PELUKAN mesra rapatkan hubungan dengan anak.
Norlaila Hamima Jamaluddin
laila@hmetro.com.my

Ramai antara kita yang membuat persiapan rapi supaya majlis perkahwinan berlangsung penuh gemilang dan meriah. Ia tidak salah, tetapi apa yang lebih penting ialah persediaan ilmu untuk melayari bahtera rumah tangga terutama apabila dikurniakan cahaya mata.

Memang tidak dinafikan bapa moden kini ramai yang mengambil pendekatan bijak untuk bersama-sama menjaga dan mendidik anak, berbeza dengan bapa zaman lalu yang rata-rata menyerahkan tugas itu kepada isteri.

Bagaimanapun, masih ramai yang menjadi ibu bapa tanpa sebarang persediaan ilmu. Ramai yang menganggap kemahiran keibubapaan itu akan datang sendiri apabila mempunyai anak kelak. Bahkan ada juga yang berasakan cukup dengan ‘berbekalkan’ pengalaman atau cara didikan ibu bapa mereka sendiri.

Namun, perubahan zaman membuatkan tuntutan terhadap ilmu keibubapaan itu sendiri berubah, perlu seiring dengan gaya hidup dan perkembangan dunia semasa, di samping tetap tegas mengikut sunah Rasulullah SAW.

Bukan sedikit kisah yang dipaparkan di media atau laman sosial mengenai perilaku anak yang melukakan hati ibu bapa. Namun, tidak adil untuk menyalahkan anak sepenuhnya atas kebiadaban perilaku mereka kerana memetik kata-kata pendakwah terkenal Ustazah Norhafizah Musa, pada setiap kesilapan anak, ada bahagian (kesilapan) ibu bapa.

Jadi, tidak kiralah sama ada anak sudah besar atau masih kecil, peluang untuk ibu bapa memperbaiki diri sentiasa terbuka. Ada beberapa ciri penting yang perlu kita pelajari dan miliki untuk menjadi ibu bapa yang lebih baik.

1. Kesabaran

Kesabaran amat penting dalam membina keluarga yang bahagia. Selepas penat mengemas rumah, memasak, membersihkan susu yang tumpah dan mendengar anak menangis, tidak hairanlah jika ada ibu cepat marah apabila si kecil tidak henti bertanyakan soalan sama berulang kali.

Jangan begitu kerana anda perlu faham, pada usia kecil ini setiap pertanyaan menandakan minda anak sedang berkembang. Minta bantuan suami untuk bersama-sama melakukan urusan rumah dan menjawab persoalan anak yang kreatif itu. Jika anda ibu tunggal, pastikan anda ada masa untuk diri sendiri supaya anda tidak dibelenggu tekanan.

Apabila melayani anak dengan sabar, anda akan dapati si kecil yakin dengan dirinya sendiri. Malah dia juga selesa dengan kehadiran anda dan membantu anda mencipta suasana yang lebih baik untuk perkembangan si kecil.

2. Mendengar

Ramai ibu bapa kini berasakan mereka mendengar apabila anak bercakap sedangkan jari sibuk menaip komen di laman sosial atau ruangan sembang. Anda sebenarnya tidak betul-betul memberikan perhatian kepada percakapan anak.

Anak melihat dan meniru perlakuan anda itu. Jadi, jangan marah jika anak seolah-olah buat tidak dengar apabila anda bercakap dengannya, apatah lagi jika di tangan mereka ada telefon pintar atau gajet lain!

Jadi, apabila anak bercakap dengan anda, pandanglah wajahnya dan beri maklum balas sewajarnya. Anda secara tidak langsung membantu membentuk keyakinan yang diperlukan anak untuk berdepan dengan cabaran.


LUANGKAN masa mendengar cerita anak.

3. Memahami

Mendengar saja tidak mencukupi jika anda tidak cuba memahami perasaan anak. Pastikan apabila anak bercakap, anda bukan saja mendengar, tetapi ambil masa mendalami pemikiran, perasaan dan kebimbangan mereka. Keprihatinan anda ini sangat penting bagi mereka.

