NYAMUK betina spesies Anopheles (tiruk).
Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my

Penyakit ini bukanlah satu penemuan baru malah hampir setiap individu tahu mengenainya namun demam malaria mungkin semakin kurang diperkatakan dalam kalangan masyarakat negara ini berbanding demam denggi, chikungunya dan zika.

Hakikat yang tidak dapat disangkal, jangan sesekali memandang remeh terhadap malaria kerana seperti mana-mana penyakit berjangkit lain, ia cuma memerlukan satu sumber dan satu pesakit untuk menjadi wabak besar.

Malaria boleh dikatakan penyakit yang seangkatan dengan denggi, chikungunya, untut dan zika dari segi penyebarannya kerana semua penyakit itu disebarkan melalui vektor tertentu terutama nyamuk.

Vektor penyebab bagi penyakit malaria ialah nyamuk betina spesies Anopheles (tiruk). Perkataan malaria sendiri berasal daripada bahasa Itali kuno yang bermaksud udara buruk kerana penyakit ini dikaitkan dengan kawasan paya dan berair (tempat pembiakan nyamuk).

Malaria dipercayai mula menjangkiti manusia sejak lebih 50,000 tahun lalu dengan beberapa spesies parasit yang masih boleh ditemui dalam chimpanzi.

Setiap tahun malaria menyerang lebih 500 juta dan membunuh sehingga tiga juta penduduk dunia di 109 negara Afrika, Asia dan Amerika Latin. Eropah dan Amerika Syarikat juga tidak terkecuali, kes malaria muncul sejak 60 tahun lalu dan dijangka boleh meningkat jika pemanasan global yang menambah sebaran habitat nyamuk tiruk tidak ditangani dengan baik.

Kebanjiran warga asing

Di Malaysia, malaria secara umumnya sudah terkawal dan hampir berjaya dihapuskan namun dilihat kembali meningkat kebelakangan ini di kawasan tertentu.

Menurut Ahli Persatuan Parasitologi dan Perubatan Tropika Malaysia Dr Tengku Shahrul Anuar Tengku Ahmad Basri, ia dikaitkan dengan kebanjiran warga asing terutama pendatang tanpa izin yang masuk tanpa melalui pemeriksaan kesihatan dan kuarantin jika mereka membawa penyakit berjangkit.

“Di samping itu, sebanyak 2,584 daripada 3,923 kes atau 66 peratus penyakit malaria di Malaysia pada 2014 dikesan berpunca daripada monyet (zoonotik) dengan catatan kes tertinggi di Sabah, Sarawak dan Kelantan.

“Keadaan ini berlaku apabila nyamuk tiruk yang menggigit monyet mempunyai malaria dan nyamuk yang sama kemudian menggigit manusia,” katanya.


DR Tengku Shahrul Anuar.

Jenis Parasit Plasmodium

• Plasmodium falciparum (jangkitan selama 36 hingga 48 jam)

• Plasmodium vivax (jangkitan selama 48 jam) Plasmodium malariae (jangkitan selama 78 jam)

• Plasmodium ovale (jangkitan selama 48 jam)

Jenis perumah

• Perumah definitif - nyamuk tiruk betina (menyokong peringkat dewasa serta kitar seksual parasit)

• Perumah perantara

• Manusia atau haiwan vertebrata (menyokong peringkat larva serta kitar seksual parasit)

Peringkat malaria

• Sporozoit

• Gametosit

• Skizon

• Merozoit

• Trofozoit muda

• Trofozoit matang

Proses penularan parasit

• Parasit Plasmodium boleh masuk dalam aliran darah melalui gigitan nyamuk tiruk betina.

• Parasit kemudian masuk ke sel hati lalu berkembang biak.

• Ketika sel hati pecah, parasit Plasmodium keluar lalu menyerang sel darah merah. Di situ, jumlah parasit terus berlipat ganda.

• Ketika sel darah merah pecah, parasit keluar dan menyerang lebih banyak sel darah merah.

• Kitaran itu terus berulang dan orang yang dijangkiti biasanya mengalami tanda demam malaria setiap kali sel darah merah pecah.

Gejala malaria

• Demam berpanjangan

• Berpeluh

• Menggigil

• Sakit kepala

• Sakit otot

• Loya dan muntah

• Anemia

• Jaundis (kekuningan)

• Pembesaran hati dan limpa

• Cirit-birit


DEMAM berpanjangan.

Komplikasi

• Kegagalan fungsi hati dan buah pinggang

• Kemusnahan sel darah merah

• Jangkitan kuman pada lapisan otak

• Limpa pecah yang mengakibatkan pendarahan teruk

Ujian dan rawatan

Setitik darah daripada jari akan diambil dan diletakkan di atas slaid kaca untuk diuji. Slaid itu kemudian diwarnakan dengan pewarna Giemsa. Sekiranya parasit ada dalam darah, kita akan dapat lihat peringkat seperti trofozoit muda, matang, skizon atau gametosit.

Antara rawatan yang digunakan kini ialah Chloroquine, quinine, pyrimethamine dan sulfodaxine

Pencegahan

Hingga kini belum ada vaksin khas untuk mencegah malaria, tetapi ia boleh dicegah melalui:

• Tidur menggunakan kelambu.

• Menggunakan ubat nyamuk atau menyembur racun serangga pembunuh nyamuk.

• Memasang jaring nyamuk di jendela rumah.

• Dapatkan perkhidmatan semburan DDT.


SEGERA bertemu doktor sekiranya anda mula mengalami tanda demam malaria.

Menurut Dr Tengku Shahrul Anuar yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam, walaupun spesies nyamuk dan cara pembiakan parasit Plasmodium berbeza dengan virus denggi, akibatnya tetap sama iaitu demam dan simptom jangkitan lain yang boleh membawa maut kepada pesakit.

“Mengambil kira situasi semasa, perkara utama untuk dikongsi bersama orang ramai bukan lagi kaedah rawatan ataupun parasit Plasmodium yang menjadi punca malaria.

“Apa yang penting, kerjasama dalam mengesan pesakit secepat mungkin dan mencegah penyebaran parasit itu dengan menyekat aktiviti vektornya daripada menggigit dan menyebarkan malaria kepada manusia.

“Segera bertemu pegawai perubatan berhampiran sekiranya mula mengalami tanda dijangkiti demam malaria. Ia bukan saja bagi mengesan sama ada anda dijangkiti virus itu atau tidak, malah apa yang lebih utama adalah menyelamatkan nyawa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 April 2018 @ 11:58 AM