Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my

Bergaduh adalah aktiviti harian dalam diari kehidupan seorang kanak-kanak yang mempunyai adik-beradik. Sama ada sebagai adik, abang ataupun kakak, pergaduhan memang sukar dielakkan apatah lagi jika ada yang sedikit ‘keras kepala’.

Ibu bapa mula berasa tertekan sekiranya pergaduhan itu berlaku hanya disebabkan perkara kecil seperti berebut tempat duduk atau rancangan televisyen yang ingin ditonton.

Walaupun dinasihat, dimarah dan dihukum, pertelingkahan ini tetap berlaku dan kadangkala dua hingga tiga kali sehari. Ada saja perkara yang boleh menjadi ‘bahan gaduh’ dan membuatkan si kecil merajuk panjang.

Apa yang membezakan adalah jenis atau bentuk pergaduhan mereka. Ada yang sekadar bergaduh manja dan berbaik semula dalam beberapa minit namun ada juga yang bergaduh secara ekstrem sehingga saling memukul, menolak dan bertumbuk.

Menurut Perunding Kanan (Pendidikan & Keibubapaan) Ikhwah Training & Resources Nur Firdaus Abdul Razak, istilah berkelahi lebih sesuai digunakan berbanding bergaduh kerana mereka hanya kanak-kanak.

“Perkelahian lazimnya berlaku dalam adik-beradik walaupun dalam corak yang biasa seperti sekadar jeling-menjeling dan rasa tidak puas hati.

“Dalam proses perkembangan kanak-kanak, perkelahian adik-beradik adalah perkara normal. Persoalannya, mengapa mereka berkelahi? Kenapa coraknya berbeza? Semua itu bersebab dan setiap ibu bapa perlu tahu penyebabnya,” katanya.

Nur Firdaus berkata, dua sebab utama berlakunya perkelahian adalah ‘nature’ (fitrah atau lumrah) iaitu bergantung kepada usia dan corak berfikir dan yang kedua adalah ‘nurture’ iaitu disebabkan persekitaran rumah, layanan ibu bapa dan pengaruh media.


NUR Firdaus.

“Perbezaan usia adalah faktor utama perkelahian antara anak. Manusia berfikir dengan cara berbeza pada usia berbeza.

“Cuba kita perhatikan corak perkelahian anak, nyata ia berbeza mengikut tahap umur mereka. Perkelahian antara seorang kanak-kanak dan bayi lazimnya berkait rapat dengan perebutan barang dan kawasan manakala perkelahian antara seorang kanak-kanak dengan kanak-kanak lain pula lazimnya berkait dengan hasil kerja dan ruang ketenangan,” katanya.

Menurutnya, bayi yang berusia bawah 12 bulan belum mengetahui mengenai banyak perkara dan mereka lebih suka sekiranya semuanya berada di depan mata.

“Disebabkan itu, sekiranya ia diambil, bayi di bawah usia 12 bulan akan terus menganggap permainan itu hilang manakala si abang yang berusia 25 bulan pula sedang sibuk dengan imaginasi yang tinggi.

“Apabila bermain, semua permainan hendak digunakannya. Si abang ingin menguasai semua permainan, si adik pula tidak mahu permainannya diambil dan ia menjadi punca perkelahian berlaku,” ujarnya.

Katanya, hakikatnya, si abang bukanlah sengaja bersikap begitu kerana usia sekitar 24 bulan adalah permulaan kepada daya imaginatif kanak-kanak.

“Ia membabitkan elemen pemikiran fantasi seperti animistik dan sebagainya. Corak pemikiran ini menyebabkan si abang menggunakan ruang yang besar untuk menterjemahkan imaginasinya.

“Dalam fikirannya, dia sedang membina sebuah lebuh raya. Diambilnya segala barang yang ada untuk dijadikan jalan, jambatan dan plaza tol manakala si adik pula semakin tertolak ke tepi, malah permainan yang ingin diguna pula diambil abang. Dek rasa tidak puas hati, tentulah akan berlaku perkelahian antara mereka,” ujarnya.

Nur Firdaus berkata, pandangan si adik dengan si abang akan sentiasa berbeza. Bayi masih terikat dengan egosentrik kerana mereka tidak mampu melihat daripada sudut pandang orang lain.

“Masing-masing ada imaginasi dan kefahaman tersendiri terhadap sesuatu. Bagi adik, semua permainan yang baru adalah miliknya. Si abang pula berpandangan semua yang dibeli oleh ayah adalah miliknya.

“Adakah mereka tidak boleh berfikir mengenai kesaksamaan, akhlak dan sebagainya? Kanak-kanak boleh mudah beralah dengan didikan ibu bapa. Namun, istilah beralah bukanlah atas dasar kesaksamaan dan sebagainya. Ia adalah berorientasikan konsep keadilan dan kesaksamaan,” katanya.



PERKELAHIAN antara kanak-kanak adalah perkara lumrah dan fitrah.

Faktor persekitaran

Menurut Nur Firdaus, perkelahian anak juga boleh berpunca daripada faktor persekitaran mereka membesar.

“Masalah ruang yang tidak mencukupi sering menyebabkan anak kecil berkelahi. Syukur, ramai ibu bapa yang mempunyai kesedaran tinggi pentingnya ruang untuk perkembangan anak dan menyediakan satu bilik khas atau ruang khas bagi segala aktiviti anak-anak.