Walaupun pada anda masalah itu kecil saja, tetapi pada anak, ia perkara yang besar. Jadi anda perlu ‘turun’ ke tahap anak untuk memahami masalahnya dan cadangkan jalan penyelesaiannya. Pendekatan ini akan mengeratkan hubungan ibu bapa dengan anak.

4. Konsisten

Tetapkan peraturan di rumah dan semua orang termasuk ibu dan bapa perlu mematuhinya. Contohnya, makan di meja bersama ahli keluarga, giliran membantu ibu dan ayah, waktu tidur dan bangun pagi serta menghormati hak orang lain.

Amalan yang konsisten akan mengurangkan kekeliruan dan rasa tidak puas hati yang mungkin timbul. Ia bukan saja membuatkan anak berasa selamat, malah dapat membantu menanam tabiat positif dan mengelakkan kekecohan di sekolah atau pusat jagaan harian.

5. Empati

Bukan pasangan ibu bapa muda saja, mereka yang sudah mempunyai beberapa anak juga kadangkala sukar menafsirkan kemahuan si kecil terutama yang belum pandai bercakap. Apabila bayi anda menangis, ia mungkin disebabkan beberapa perkara. Jadi ibu bapa perlu belajar ‘menterjemahkan’ erti tangisannya.

Malah anak yang sudah pandai bercakap pun kadang-kadang tidak dapat meluahkan keinginan sebenar kerana penguasaan bahasa yang terhad. Ibu bapalah yang perlu belajar mengenali makna tingkah laku anak dengan hemah. Jangan didenda hanya kerana mereka nakal kerana dalam kebanyakan kes, itulah caranya si anak menagih perhatian.

6. Meluahkan rasa sayang

Tidak kira setinggi mana pun ilmu atau kemahiran keibubapaan anda, tiada yang boleh menandingi kebolehan anda untuk menzahirkan rasa sayang kepada anak. Ada ibu bapa yang silap menafsirkan rasa sayang dengan memenuhi tuntutan material si anak. Pada mulanya, ia mungkin tindakan yang menyenangkan hati anak, tetapi bukan itu yang mereka cari.

Anak mahukan kasih sayang sebenar yang dizahirkan dengan kata-kata atau tindakan. Ada banyak cara yang boleh anda lakukan untuk menyatakan rasa sayang dan prihatin anda, contohnya dengan meletakkan nota kecil pada bekal tengah harinya.

Anda juga boleh memeluk anak beberapa kali sehari iaitu sebaik dia bangun tidur, sebelum ke sekolah dan sekali lagi sebelum dia masuk tidur pada waktu malam. Sentuhan mesra ini adalah antara kemahiran dan ‘khazanah’ yang boleh anda tinggalkan kepada anak supaya ia boleh terus diwariskan kepada anaknya pula apabila dia mempunyai keluarga sendiri kelak.


JANGAN ketepikan anak demi kerja.

Carilah pendekatan yang sesuai dengan keluarga dan usia anak, asalkan ia mampu melahirkan rasa sayang dan hormat. Salam dan cium tangan ibu bapa setiap kali sebelum keluar rumah juga adalah antara amalan yang baik.

Kita ada contoh terbaik yang boleh diikuti, iaitu Rasulullah SAW. Hayati bagaimana santunnya baginda melayani ahli keluarganya untuk kita amalkan. Ada banyak buku sunah dan riwayat hidup Rasulullah yang boleh dijadikan rujukan.

Perlu ingat, anak yang ketandusan kasih sayang di rumah akan cuba mendapatkan perhatian di luar dan jangan salahkan anak jika mereka terjebak dengan gejala yang tidak bermoral.

Paling penting, kita bersama-sama cuba sedaya upaya menjadi ibu bapa terbaik dan jangan putus berdoa kepada Allah untuk melindungi mereka!

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Mac 2018 @ 7:01 AM