SETIAP kelahiran mempunyai risiko tersendiri.
Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my

Setiap wanita yang pernah bersalin secara pembedahan kali pertama pasti mengharapkan dapat melalui proses melahirkan bayi secara normal pada kelahiran seterusnya.

Bukan sesuka hati memilih namun hakikat yang tidak dapat disangkal, rata-rata wanita hamil lebih cenderung untuk melalui proses bersalin secara normal berbanding pembedahan.

Namun, persoalan yang sering membelenggu kebanyakan wanita yang sudah bersalin secara pembedahan untuk kali pertama, adakah golongan itu boleh untuk bersalin secara normal untuk kelahiran seterusnya?

Mengupas isu ini Pegawai Perubatan Obstetrik & Ginekologi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Dr Muhammad Izzat Abdul Razak berkata, ibu yang pernah menjalani satu pembedahan mempunyai dua pilihan untuk kelahiran kedua.

“Langkah terawal dan terpenting adalah perbincangan rapi bersama doktor bagi menentukan keputusan selain mengenal pasti segala kemungkinan jatau risiko.

“Dua pilihan itu adalah Vaginal Birth After Caesarean (VBAC) ataupun terus memilih bersalin secara pembedahan sekali lagi iaitu Elective Repeat Caesarean Section (ERCS),” katanya.

Menurut Dr Muhammad Izzat, kedua-dua pilihan itu mempunyai kebaikan dan keburukan tersendiri yang pasti diterangkan doktor kepada ibu melakukan pilihan itu.


DR Muhammad Izzat.

Dalam menentukan pilihan mana yang selamat, setiap doktor atau pegawai perubatan memerlukan semua maklumat ini:

• Kenapa jalani pembedahan untuk kelahiran sebelum itu.

• Adakah pernah bersalin secara normal selepas pembedahan kali pertama.

• Adakah berlaku sebarang masalah ketika pembedahan kali pertama atau timbul masalah ketika berpantang.

• Jenis potongan dibuat pada rahim.

• Pendapat ibu itu sendiri untuk kelahiran yang sebelumnya.

• Adakah berlaku sebarang masalah atau risiko pada kandungan ini.

• Berapa jumlah anak yang ibu mahukan kerana risiko meningkat pada setiap kali pembedahan.

Menurut Dr Muhammad Izzat, setiap doktor memerlukan ‘ intraoperative notes’ atau maklumat terperinci terutama apa yang berlaku ketika proses pembedahan sebelum ini untuk membolehkan keputusan bersalin secara normal atau tidak dibuat.

“Nota khas ini kebiasaannya diberikan doktor yang melakukan pembedahan itu bagi tujuan mengenal pasti jika berlaku sebarang komplikasi atau masalah.

“Ibu akan diberikan kaunseling atau penerangan ini pada kandungan berusia 34 hingga 36 minggu iaitu satu tempoh yang sesuai kerana ia tidak terlalu awal dan tidak terlalu lewat,” ujarnya.

Katanya, selepas menjalani satu pembedahan, tiga daripada empat wanita dengan kehamilan yang tidak bermasalah boleh bersalin normal.


BINCANG dengan teliti bersama doktor atau pakar perubatan masing-masing sebelum menentukan pilihan.

Faktor yang meninggikan kejayaan bersalin normal?

• Pernah melahirkan secara normal, sebelum atau selepas pembedahan.

• Sakit bersalin datang secara semula jadi

• Indeks jisim badan (BMI) ibu kurang 30

Kelebihan bersalin secara normal selepas sekali pembedahan

• Komplikasi dibandingkan dengan bersalin secara pembedahan lebih rendah.

• Peratusan kejayaan untuk bersalin normal pada kehamilan berikutnya adalah tinggi

• Pemulihan lebih cepat, boleh kembali menjalani aktiviti harian dengan mudah

• Tinggal di hospital sekejap

• Mudah untuk memulakan proses penyusuan susu ibu

• Dapat mengelakkan risiko pembedahan

Bayi kurang risiko mengalami masalah pernafasan

Risiko bersalin normal selepas sekali pembedahan

• Kemungkinan untuk bersalin secara pembedahan ketika cuba bersalin normal (purata 25 daripada 100 wanita). Pembedahan yang dilakukan secara kecemasan membawa risiko tinggi jika dibandingkan dengan pembedahan yang dirancang.

• Rahim pecah (purata 1 daripada 200 wanita). Risiko ini meningkat dua hingga tiga kali ganda sekiranya diinduce (mencetuskan kelahiran). Jika ada tanda-tanda bahaya yang menandakan rahim akan pecah, proses kelahiran secara pembedahan akan segera dilakukan.

• Kemungkinan berlaku koyakan bersalin yang teruk pada vagina


IBU yang pernah bersalin secara pembedahan pasti ingin merasai detik bersalin normal.

Keadaan yang menyebabkan si ibu tidak dinasihatkan untuk bersalin normal selepas sudah mempunyai rekod bersalin secara pembedahan pada kali pertama.

• Sudah bersalin dua kali atau lebih secara pembedahan.

• Rahim pernah pecah pada kehamilan sebelumnya

• Pembedahan sebelum ini membabitkan jenis potongan di bahagian atas rahim (classical lscs)

• Kehamilan kini mengalami masalah dan tidak sesuai untuk bersalin normal

Kelebihan bersalin secara pembedahan (ERCS)

• Risiko rahim pecah kecil (purata satu dalam 1000)

• Ibu boleh merancang dan memilih tarikh untuk bersalin namun satu dalam 10 wanita sudah merasai sakit bersalin sebelum tarikh yang dipilih.

Keburukkan bersalin secara ERCS

• Mengambil tempoh pembedahan yang agak panjang

• Jangkitan kuman

• Risiko terkena darah beku

• Proses pemulihan mengambil masa yang agak lama

• Sudah menjalani dua kali pembedahan dan kebiasaannya akan dinasihatkan untuk pembedahan. Lagi banyak pembedahan dilakukan lagi tinggi risiko uri melekat

• Bayi terluka akibat terkena pisau pembedahan (purata dua dalam 100)

• Masalah pernafasan pada bayi namun kebiasaannya berlaku dalam tempoh singkat. Lima dalam 100 bayi yang dilahirkan secara pembedahan pada minggu ke 39 akan mengalami masalah pernafasan sekiranya dibandingkan dengan purata dua dalam 100 untuk bayi yang lahir secara normal.

Oleh itu, Dr Muhammad Izzat berkata, setiap ibu juga pasangan diminta untuk berbincang dengan teliti bersama doktor atau pakar perubatan masing-masing dalam menentukan pilihan tepat dan terbaik untuk bersalin.

“Apa yang disaran atau dinasihatkan doktor itu adalah yang terbaik demi keselamatan ibu dan bayi kerana setiap doktor pastinya mahukan yang terbaik juga keselamatan setiap pesakitnya.

“Pilihan tetap di tangan si ibu dan disebabkan itu, pilihlah dengan bijak sama ada untuk bersalin secara normal atau pembedahan pada kali kedua,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 April 2018 @ 12:32 PM