“Ruang yang ‘tidak jelas’ sering menyebabkan anak kecil berkelahi sesama sendiri. Malah, sebahagian ibu bapa juga turut sama-sama berkelahi.

“Si adik datang ke meja ibu atau bapa namun dimarahi, dia pergi pula ke tempat si abang bermain dan kena marah lagi dan terus berkelahi. Ibu bapa yang mendengar terus datang dan marah. Penyudahnya di manakah anak-anak ini hendak bermain?” soalnya.

Namun, Nur Firdaus berkata, apa yang lebih penting adalah layanan ibu bapa itu sendiri.

“Kekurangan masa bersama yang berkualiti boleh menyebabkan hubungan antara anak-anak menjadi kurang mesra. Antara tugas ibu bapa adalah menjadi fasilitator kepada sosialisasi anak-anak. Si adik dan si abang juga si kakak perlu sentiasa dimesrakan.

“Selain itu, terdapat juga beberapa tindakan ibu bapa yang boleh menyebabkan anak-anak cenderung untuk berkelahi. Antaranya adalah sikap suka membandingkan anak, memberi layanan yang berbeza dan cenderung memenangkan sebelah pihak saja. Anak kecil di bawah usia dua tahun amat sensitif dalam bab layanan, lebih-lebih lagi apabila melihat seorang adik di depan mereka,” katanya.

Tambah Nur Firdaus, media juga banyak memberi kesan kepada corak perkelahian anak-anak. Menolak, menarik, menarik rambut, menjerkah dan menggigit adalah antara corak perkelahian yang normal.

“Namun jika mereka mula menumbuk, menendang, menyepak dan memaki dengan perkataan mencarut, ia sudah keluar daripada kebiasaan. Ia bukan dicetuskan secara semula jadi dan jelas mereka mempelajarinya. Jadi ibu bapa perlu segera masuk campur dan memperbetulkan keadaan ini supaya ia tidak diulang.

“Media elektronik hari ini termasuklah rancangan kartun sekalipun banyak menghidangkan unsur ganas dan lucah. Sebahagian bayi dan kanak-kanak kecil meluangkan banyak masa menonton kartun dan animasi, malah mereka mengamatinya dengan khusyuk.

“Mempertontonkan rancangan televisyen kepada bayi ibarat merakamkan sesuatu ke dalam minda mereka. Segala-galanya dirakam oleh bayi kerana otak mereka tiada penapis. Malah pada usia ini, mereka belum pandai menapis maklumat yang diterima daripada tontonan. Inilah sebabnya ibu bapa perlu memberikan anak-anak kecil menonton rancangan yang berkualiti dan bermanfaat untuk minda mereka,” ujarnya lagi.

Cara menghadapinya

Perkelahian antara anak kecil adalah perkara lumrah. Walaupun ia adalah antara cara anak anda saling memahami dan membesar, tetapi ia perlu ditangani dan dihadapi secara fitrah. Berikut adalah langkah yang boleh dilakukan untuk mengelakkan perkelahian antara anak-anak kecil:

1. Banyakkan masa berkumpul sekeluarga yang berkualiti. Anak-anak perlu banyak merasai pengalaman makan, bermain dan melakukan pelbagai aktiviti bersama keluarga dalam suasana mesra. Benar, akan timbul pertelingkahan kecil dan anda sebagai ibu bapa boleh menjadikan ia sebagai cara untuk menggalakkan mereka meluahkan pandangan dengan baik.

2. Ibu bapa perlu berfungsi sebagai fasilitator dalam sosialisasi anak-anak. Sebagai contoh baringkan mereka bersebelahan, bercerita dan geletek.

3. Sediakan satu ruang khas untuk aktiviti mereka. Ia tidak semestinya besar, tetapi memadai untuk bergerak dan bermain-main.

4. Jangan membanding-bandingkan seorang anak di depan anak yang lain. Mereka boleh memahami maksud perkataan kita, cuma belum mampu bercakap. Jika anda memuji si abang atau kakak, puji juga kebaikan si adik.

5. Berikan layanan yang sama dan adil kepada semua anak. Mereka sensitif terhadap kualiti layanan yang diterima.


IBU bapa perlu memainkan peranan dalam mengatasi masalah ini.

Nur Firdaus juga berkongsi langkah yang boleh dilakukan sekiranya si kecil anda berkelahi sesama sendiri:

1. Lihat dan fahami kenapa mereka berkelahi ketika itu. Jangan cepat menghukum atau menghentikan.

2. Situasi ‘menang-menang’ adalah yang terbaik, namun beri keutamaan kepada anak yang lebih tua. Anak ini sebenarnya lebih sensitif, lebih-lebih lagi selepas menyaksikan kedatangan ‘orang baru’ yang merampas takhta milik mereka selama ini.

3. Terangkan apa yang betul kepada anak-anak terutama yang terbabit dalam perkelahian. Mereka boleh memahaminya jika mendengarnya berulang kali.

4. Jika ia berkait dengan perebutan sesuatu, galakkan si abang atau si kakak berkongsi dan mendahulukan adiknya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Mac 2018 @ 7:15 AM