DUA ukuran disediakan, mampu tutup keseluruhan dada hingga ke perut bergantung teknik lilitan.
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

Bertudung pada masa sama mengekalkan prinsip patuh syariah seharusnya menjadi pegangan bukan sahaja pelanggan wanita sebaliknya pengusaha busana Muslimah. Untuk itu tudung dihasilkan haruslah labuh dan tidak jarang bagi menepati prinsip ini manakala rekaan dihasilkan perlu mengikut gaya semasa supaya mudah diterima ramai.

Bagi pemilik jenama shawleenawardrobe, Nur Amaliena Aleena Mohd Ariffin, 22, ketika mula menjalankan perniagaan ini dia menetapkan matlamat memberikan keselesaan, gaya terkini dan patuh syariah kepada pelanggan. Untuk itu dalam setiap rekaan selain corak dan warna, saiz selendang sangat dititikberatkan.

“Bagi memenuhi keperluan wanita, saya menyediakan dua ukuran iaitu biasa dan panjang. Ukuran biasa dengan panjang 1.7 meter dan lebar 0.6 meter manakala saiz panjang berukuran dua meter dan 0.8 meter lebar sama ada bercorak atau polos. Ukuran ini mampu menutupi keseluruhan dada sehingga ke bahagian perut bergantung kepada teknik lilitan,” katanya.

Walaupun terkenal dengan selendang bercorak, disebabkan permintaan ramai Nur Amaliena turut mengeluarkan tudung segera satu dan dua muka yang menekankan kelebaran pada bahagian bawah. Namun begitu ukuran ini bergantung kepada teknik pemakaian kerana mereka boleh memilih sepanjang mana selendang hendak dilabuhkan.

Jelas wanita ini, selain patuh syariah tudung keluaran Shawleena mementingkan keselesaan menerusi fabrik digunakan. Dia mengandaikan dirinya sebagai pengguna, sebab itu dalam setiap keluaran tudung harus selesa dan tidak panas. Menggunakan material sifon, moss crepe, milano atau fabrik benang hitam kerana semuanya digemari ramai.

“Fabrik sifon tidak memerlukan wanita memakai anak tudung kerana tidak jarang manakala sifon bercetak tidak perlu digosok. Antara jenis sifon memiliki sifat ini adalah bubble dan nasigi crepe. Material moss crepe dan milano juga 100 peratus tidak perlu digosok walaupun dicuci menggunakan mesin basuh. Ia memudahkan wanita berkerjaya yang sibuk menguruskan keluarga di rumah,” jelasnya.

Untuk tudung sarung pula dia menggunakan fabrik lycra bercorak kerana nampak lebih moden dan menyerlah. Walaupun kehadiran pelbagai jenis jenama, namun tudung sarung masih mempunyai peminatnya tersendiri.

“Sejak dulu tudung sarung masih kekal permintaannya. Ini disebabkan ia mempunyai pelanggan setia terutama ibu bekerjaya aktif dan tidak mahu berlengah ke pejabat manakala turut dipakai suri rumah muda,” jelasnya.

Memulakan perniagaan secara kecil-kecilan di bazar sekitar Putrajaya, Nur Amaliena banyak menimba pengalaman jatuh bangun dalam bidang mencabar ini daripada ibunya, juga peniaga jubah dan tudung.

Tudung segera, selendang dan tudung sarung Shawleena dijual pada harga mampu milik bermula RM39 sehingga RM69 sama ada pembelian di butik di Bangi Gateway atau dalam talian.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Mac 2018 @ 12:04 PM