TIGA rakan sepakat kembangkan perniagaan pakej perkahwinan dan buka peluang rezeki kepada vendor lain.
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

Sering kali kita terbaca atau mendengar pengalaman individu yang berkongsi niaga dengan sahabat, tetapi perniagaan yang dijalankan tidak dapat bertahan lama. Pada peringkat permulaan mungkin segala yang digambarkan indah belaka, tetapi lama-kelamaan apabila duit semakin bertambah, banyak perkara yang tidak enak mula berlaku.

Bagi tiga rakan kongsi yang juga pengasas butik perkahwinan Cahaya Kristal, Mohd Helmy Mohamad, 35, Muhamad Hafizuddin Idrus, 30, dan Azman Haris, 29, walaupun tidak pernah menjadi rakan baik, atas dasar kepercayaan serta tanggungjawab, mereka bukan saja berkongsi idea, tetapi juga rezeki sejak syarikat itu dibuka pada 2015.

Segalanya bermula apabila ketiga-tiga jejaka ini bertugas di syarikat katering yang sama di Rawang pada 2014. Helmy bertugas sebagai pengurus jualan dan pemasaran, Azman sebagai cef yang mengendalikan penyediaan makanan manakala Hafizuddin mempunyai kepakaran dalam pemasaran dalam talian.

“Ilham menubuhkan syarikat sendiri bermula apabila saya dihujani pertanyaan pelanggan mengenai pakej perkahwinan. Oleh kerana syarikat hanya menyediakan makanan, mereka meminta saya mencari perkhidmatan pelamin, solekan dan jurugambar. Itulah yang mencetuskan idea untuk membuka butik perkahwinan yang menyediakan semua kelengkapan mempelai,” katanya yang menyatakan hasrat ini kepada Azman dan Hafizuddin kerana mereka berdua mempunyai kepakaran dalam dua bidang berbeza.

Mendengar cadangan ini, mereka memberikan maklum balas positif. Dengan kepakaran masing-masing mereka yakin mampu membina nama sebagai perunding perkahwinan dan membuka banyak cawangan di Malaysia.

Menurut Helmy, walaupun ketika itu halangan utama adalah modal, namun dia yakin berbekalkan kepakaran diri, mereka dapat melakukannya. Tanpa butik, tanpa pejabat mereka memulakan operasi dari rumah menggunakan kecekapan dan kebolehan masing-masing.

Hafizuddin misalnya, berkebolehan memasarkan perniagaan menggunakan Facebook dan laman sesawang, jadi dia membuat promosi bagi menarik pelanggan untuk mendapatkan pakej yang ditawarkan.

“Mungkin ramai yang tidak percaya ketika itu kami langsung tidak menyediakan sebarang perkhidmatan, sebaliknya ada beberapa rakan yang kami kenali menjalankan perniagaan busana, solekan dan pelamin. Selepas mempelai bersetuju dengan pakej ditawarkan kami akan menggunakan perkhidmatan rakan ini untuk menjayakan majlis perkahwinan mereka.

“Apa yang penting kami sentiasa memastikan apa yang diinginkan mempelai dapat dipenuhi tanpa sebarang cacat cela. Kualiti sangat penting selain menjaga reputasi kerana menerusinya akan meningkatkan kepercayaan pelanggan,” kata Helmy.


DARI kiri Hafiz, Azman dan Helmy gandingkan kemahiran masing-masing bangunkan syarikat.

Bermula tanpa modal

Dia masih ingat pengalaman pertama apabila mereka perlu menyediakan pelamin untuk mempelai yang mahu melangsungkan perkahwinan pada Februari 2016. Oleh kerana tiada pengalaman, mereka memasang pelamin sementara terlebih dahulu. Pada hari sebenar barulah pelamin sebenar berjaya disiapkan dalam masa lapan jam bermula pada jam 9 malam dan berakhir jam 5 pagi.

“Ia pengalaman yang cukup mendebarkan kerana sepanjang masa kami melihat pelamin sama ada dalam keadaan sempurna atau tidak. Kami gembira kerana acara pertama berlangsung dalam keadaan sempurna dan mendapat pujian orang ramai. Ini menambah semangat untuk terus memberikan yang terbaik kepada pelanggan,” katanya.

Menurut Hafizuddin pula, bermula dari situ Cahaya Kristal mula dikenali. Dia yang mempunyai kepakaran pemasaran dalam talian menjelaskan, apa yang mereka lakukan langsung tidak mengeluarkan sebarang modal sebaliknya sedikit demi sedikit mengumpul wang bagi membuka butik sendiri.

“Kami mengambil masa sebulan saja membuka butik perkahwinan apabila secara kebetulan terjumpa seorang pemilik yang ingin menjual butiknya. Selepas melihat sendiri keadaan butik kami bersetuju kerana tidak perlu lagi melakukan pengubahsuaian,” kata Hafizuddin yang mengibaratkan butik itu sebagai hadiah istimewa untuk mereka.

Baju pula diperoleh menerusi seorang wanita yang ingin menjual semua kelengkapan butik disebabkan ingin bersara. Bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal, mereka bersetuju mendapatkan semua pakaian dan peralatan di butik wanita itu sekali gus mengambil wanita ini sebagai mentor.

“Kami sentiasa bernasib baik sejak membuka perniagaan sehingga sekarang. Baju yang ditawarkan masih baru, cantik dan dijual pada harga berpatutan, sudah tentu kami tidak mahu melepaskan peluang keemasan ini,” katanya.

Ujar Azman, kejayaan mereka selama ini disebabkan semangat kerja secara berpasukan. Bermula dengan tiga orang kini Cahaya Kristal mempunyai 23 pekerja. Malah mereka turut mempunyai pereka fesyen dalaman yang menyiapkan busana untuk mempelai. Dalam tempoh dua tahun, syarikat juga semakin berkembang dengan perancangan membuka cawangan di Johor Bahru. Syarikat ini berbeza kerana menyediakan semua keperluan utama seperti pakaian, pelamin dan katering manakala solekan, jurugambar dan lokasi diberikan kepada vendor yang lain.

Saling mempercayai

Walaupun hanya saling mengenali selama enam bulan sebelum bekerjasama, mereka sepakat menetapkan bidang tugas mengikut kepakaran masing-masing. Jadi pertelagahan dan perbezaan pendapat dapat dikurangkan.

“Siapa kata kami tidak pernah berselisih pendapat, tetapi semuanya dalam keadaan terkawal. Ibarat bermain bola tanggung, masing-masing saling menyambut bola dan memberikan kepada yang lain,” kata Helmy yang menganggap rakan niaganya seperti adik-beradik.

Tidak timbul isu lelaki ‘sado’ menceburi bidang ini kerana apa yang penting ialah mutu perkhidmatan yang ditawarkan.

“Kami juga sering tekankan kepada kakitangan syarikat supaya menjaga hubungan baik dengan pelanggan supaya mereka berpuas hati dan menyebarkannya pula kepada orang lain,” katanya.

Mengenai hubungan dengan pekerja pula, mereka sangat rapat. Ini disebabkan modul perniagaan ini sendiri yang ingin membantu di antara satu sama lain.

Di sini bukan hanya tempat mereka mencari rezeki sebaliknya ukhuwah yang terjalin membuatkan hubungan seperti keluarga besar.

Helmy juga menyeru kepada anak muda yang ingin mendalami perniagaan berasaskan kolaborasi boleh mendapatkan latihan atau khidmat nasihat mereka. Pada tahun ini perniagaan berasaskan kolaborasi ini semakin mendapat perhatian dan mula digunakan semua syarikat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Mac 2018 @ 2:10 PM