HASIL tanaman hidup subur di kebun Norli.
Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my

Kos sara hidup yang semakin meningkat menyebabkan ramai antara kita terpaksa mengamalkan perbelanjaan berhemat termasuk berjimat cermat dalam menguruskan keperluan barangan dapur.

Bagi mereka yang kreatif dan bijak menggunakan sebaik mungkin ruang yang ada di rumah, mereka boleh mewujudkan konsep kebun dapur.

Lazimnya, di kebun dapur yang kecil ini sayuran diselangselikan dengan pokok hiasan bagi mewujudkan landskap halaman yang menarik.

Selain berfungsi sebagai kebun dapur, ia boleh menjadi ruang yang menarik jika bijak menyusun atur tanaman dan mungkin juga boleh mewujudkan taman mini untuk melengkapkan landskap halaman.

Ia bukan saja dapat membantu mengurangkan kos perbelanjaan di dapur, tetapi mampu menjadi lokasi sesuai untuk terapi minda selepas penat seharian di tempat kerja.

Modal bagi menanam sayur untuk sara diri juga tidak besar malah ada di antaranya diperoleh secara percuma.

Bagi Norli Ismail, 48, menanam pokok herba seperti mas cotek dan malberi memberi kelebihan tersendiri apabila daun daripada tanaman itu dipetik dan dikeringkan sebelum diproses menjadi minuman kesihatan.

Katanya, meminum air rebusan daun berkenaan menjadi amalannya sejak bertahun-tahun kerana menyedari khasiatnya.


DAUN mas cotek dan malberi dijadikan teh untuk minuman kesihatan.

“Pokok mas cotek mempunyai banyak khasiat antaranya membantu melancarkan perjalanan darah dan merendahkan paras kolesterol.

“Manakala teh daun malberi pula dikatakan mengandungi khasiat dalam mengawal tekanan darah tinggi, mengurangkan asma malah membantu mengurangkan berat badan.

“Tidak perlu keluar belanja besar pun untuk mengamalkan pemakanan sihat, semuanya boleh ditanam sendiri dan hasilnya dimanfaatkan seisi keluarga,” katanya.

Menurut Norli yang menetap di Sungai Ramal Baru, Kajang, Selangor, minat berkebun datang sendiri kerana dia memang gemar melihat pokok dan tumbuhan hijau hidup subur.

Katanya, selain menjimatkan, ia secara tidak langsung sebagai terapi mata dan minda selepas seharian penat bekerja serta menjadi aktiviti sihat untuknya sekeluarga.

Antara pokok dan tanaman lain yang menghiasi kebun kecilnya termasuk markisa, kantan, kari, limau purut, terung belanda, serai wangi, pokok pisang serta pandan.

“Sebenarnya bukan susah untuk mewujudkan taman dapur. Maklumat mengenainya begitu mudah dicari dan banyak di Internet, bergantung kepada diri sama ada hendak mengusahakannya atau tidak,” katanya.

Katanya, dia banyak mempelajari cara menanam daripada laman sosial dan Internet selain berkongsi minat dengan rakan yang mempunyai minat sama. Baginya bercucuk tanam tidaklah sukar kerana kebanyakan tanaman yang dipilih senang hidup dan tidak memerlukan penjagaan rapi.

“Lagipun, saya hendak manfaatkan tanah sekangkang kera yang ada ini. Seronok tanam sayur, rasanya lebih segar dan kebanyakan tanaman yang digunakan untuk masakan boleh dipetik pada bila-bila masa,” katanya.


SUAMI sering membantu membersihkan kawasan kebun.

Norli juga berkata, berkebun juga bermanfaat sebagai ganti riadah kerana ia juga mengeluarkan peluh. Di samping membersihkan kawasan rumah ia dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan apabila aktiviti seperti menyiram pokok dan memetik hasil tanaman dilakukan bersama suami dan anak-anaknya.

Hasil tanamannya bukan hanya untuk kegunaan sendiri malah turut diberi kepada ahli keluarga dan jirannya bagi mengeratkan silaturahim.

Katanya, beberapa tip dan petua turut diamalkan semasa berkebun antaranya dia sentiasa menuturkan lafaz Bismillah, selawat serta doa supaya tanamannya hidup subur.

“Bagi saya amat penting kita menanam dengan rasa kasih sayang pada pokok kerana ia juga ciptaan Allah.

“Selain itu, saya amalkan menyiram tanaman dengan air basuhan beras atau menyiram menggunakan air rendaman kulit bawang merah dan bawang putih untuk menyuburkan pokok,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Mac 2018 @ 2:00 PM