REKAAN bermotif bunga berikan kelainan buat mereka gemar bereksperimen.
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my


Gaya cetakan bunga-bungaan menjadi pertaruhan utama penghasilan koleksi kasual Minaz yang dilancarkan 24 Februari lalu. Bertempat di cawangan butik Minaz di Bangi Sentral, lapan rekaan busana bersama tiga helaian seluar dipersembahkan kepada tetamu jemputan terutama peminat fanatik jenama ini. Himpunan kali ini nyata memberikan nafas segar kepada wanita apabila menampilkan potongan lebih anggun dan memikat.

Menjelaskan lebih lanjut menurut Pengasas Minaz Hafiza Abd Hamid berkata, koleksi terkini Minaz Premium Kasual Bercetak turut didatangkan bersama busana bayi dan kanak-kanak bagi merealisasikan hasrat si ibu bergaya sedondon dengan si kecil mereka. Hadir dalam dua siri rekaan iaitu Epal Blossom dan Anemone kedua-duanya memberikan tumpuan kepada corak tersendiri, terhad dan lebih eksklusif.

“Saya menghidangkan sesuatu yang istimewa untuk rekaan kali ini, Epal Blossom mengambil inspirasi daripada bunga sakura manakala Anemone pula bermotifkan batik Jawa. Kedua-duanya diberikan nafas segar dan moden. Ia bukan saja hadir dalam rona lembut, tetapi potongan lebih sopan, sesuai digayakan untuk wanita bertudung atau juga tidak bertudung,” katanya.

Jelas Hafiza, dua rekaan bermotifkan bunga-bungaan pastinya memberikan kelainan buat mereka yang gemar bereksperimen dalam fesyen. Tambahan pula dua tahun kebelakangan ini corak floral mendapat tempat di hati wanita terutama untuk hijab mereka.

“Menyedari ia sesuatu yang baru, saya tidak melepaskan peluang menghasilkan corak bunga-bunga pada padanan yang boleh disuai padan mengikut acara si pemakai. Selain menyerlah sisi feminin wanita ia menonjolkan keyakinan dan aura diinginkan si manis,” jelasnya.

Minaz Premium Kasual Bercetak terdiri daripada sut jaket, blaus Aqeela, baju labuh M, blaus Kyla dipasangkan dengan jaket mulai dijual di butik atau laman sesawangnya. Selain itu mereka yang inginkan penggayaan santai boleh memilih blaus Adeesha, Rufella dan Jane bersama tiga koleksi seluar Rhea, Tappered dan palazzo Ameena.

Koleksi kali ini menggunakan fabrik lebih selesa dan santai sesuai dengan keperluan dan penggayaan. Material skuba, kapas krep dan satin berkualiti tinggi menjadi pilihan kerana selain selesa ia sesuai dipakai dalam keadaan cuaca panas dan lembap di Malaysia.

Dari segi kepelbagaian rekaan dan potongan, jenama ini menampilkan potongan kasual formal kerana ia lebih menyerlah apabila digabungkan dengan fabrik berbeza.

“Saya memilih scuba kerana ia lebih pelbagai warnanya manakala kapas krep lembut serta beralun cantik apabila digayakan. Untuk kanak-kanak dan bayi pula fabrik yang sama dipilih cuma berbeza potongan agar menampilkan sisi comel, riang dan ceria. Tentunya koleksi gaun bakal menjadi pilihan ramai,” katanya.

Semua rekaan ini boleh didapati di butik Minaz atau menerusi pembelian dalam talian. Harga bermula daripada RM89 sehingga ke RM259 bergantung kepada rekaan dan corak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Mac 2018 @ 12:30 PM