wanita berusia 33 tahun ini mula terpanggil untuk membantu rakan menjual telekung di laman sosial. Sejak itu dia memberanikan diri menawarkan telekung rekaannya kepada pelang­gan.

Menggunakan fabrik jersi untuk koleksi awal, Shahlina yang berasal dari Kedah berkata, di sebelah utara, telekung dengan material itu digemari. Atas permintaan ramai telekung dari fabrik kapas turut disediakan.

Menerusi jenama Telekung Kedah Super Comfy EZ, Shahlina turut menawarkan telekung mini untuk kegunaan jemaah haji dan umrah dengan rekaan yang ring­kas dan selesa.

Ramadan akan datang, jenama itu me­ngeluarkan lima warna telekung jersi berkualiti tinggi yang menyerap peluh dan rekaan ringkas untuk semua golongan wanita khususnya dari umur 20 hingga 65 tahun.

Menurut Shahlina, ketika memulakan perniagaannya, hanya dua jenis telekung ditawarkan iaitu putih dengan rekaan berbeza. Kini terdapat 16 jenis telekung dan ditambah dengan material kapas berkualiti tinggi atas permintaan ramai.

“Sambutan paling ting­gi ialah telekung Embun Zubaidah yang mendapat permintaan menggalakkan dari bakal bakal jemaah umrah dan haji. Kita juga akan me­ngeluarkan pakej bakal jemaah terdiri daripada telekung mini, sejadah mini, botol wuduk, stokin tawaf, stoking tangan dan zikir digital untuk kemudahan mereka membuat persiapan,” katanya.

Menurutnya, ciri penting yang ditekankan dalam penghasilan telekung iaitu bahagian muka yang selesa selain menutup dagu sepenuh­nya. Renda yang digunakan juga ringkas tapi menepati cita rasa semua lapisan umur.

Selain itu, dia turut mementingkan kekemasan jahitan dan apabila disarung jelas melihat­kan keselesaan dan patuh syariah.

Harga yang ditawarkan juga ditetapkan supaya mampu dimiliki iaitu bermula RM55 dan RM140 untuk pilihan eksklusif.

Shahlina berkata, atas permintaan ramai juga jenama itu bakal menampilkan telekung kanak kanak Kalista selain mengeluarkan warna lebih menarik dan pakej promosi bagi khususnya untuk membantu lebih ramai muslimah kelihatan anggun apabila menyarung telekung.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 April 2018 @ 4:03 AM