MADELINE bersama barisan model yang memperagakan pakaian NKC.
NORISH ketika ditemu ramah media antarabangsa sebaik sahaja pertunjukan tamat.
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

Kemunculan model profesional antarabangsa pertama sindrom Down, Madeline Stuart pada Minggu Fesyen London baru-baru ini sekali lagi menarik perhatian ramai apabila dia diberi peluang memperagakan pakaian.

Supermodel berusia 21 tahun dari Brisbane, Australia itu tampil dengan rekaan Norish Kareem Couture (NKC) bertemakan Vanity Fair sekali gus meneruskan misi mengubah persepsi orang ramai terhadap orang kelainan upaya (OKU).

Mempunyai lebih 750,000 peminat di media sosial, pemilihan Stuart sebagai model, jelas Norish, semuanya bermula ketika pertunjukan fesyen di Dubai setahun lalu. Disebabkan impak model istimewa ini cukup besar dalam memperkenalkan jenama NKC di Dubai ketika itu sekali lagi dia diberi peluang.

Norish percaya menerusi pertunjukan fesyen ini dia dapat memperkasakan wanita, menyokong dan membantu satu sama lain. Malah, ramai kini mengenali jenama NKC.

“Buktinya selepas memuat naik gambar di Facebook dan Instagram, saya dihujani pelbagai mesej mengucapkan tahniah dan ingin tahu mengenai busana. Saya sasarkan untuk meletak Norish Kareem Couture sebagai jenama fesyen premium yang memberi manfaat kepada dunia, bukan sahaja sebagai pakaian di almari mewah,” katanya yang turut menerima mesej daripada ramai ibu bapa anak sindrom Down di New York, yang mahu membeli koleksi dipakai Madeline.

Norish memberitahu pemilihan Madeline bermula selepas kejayaan Minggu Fesyen Dubai, Paris dan New York bulan lalu. Ini membuatkan dia tidak melepaskan peluang ‘menambat’ Madeline untuk Minggu Fesyen London pula.

“Saya bertuah kerana dia sendiri memilih untuk menyarung persalinan NKC. Pertunjukan di Dubai dan kemudian di New York itu meninggalkan memori indah buat saya dan NKC. Pengikut kami di Instagram turut meningkat susulan promosi dan impak pembabitan Madeline. Kami mendapat liputan meluas penerbitan terkenal dan agensi berita antarabangsa seperti Marie Claire, Reuters dan Daily Mail UK,” katanya.

Norish yang dilahirkan di Kuantan, Pahang dan dibesarkan di Kuala Lumpur, mengakui pengambilan Madeline tidak sepatutnya dijadikan isu sebaliknya melihat sesuatu itu yang bermanfaat.

Ketika Minggu Fesyen New York Norish menghasilkan sepasang gaun pendek ala puteri bertemakan Golden Madeline. Gaun pendek itu disiapkan dalam tempoh dua bulan dan ia mendapat pujian ramai.

“Sebaik sahaja tamat pertunjukan fesyen di Dubai saya dan ibu Madeline, Rossane Stuart menjadi rapat. Malah saya, Rossane dan agensi modelingnya mempunyai kumpulan WhatsApp sendiri bagi berkongsi pendapat dan juga aktiviti harian,” jelas Norish.

Sebanyak sembilan koleksi Vanity Fair diperagakan di pentas Minggu Fesyen London. Koleksi ini direka khas untuk wanita sofistikated bertemakan gaya hidup moden dan sinonim dengan kemewahan serta berada dalam kelompok tersendiri.

Pada acara yang sama turut diadakan pelancaran produk kecantikan semburan rambut Billionaire Fresh Hair Mist di bawah naungan Norish Kareem Cosmetics yang turut dipakai sebagai produk semburan rambut rasmi di belakang pentas.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Mac 2018 @ 12:24 PM