ANTARA hidangan disediakan peserta Jaguh Dapur Kimball-Harian Metro.
Redzuan Muharam
redzuan.muharam@hmetro.com.my

Selepas mengharungi cabaran suku akhir, 10 daripada 25 peserta Jaguh Dapur Kimball-Harian Metro layak mara ke peringkat seterusnya sebelum bersaing di pusingan akhir.

Mereka adalah Mohd Hilmi Mohamad Alias Ahmad menerusi hidangan spageti masam manis pedas udang mentega, Muhammad Falihin Jasmi (labu masak lemak udang mayonis Kimball), Nazura Zainal Abidin (roti goreng mayo berinti cita rasa Kimball) dan Falihah Husna Ghazali (Rojak Tauhu Sumbat Kimball).

Turut mara ke pusingan separuh akhir adalah Aliff Oslan menerusi hidangan Malaysian duk-galbi Malaysia, Chan Hee Mooi (spageti sushi Kimball), Horiyah Salleh (talam labu berlauk cendawan Kimball), Mohd Johan Mohd Nasir (pai daging Thai), Amy Norina Jamil (ayam rendang Minang) dan Mohd Zulkifli Abdul Razak (ayam reneh sos tiram Kimball ala Korea).

Pengurus Kategori Pemasaran Kimball, Tania Lee berkata, setiap peserta diberi masa 30 minit untuk menyiapkan hidangan masing-masing dengan bajet RM25 saja.

Tania berkata, meskipun peserta terbabit adalah jurumasak amatur, beliau berpuas hati dengan kualiti dan kreativiti yang ditonjolkan dalam hidangan masing-masing.

“Untuk pusingan ini, kami teruja melihat bagaimana mereka mengolah hidangan menggunakan sos Kimball sebagai ramuan utama dalam masakan.

“Malah, saya dapati ada beberapa resipi yang unik dan lazat serta di luar jangkaan hasil kreativiti mereka mengolah sesuatu resipi.

“Namun, hanya 10 peserta disenarai pendek untuk meneruskan cabaran ke peringkat seterusnya bagi merebut gelaran Juara Jaguh Dapur Kimball-Harian Metro,” katanya selepas selesai sesi penjurian.


VIVIAN (kiri) dan Tania merasa hidangan disediakan peserta ketika sesi penjurian

Turut terbabit dalam sesi penjurian adalah Eksekutif Jenama Kimball, Vivian Chua.

Pemenang utama Jaguh Dapur bakal membawa pulang wang tunai RM10,000, bekalan produk Kimball selama satu tahun dan peluang menyumbang resipi sendiri di seksyen Hati, Harian Metro.

Tempat kedua pula berpeluang memenangi wang tunai RM5,000 bersama trofi dan bekalan produk Kimball selama tiga bulan.

Manakala, hadiah wang tunai RM3,000 serta bekalan produk Kimball selama satu bulan menanti pemenang tempat ketiga.

Hadiah tempat keempat dan kelima berupa wang tunai RM500 dan hamper Kimball. Sementara hadiah mingguan adalah baucar tunai RM200 dan hamper Kimball untuk setiap seorang.

Pertandingan Jaguh Dapur terbuka kepada semua jurumasak amatur warga Malaysia yang berumur 18 tahun dan ke atas.

Mereka yang memiliki kelayakan tertier atau profesional, pernah bekerja di dapur, restoran, kafe atau kantin, tenaga pengajar kelas masakan atau pengusaha makanan dan minuman (F&B) tidak dibenarkan untuk menyertai pertandingan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 April 2018 @ 12:23 PM