PEMAKAIAN kimono tradisional memakan masa satu jam.
Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my

Enam puluh minit masa diperlukan untuk mengenakan busana tradisional negara matahari terbit, kimono membuktikan keunikan kebudayaan dan ketinggian nilai estetika masyarakat Jepun.

Berbentuk abjad T dengan potongan kain lurus mencecah ke pergelangan kaki dan rekaan lengan yang panjang serta lebar, pakaian tradisional kebanggaan Jepun ini diperkenalkan sejak era Heian (794 Masihi hingga 1192 Masihi) ini dihasilkan daripada material sutera.

Penghasilan kimono juga dianggap karya seni halus hebat kerana ia memerlukan kemahiran luar biasa, malah busana ini turut menjadi simbolik kesantunan dan tingkah laku yang baik.

Sempurna digayakan bersama sepatu klasik, zori atau zeta, masa depan kimono juga seperti pakaian tradisional bangsa lain apabila ia bukan lagi menjadi pilihan harian sebaliknya khusus sempena keraian.

Bagi mengekalkan identiti bangsa, masyarakat mempunyai pilihan apabila yukata, hasil transformasi kimono diperkenalkan dengan gaya lebih santai serta mudah digayakan secara rutin.

Ketua Pegawai Eksekutif Nakakoma Orimono, Kazuno Nakajima mengakui kimono tradisional sangat berat untuk dipakai kerana lapisannya banyak dan sukar dibasuh.


KAZUNO menunjukkan uchikake sering dipakai pengantin.

“Oleh kerana faktor ini, semakin kurang generasi hari ini mengenakan kimono dalam aktiviti harian, sebaliknya memilih yukata yang jauh lebih mudah.

“Fenomena ini turut membuatkan kimono tampak eksklusif dan dijadikan busana formal bagi majlis tertentu antaranya perkahwinan, kematian, festival agama dan budaya.

“Seperti ‘uchikake’, ia kimono yang sangat formal dan dipakai oleh pengantin ketika majlis perkahwinan. Selalunya ia berwarna putih atau berwarna-warni tetapi rona merah menjadi warna utama.

“Kebanyakan kimono bermotifkan alam seperti burung merak, sungai, bungaan, pohonan dan awan yang melambangkan keindahan dan kehidupan masa depan lebih baik.

“Pemakaian kimono dalam masyarakat Jepun dimulakan seawal usia tiga tahun diikuti lima dan tujuh tahun sempena kelahiran, kemudian pada usia 20 tahun simbolik memasuki fasa dewasa.

“Selalunya kimono ini jarang dibeli sendiri kerana ia dihadiahkan oleh ibu bapa atau ahli keluarga,” jelasnya ketika Seminar Kostum Tradisional Jepun di Muzium Tekstil Negara, baru-baru ini.


KIMONO yang berevolusi.

Sebagai pakar kimono yang menyokong konsep budaya berpakaian, Kazuno memperkenalkan kimono berevolusi daripada ‘satu helai atau bahagian kepada dua bahagian.

Meskipun begitu, insiatifnya mendapat tentangan daripada masyarakat Jepun terutama generasi yang berpegang kukuh pada seni kebudayaan asal.

“Kimono adalah satu set pakaian, tetapi saya memodenkan kimono dengan memotongnya kepada dua bahagian, iaitu baju dan kain.

“Pandangan saya, pakaian seharusnya lebih mudah dipakai, oleh itu kesinambungannya berterusan dalam kalangan generasi muda,” jelasnya.

Menyifatkan Malaysia dan Jepun memiliki persamaan dalam budaya pakaian, Kazuno berkata, batik Malaysia mempunyai rekaan dan motif serupa dengan kimono iaitu flora.

Bertukar kebudayaan, beliau tidak menolak kemungkinan dua budaya boleh digabungkan sekiranya pereka fesyen mampu menghasilkan yukata batik.


KIMONO bermotifkan flora dan fauna.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Mac 2018 @ 7:45 AM