NORLIZA menunjukkan telekung Al-Kauthar yang disediakan di butik Al-Kauthar di Shah Alam.
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my


Bagi jemaah haji dan umrah, telekung menjadi padanan penting kerana dipakai seharian ketika menunaikan ibadat. Oleh itu dalam keadaan cuaca panas dan sesak pemilihan pakaian solat yang betul dan tepat harus diberi keutamaan bagi memastikan ibadat dapat dilakukan penuh khusyuk dan lancar.

Namun agak sukar mencari telekung memenuhi ciri diinginkan terutama pada bahagian wajah. Kebanyakan telekung di pasaran tidak menjanjikan keselesaan disebabkan ukuran pada muka longgar, getah di dahi yang ketat atau dagu terlalu besar.

Ada juga telekung yang tidak memenuhi syariat Islam apabila menggunakan fabrik jarang sedangkan ia syarat utama beribadat. Selain penentuan pada material, telekung haruslah memenuhi syariat Islam seperti menutupi anak rambut dan dagu sesempurna mungkin.

Menurut pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Telekung Al-Kauthar Resources Sdn Bhd, Norliza Hayati Ahmad Shairuzi, sebelum melancarkan telekung Al-Kauthar dia menerima pelbagai rungutan terutama daripada jemaah haji dan umrah yang meluahkan rasa tidak gembira mengenakan telekung terlalu ketat, perlu memakai anak tudung untuk mengelak rambut terkeluar, penutup dagu tidak selesa serta fabrik tebal dan panas.

“Dalam keadaan jumlah jemaah yang ramai, ada sesekali telekung akan senget atau tertarik oleh jemaah lain sehingga menampakkan anak rambut. Mengambil kira masalah ini saya tekad mengeluarkan telekung yang bukan sahaja mengikut syariah, tetapi tampil moden dan memikat,” katanya.

Tambahnya lagi, keistimewaan telekung jenama itu adalah sengkuap jenis melekat pada dahi, bahagian dagu lebih lebar, kain tebal dan tidak jarang. Untuk haji dan umrah mereka boleh memilih telekung berpoket bagi memudahkan menyimpan barang ringan berharga seperti kunci bilik atau duit.

“Kelainan pada telekung kami ialah pelapik dagu menggunakan fabrik memeri agar lebih selesa terutama ketika membaca al-Quran, berbual atau menikmati hidangan,” katanya yang turut menyediakan pakaian dan kelengkapan haji, umrah, ihram dan tudung pada 2017.

Menggunakan kapas Jepun kerana lebih lembut, sejuk dan tidak melekat, setiap telekung didatangkan dalam ukuran tertentu bagi memudahkan pelanggan membuat pilihan. Namun sekiranya saiz disediakan tiada pelanggan boleh membuat tempahan mengikut ukuran bentuk muka mereka.

Hadir dalam rona putih, hitam dan kelabu warna asas ini sesuai untuk beribadah, sekali gus menjadikan penampilan Muslimah lebih istimewa. Selain telekung, syarikat turut menyediakan pelbagai kelengkapan untuk haji dan umrah termasuk jubah, kurta, kain ihram, stoking dan beg.

“Menariknya selain membeli-belah, pelanggan juga diberi pelbagai maklumat dan bimbingan mengenai barangan keperluan mengikut bajet mereka.

“Saya akan pastikan setiap barangan ditawarkan berkualiti dan memenuhi kehendak ramai. Pelanggan pula tidak perlu ke tempat lain hanya perlu memilih di sini kerana semuanya sudah tersedia,” katanya yang menyediakan perkhidmatan menjahit produk bagi memastikan ia memenuhi kriteria diberikan.

Selain butik di Laman Seri Business Park, Seksyen 13 Shah Alam, Al-Kauthar turut beroperasi di tujuh cawangan lain, yang diuruskan rakan niaganya, antaranya di Kuala Lumpur, Banting, Sungai Buloh, Putrajaya, Pulau Pinang, Ipoh dan Senawang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Mac 2018 @ 12:13 PM