Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

Mempamerkan keperibadian lembut namun memiliki kekuatan sisi dalaman antara kekuatan wanita terutama bagi mereka yang memikul tanggungjawab sebagai isteri, ibu dan wanita berkerjaya.

Mengambil inspirasi sifat lembut namun kuat, jenama pengeluar tortila atau roti leper Mission Foods Malaysia melancarkan kempen bertemakan #softandstrong sempena Hari Wanita Antarabangsa, sekali gus meraikan kejayaan wanita yang mampu memikul pelbagai tugas dalam satu masa.

Bagi menjayakan kempen ini penyanyi ikonik Malaysia, Ning Baizura, personaliti kecergasan Linora Low dan usahawan berjaya di sebalik jenama Frankitas, Francisca Turner dipilih sebagai contoh sebenar wanita berjaya yang dapat mengatasi kesukaran untuk muncul hebat dalam kerjaya masing-masing.

Selain berkongsi inspirasi dan makna #softandstrong mereka juga mencipta empat resipi setiap seorang. Ia dimuatkan di dalam buku resipi Mission Foods yang diberi secara percuma kepada pengguna di Malaysia dan Singapura menerusi pembelian produk Mission Foods.


DARI kiri Ning Baizura, Francisca dan Linora menunjukkan hidangan masing-masing pada majlis pelancaran kempen #softandstrong.

Ning Baizura yang turut dikenali sebagai seorang daripada tiga Diva Malaysia menunjukkan demonstrasi penyediaan pencuci mulut kegemarannya, krep rangup berlapis markisa. Jelas ibu kepada seorang cahaya mata berusia lima tahun ini, walaupun diangkat sebagai penyanyi terkenal di Malaysia, Ning turut bersemangat bergelar usahawan apabila melancarkan koleksi minyak wanginya sendiri dan membuka restoran tidak lama lagi.

“Saya bangga menjadi isteri dan ibu kepada seorang anak lelaki. Walaupun agak mencabar menonjolkan nilai kelembutan serta kekuatan pada masa sama, namun ia sangat perlu kerana wanita memerlukan kelembutan untuk menjadi isteri selain ibu berjaya manakala kekuatan akan datang kemudiannya,” katanya yang sangat gembira terpilih sebagai wakil untuk memberitahu kepada semua wanita bahawa mereka juga mampu melakukannya.

Ning turut berkongsi pentingnya gadis dan wanita muda mengenal pasti kekuatan dalaman mereka sambil mengekalkan sisi kewanitaan masing-masing.


NING Baizura menunjukkan resipi krep rangup berlapis markisa menggunakan roti leper Mision Foods.

Bagi penyampai radio, pengacara dan pengamal pemakanan gaya hidup sihat, Linora Low pula, kempen #softandstrong ini sangat bermakna kerana ia mampu menyampaikan mesej mencintai diri sendiri dalam kalangan wanita.

“Wanita sering disalah tafsir sebagai lemah kerana bersifat lembut dan sensitif. Namun kelembutan sebenarnya adalah kekuatan bukan kelemahan. Wanita yang boleh melakukan kerja berat umpamanya turut mempunyai sisi kewanitaan yang kaya kasih sayang dan simpati tinggi kepada semua,” katanya sambil menunjukkan demonstrasi resipi kebab ayam wrap menggunakan Supersoft Original Wraps itu.

Menjadikan hidangan ini lebih rangup Linora turut membakar potongan roti leper bagi menambah rasa untuk resipi salad kegemarannya.

Sementara itu, pengasas jenama fesyen antarabangsa, Frankitas, Francisca Turner pula berpeluang menceritakan pengalaman sebagai usahawan yang mengubah kehidupannya.

“Sebagai usahawan, wanita memerlukan minda dan disiplin kuat, tapi perlu tahu bila masa menjadi seorang yang lembut. Terutama apabila berhadapan anak-anak di rumah,” kata ibu kepada tiga cahaya mata itu.


LINORA bersama makanan sihat kebab ayam.

Pada majlis pelancaran, Francisca turut berkongsi resipi kegemaran keluarganya, murtabak telur gaya Bogor menggunakan roti leper Mission Foods. Roti baru ini walaupun kelihatan sangat lembut namun ketika dibungkus dengan bahan utama ia tidak pecah dan cukup sempurna apabila digoreng.

Menurut Pengurus Jenama, Mission Foods Asia Selatan, Randall Tan, Mission Foods sentiasa melakukan peningkatan dan inovasi secara berterusan bagi memastikan terus memenuhi citarasa pengguna.

“Kehadiran Supersoft Original Wraps terbaru ini memberi kami peluang berhubung dengan pengguna wanita secara eksklusif bagi meraikan sifat kelembutan dan kekuatan mereka. Kedua-dua ciri ini sememangnya ada dalam produk kami,” katanya.

Menggunakan formula Supersoft, Mission Foods kini menambahbaikan menjadikan ia roti leper lebih lembut serta memiliki tekstur cair di mulut. Sesuai dibentuk apa saja dengan inti di dalamnya kerana ia lebih fleksibel. Mission Supersoft Original Wraps ini dijual lapan keping dalam satu pek serta turut dijual bersama perisa lain. Ia boleh dibeli di kebanyakan pasar raya utama seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 April 2018 @ 12:27 PM